• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Boleh Mengulangi Solat Fardu Berjemaah Bersama Keluarga?

Boleh Mengulangi Solat Fardu Berjemaah Bersama Keluarga?

Soalan: Seorang lelaki melakukan solat Isyak secara berjemaah di masjid. Apabila balik ke rumah, dia menjadi imam kepada ahli keluarganya. Bolehkah seseorang itu mengulangi solat yang sama dengan niat membantu orang lain mendapatkan pahala berjemaah?

Jawapan Prof Dr MAZA:

Pada asasnya, seseorang yang telah bersolat fardu boleh mengulanginya semula dalam beberapa keadaan. Kaitan dengan soalan di atas, terdapat dua keadaan;

Pertama: Seseorang yang telah menunaikan solat tersebut di tempat lain, kemudian dia datang ke tempat solat jamaah bagi solat yang sama, maka adalah sunat untuk dia menyertai jamaah tersebut. Ini berdasarkan hadis Yazid bin al-Aswad al-‘Amiri:

يَزِيدَ بْنِ الْأَسْوَدِ الْعَامِرِيُّ، عَنْ أَبِيهِ قَالَ: شَهِدْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَاةَ الْفَجْرِ فِي مَسْجِدِ الْخَيْفِ، فَلَمَّا قَضَى صَلَاتَهُ إِذَا هُوَ بِرَجُلَيْنِ فِي آخِرِ الْقَوْمِ لَمْ يُصَلِّيَا مَعَهُ قَالَ: «عَلَيَّ بِهِمَا». فَأُتِيَ بِهِمَا تَرْعَدُ فَرَائِصُهُمَا فَقَالَ: «مَا مَنَعَكُمَا أَنْ تُصَلِّيَا مَعَنَا؟» قَالَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا قَدْ صَلَّيْنَا فِي رِحَالِنَا. قَالَ: «فَلَا تَفْعَلَا، إِذَا صَلَّيْتُمَا فِي رِحَالِكُمَا، ثُمَّ أَتَيْتُمَا مَسْجِدَ جَمَاعَةٍ فَصَلِّيَا مَعَهُمْ، فَإِنَّهَا لَكُمَا نَافِلَةٌ

“Aku menyertai Rasulullah s.a.w dalam Solat Subuh di Masjid al-Khaif. Apabila selesai solat, terdapat dua orang lelaki di hujung orangramai (ahli jamaah) yang tidak solat bersama baginda. Sabda Nabi s.a.w: “Bawa mereka berdua kepadaku”. Maka, mereka berdua dibawa datang dalam keadaan menggigil qarisoh (daging antara bahu dan bahagian tepi tubuh) mereka berdua (kerana ketakutan). Baginda bertanya: “Apa yang menghalang kamu berdua untuk solat bersama kami? Jawab mereka: “Wahai Rasulullah! Kami telah pun solat di rumah kami”. Sabda Nabi s.a.w: “Jangan kamu berdua buat bagitu. Jika kamu telah solat di rumah kamu, kemudian kamu datang ke masjid yang solat berjamaah, maka solatlah bersama mereka. Sesungguhnya ia nafilah (sunat) bagi kamu”. (Riwayat al-Nasai, al-Tirmizi dll. Sahih).

Kata al-Imam al-Son’ani dalam Subul al-Salam

وَهَذَا الْحَدِيثُ وَقَعَ فِي مَسْجِدِ الْخَيْفِ فِي حَجَّةِ الْوَدَاعِ فَدَلَّ عَلَى مَشْرُوعِيَّةِ الصَّلَاةِ مَعَ الْإِمَامِ إذَا وَجَدَهُ يُصَلِّي أَوْ سَيُصَلِّي بَعْدَ أَنْ كَانَ قَدْ صَلَّى جَمَاعَةً أَوْ فُرَادَى، وَالْأُولَى هِيَ الْفَرِيضَةُ، وَالْأُخْرَى نَافِلَةٌ كَمَا صَرَّحَ بِهِ الْحَدِيثُ

“Hadis (peristiwa) ini berlaku di Masjid al-Khaif semasa Haji al-Wada’ (Haji Terakhir Nabi s.a.w). Ia menunjukkan dibenarkan di sisi syarak untuk seseorang solat bersama imam jika mendapati imam sedang bersolat atau akan bersolat, sekalipun dia telah bersolat sebelum itu samada berjamaah atau sendirian. Solatnya yang pertama adalah solat fardu, solatnya yang kedua ialah sunat, seperti yang hadis ini nyatakan”. (2/47. Beirut: Muassasah Fuad)

Kedua; Seseorang telah bersolat bersama dengan satu jamaah, kemudian dia ingin bersolat sekali lagi dengan jamaah yang lain atas sebab-sebab tertentu seperti menjadi imam, atau dalam jamaah yang lebih ramai dan seumpamanya. Hal ini juga dibolehkan. Dalam hadis Jabir bin ‘Abd Allah:

أَنَّ مُعَاذَ بْنَ جَبَلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، كَانَ يُصَلِّي مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ يَأْتِي قَوْمَهُ فَيُصَلِّي بِهِمُ الصَّلاَةَ

“Sesungguhnya Mu’az bin Jabal r.a. itu bersolat bersama Nabi s.a.w, kemudian datang kepada kaumnya dan menjadi imam solat mereka” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan boleh seseorang yang solat jamaah di masjid, kemudian pergi menjadi imam pula kepada mereka yang lain bagi solat fardu yang sama. Ini menjawab soalan yang ditanya, apakah boleh seseorang yang solat di masjid kemudian pulang ke rumah menjadi imam untuk isteri dan anak-anaknya? Maka, jawapan hal itu boleh, bahkan dia mendapat pahala solat sunat bagi solat yang kedua. Hadis ini juga menjadi dalil bahawa seseorang yang bersolat sunat boleh menjadi imam kepada seseorang yang bersolat fardu kerana solat pertama yang Muaz tunaikan adalah fardu, yang kedua adalah bertaraf sunat, tapi dia menjadi imam. Maka boleh seseorang yang solat fardu Isyak mengikut imam yang solat sunat tarawih dan seumpamanya.

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 716
Semalam 982
Minggu Ini 2788
Bulan Ini 20684

Keseluruhan 3092977

   Masa Capaian : 0.85 saat    Kemaskini :  09/12/2024