• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Hukum Wanita Dalam Edah Kematian Terlibat Dengan PRU

Hukum Calon Wanita Dalam Edah Kematian Berkempen?
Prof Dato Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin
 
Bertalu-talu soalan daripada wartawan dan orangramai yang bertanya saya berhubung dengan calon wanita dalam Pilihanraya Umum ke15 di Negeri Perlis yang masih dalam ‘iddah (edah) kematian suami. Beliau pula tinggal di negeri lain dan datang ke Perlis untuk kempen PRU kali ini. Apakah pandangan hukum dalam hal ini?
Bagi menjawab persoalan ini, sebutkan nota-nota berikut;
 
1. Wanita yang kematian suami, wajib berada dalam edah selama 4 bulan 10 hari. Ini adalah titah perintah al-Quran dan al-Sunnah. Hanya tempoh itu boleh disingkatkan jika beliau mengandung dan melahirkan anak sebelum tempoh tersebut. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 234:
وَٱلَّذِينَ يُتَوَفَّوۡنَ مِنكُمۡ وَيَذَرُونَ أَزۡوَٰجٗا يَتَرَبَّصۡنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرۡبَعَةَ أَشۡهُرٖ وَعَشۡرٗاۖ
(maksudnya) “Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beredah) selama empat bulan sepuluh hari”.
 
2. Adapun bagi yang mengandung dan melahirkan anak, firman Allah dalam Surah al-Talaq ayat 4:
وَأُوْلَٰتُ ٱلۡأَحۡمَالِ أَجَلُهُنَّ أَن يَضَعۡنَ حَمۡلَهُنَّۚ وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجۡعَل لَّهُۥ مِنۡ أَمۡرِهِۦ يُسۡرٗا
(maksudnya) “Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh edahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya. Dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya”
 
Kisah Subai’ah al-Aslamiyah dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim menunjukkan wanita kematian suami yang melahirkan anak dikira tamat edahnya walaupun kurang dari tempoh 4 bulan 10 hari.
 
3. Kewajipan berada dalam ‘iddah (edah) ini telah jelas dalam al-Quran, al-Sunnah dan ijmak (kesepakatan tanpa kecuali) para mujtahidin. Semua ulama telah ijmak bahawa larangan yang paling wajib dipatuhi dalam tempoh tersebut ialah tidak boleh bernikah. Dalam masa yang sama majoriti ulama bersepakat bahawa larangan lain yang mesti dipatuhi ialah tidak boleh keluar daripada rumah melainkan jika ada keperluan yang dibenarkan. Demikian juga, wanita dalam edah kematian dilarang bersolekan atau memakai perhiasan yang tidak sesuai dengan sifat wanita yang kesedihan atas kematian suami.
 
4. Adapun dalil wanita dalam edah kematian suami wajib berada di rumah dan tidak meninggalkannya tanpa alasan yang dibenarkan syarak ialah hadis Furai’ah binti Malik yang mana Rasulullah s.a.w memerintahkannya kekal di rumahnya sehingga selesai tempoh edah. Sabda Nabi s.a.w kepadanya:
امْكُثِي فِي بَيْتِكِ حَتَّى يَبْلُغَ الكِتَابُ أَجَلَهُ
“Kekal di rumah kamu sehingga habis tempoh edah” (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dll. Sahih).
 
5. Majoriti ulama menyebut wanita kematian suami hendaklah kekal tinggal di bait al-zaujiyah (rumah kehidupan suami isteri) dalam tempoh tersebut. Sementara ada yang menyatakan dia boleh memilih sesuatu rumah sebagai tempat tinggalnya semasa tempoh tersebut dan kekal di situ sehingga tamat edah. Ini terutama apabila suami tidak menyediakan rumah untuknya atau tidak meninggalkan rumah yang menjadi miliknya, atau disewa untuknya atau rumah yang ditinggalkan suami itu bahaya atau tidak selamat. Maka, dia memilih tempat tinggal yang sesuai untuk dirinya dalam tempoh berkenaan.
 
