Syarat Menderma Organ Semasa Masih Hidup?
Soalan: Bolehkan menderma organ semasa kita masih hidup? Tidakkah ini termasuk dalam memusnahkan diri?
Jawapan Mufti Perlis Dato Dr MAZA:
1. Isu menderma organ merupakan isu yang muncul di zaman ini. Isu ini secara khusus tidak disebut dalam kitab-kitab klasik dahulu. Maka, para ulama berijtihad atas usul dan kaedah fekah yang sedia ada dengan meneliti masalah baharu yang muncul. Hasilnya, beberapa badan fatwa seperti al-Majma’ al-Fiqhi al-Islami (The Islamic Fiqh Council) di bawah Rabitah al-‘Alam al-Islami (Muslim World League) pada tahun 1985, Majma’ al-Fiqh al-Islami al-Duwali (International Islamic Fiqh Academy) di bawah OIC pada tahun 1988, dan badan-badan fatwa yang lain memutuskan harus (dibolehkan) melakukan pemindahan organ atau anggota insan yang masih hidup untuk menyelamatkan insan yang lain dengan syarat-syaratnya.
2. Jika kita lihat perbahasan mereka, kita dapat simpulkan bahawa syarat-syarat utama pemindahan organ insan yang masih hidup kepada insan lain ialah;
Pertama: Pemindahan itu tidak memudaratkan kehidupan pemberi organ tersebut. Ertinya, jika ia membawa kepada kemudaratan kekal dirinya seperti akan berlaku kecacatan kekal yang menyukarkan kehidupannya atau hilang salah satu fungsi penting pada tubuh, atau kesakitan yang berpanjangan pada diri pemberi organ, maka itu adalah dilarang.
Kedua: Proses pemindahan itu diyakini dapat memberikan manfaat kepada yang memerlukan melebihi kadar mudarat yang akan berlaku. Ia bukan sekadar ujian pemindahan yang tiada kepastian hasilnya. Jika andaian kegagalan itu dijangka besar, maka tidak boleh dilakukan kerana ia merisikokan diri penderma yang asalnya sihat.
Ketiga: Hendaklah itu berlaku dengan persetujuan pemberi organ tanpa paksaan atau keterpaksaan seperti kerana memerlukan wang dan seumpamanya. Juga dipastikan persetujuan itu diberikan dalam keadaan sedar dan faham tentang proses tersebut serta mengetahui risiko yang ada. Ini hanya boleh berlaku jika penderma itu seorang yang berakal dan matang untuk membuat keputusan tersebut untuk dirinya.
Keempat: Pemindahan organ insan yang hidup itu merupakan satu-satunya cara yang ada untuk menyelamatkan diri penerima organ tersebut. Jika ada jalan lain yang boleh dilakukan tanpa proses pemindahan organ insan yang masih hidup, hendaklah diambil jalan yang lebih selamat.
Kelima: Pemindahan itu bukan atas dasar jual-beli. Ini kerana kemuliaan manusia melarang diri diperdagangkan seperti itu. Sesetengah menqiyaskan larangan syarak menjual orang merdeka.
3. Perincian kepada syarat-syarat tersebut dibincangkan merujuk kepada kes demi kes. Namun, secara umumnya, jika syarat-syarat di atas dapat dipenuhi maka pemindahan organ orang hidup kepada yang memerlukan boleh dilakukan di sisi syarak.