6. Wanita dalam edah kematian boleh keluar rumah untuk keperluan dirinya yang tidak dapat dilunaskan melainkan terpaksa keluar rumah. Ini khususnya untuk urusan kerja bagi yang jika dia tidak keluar akan menggugat pendapatannya bagi meneruskan kehidupan. Begitu untuk perubatan dan keselamatan diri. Demikian juga urusan yang memerlukan hanya dia sahaja yang pihak lain tidak dapat uruskan yang mana jika dia tidak melakukannya memberikan kesusahan kepada pihak lain. Para fuqaha menyebut jika dia keluar, hendaklah dia pulang bermalam di rumahnya.
 
7. Juga, larangan untuk wanita dalam edah kematian bersolek dan berhias diri yang tidak menunjukkan sikap dukacita atas kematian suami. Ini seperti yang diriwayatkan oleh isteri Nabi s.a.w Umm Salamah bahawa Nabi s.a.w bersabda:
الْمُتَوَفَّى عَنْهَا زَوْجُهَا لَا تَلْبَسُ الْمُعَصْفَرَ مِنَ الثِّيَابِ، وَلَا الْمُمَشَّقَةَ، وَلَا الْحُلِيَّ، وَلَا تَخْتَضِبُ، وَلَا تَكْتَحِلُ
“Wanita yang kematian suami tidak boleh memakai pakaian yang dicelup dengan ‘asfar (safflower), atau dicelup dengan masyq (warna merah), tidak boleh memakai perhiasan, tidak boleh berinai dan tidak boleh bercelak” (Riwayat al-Nasai, Abu Daud dll. Sahih)
 
Dalam riwayat lain, tidak boleh memakai wangian. Ini bukan bermaksud menyuruh wanita dalam edah serabut dan busuk. Namun, yang dimaksudkan ialah agar tidak menggambarkan kehendaknya untuk memikat pasangan baru atau untuk berkahwin. Dia memakai sekadar keperluan sahaja bukan persiapan untuk mendapatkan lelaki baru sebelum edah tamat. Dalam tempoh edah, dia hanya memakai biasa yang tidak menunjukkan hasrat untuk mendapat pasangan baharu. Ini sebagai menghormati perkahwinan yang lepas dan tanda dia wanita yang baik. Selepas habis tamat tempoh dia boleh melakukan hal itu.
 
8. Maka, dengan itu seseorang calon wanita dalam edah kematian tidak boleh keluar bait al-zaujiyyah (rumah kehidupan suami isteri) atau rumah yang dia menetap dalam tempoh edah jika tiada rumah perkahwinan untuk berkempen pilihanraya. Dia tidak boleh keluar daripadanya tanpa keperluan dalam meneruskan kehidupannya. Keluar kempen pilihanraya bukan keperluan hidup yang jika dia tidak keluar maka hidupnya terjejas. Hidup seseorang tidak bergantung kepada hal tersebut, kerana jika dia tidak menyertai berkempen piliharaya pun tidak menjejaskan keperluan asas hidupnya. Orang lain juga tidak mendapat kesusahan kerana ketidakhadirannya berkempen. Dalam konteks semasa hari ini, pilihanraya hanyalah perebutan kuasa bukan survival kehidupan seseorang. Bahkan banyak pihak lain yang boleh melakukan hal yang sama dan tidak bergantung hanya pada orang tertentu sahaja. Namun, jika seseorang berada dia suatu tempat atau negara yang penyertaannya menentukan survival umat Islam atau keselamatan orangramai, maka dia boleh keluar berkempen dalam konteks itu.
 
9. Pun begitu seseorang calon wanita dalam edah kematian tetap boleh berkempen di rumahnya samada melalui orang yang hadir atau melalui media baharu dengan pelbagai teknologi yang ada. Dalam masa yang sama dia perlu ingat tentang larangan bersolek dan berhias yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w. Maka kemunculannya dalam sosial media atau di talian atau siaran langsung hendaklah mengambil kira hal tersebut.
 

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 1187
Semalam 982
Minggu Ini 3259
Bulan Ini 21155

Keseluruhan 3093448

   Masa Capaian : 0.86 saat    Kemaskini :  09/12/2024