• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Kenali Hadis Palsu Menerusi Matan

KENALI HADIS PALSU MENERUSI MATAN

Prof Madya Dato Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Menyebarkan hadis palsu tanpa menerangkan tentang kepalsuannya adalah merupakan satu dosa yang amat besar. Penipuan dan bersekongkol dengan penipuan adalah dosa menurut ajaran Islam. Apatah lagi jika pembohongan itu menggunakan nama Allah dan RasulNYA. Kesannya besar dan bahaya. Mereka yang terpedaya dengan penipuan tersebut akan mengamalkan sesuatu yang disangkakan bersumber dari Tuhan sedangkan hakikatnya tidak demikian. Jika isi pembohongan itu sesuatu yang jelas bercanggah dengan hakikat fakta, ataupun sesuatu yang ‘lekeh’ maka Tuhan ataupun RasulNya akan dipersalahkan. Mungkin ia akan  menghilangkan keimanan manusia terhadap ajaran agama.

Justeru itu, Islam mengharamkan sama sekali perbuatan mengadakan hadis palsu seperti penegasan Nabi s.a.w dalam hadis mutawatir:

إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ، مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا، فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”. (Riwayat al-Bukhari)

   Bukan sahaja mengadakan hadis palsu itu dosa besar, menyebarkannya juga berkongsi dosa besar yang sama. Dalam era teknologi ini, begitu mudah sesuatu hadis palsu itu tersebar. Menerusi sms, email, facebook, twitter dan pelbagai lagi, ramai yang terlibat dengan kegiatan dosa menyebarkan hadis palsu ini. Maka berhati-hatilah. Beberapa klik tanpa penelitian boleh membawa anda menjadi pendusta yang menggunakan nama Allah dan RasulNYa.

 

Mengkritik Matan

   Pembaca internet juga terdedah kepada pelbagai sumber hadis palsu. Saya pernah mengajar di USM kursus Analisa Kritis Matan Hadis untuk para pelajar ijazah tinggi. Saya rasa orang awam juga wajar dibekalkan sedikit sebanyak pengetahuan tentang analisa matan hadis.

   Secara umumnya, hadis palsu dapat diketahui melalui dua cara; pertama: kajian terhadap sanad (rangkaian perawi). Kedua; kajian terhadap matan atau kritik teks (textual criticism). Untuk mengkaji para perawi adalah sesuatu yang bukan mudah melainkan mereka yang terbabit langsung dalam bidang hadis. Apakah ada cara untuk seseorang biasa mengagak sesuatu hadis itu mungkin palsu hanya dengan membaca matan (teks) sahaja? Maka di sini datang peranan naqd al-matn (kritik teks) atau kajian teks tadi.

   Pengetahuan ini amat penting kepada para pengguna internet hari ini, kerana ia sekurang-kurang dapat menjadikan mereka berhati-hati apabila melihat ataupun mendengar teks hadis yang pelbagai. Jika pun mereka tidak dapat memutuskan kedudukan hadis-hadis tersebut, sekurang-kurangnya mereka akan menangguhkan dulu sebelum mempercayainya sehingga ternyata kedudukannya.

Ibn Qayyim

   Ilmuan hadis yang terbilang iaitu Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) pernah ditanya apakah mungkin untuk mengetahui hadis palsu tanpa melihat kepada sanadnya? Untuk menjawab persoalan yang besar itu, beliau telah menghasilkan buku yang amat penting dalam sejarah ilmu mengkritik teks hadis iaitu karya beliau Al-Manar Al-Munif fi al-Sahih wa al-Da’if. Sesiapa yang berkemampuan membaca teks arab, saya mencadangkan mereka membaca buku ini bersama komentar yang dibuat oleh al-Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah. Bagaimana pun, bagi yang tidak menguasai, saya ingin memetik beberapa noktah menarik yang disebut oleh al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam buku tersebut bersama sedikit ulasan.

   Antara yang disebut oleh Ibn Qayyim; hadis palsu itu antara cirinya mengandungi unsur mujazafah iaitu berlebih-lebihan dalam penetapan pahala dan dosa. Perkara yang kecil diletakkan hukuman yang terlalu besar, ataupun ganjaran yang terlalu besar yang tidak munasabah. Contoh yang dibawa oleh Ibn Qayyim iaitu hadis palsu:

مَنْ قَالَ: لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ، خَلَقَ اللَّهُ مِنْ تِلْكَ الْكَلِمَةِ طَائِرًا لَهُ سَبْعُونَ أَلْفَ لِسَانٍ، لِكُلِّ لِسَانٍ سَبْعُونَ أَلْفَ لُغَةٍ، يَسْتَغْفِرُونَ اللَّهَ لَهُ.

“Sesiapa yang mengucap Lailaha illaAllah; Allah ciptakan kalimah itu menjadi seekor burung yang mempunyai 70,000 lidah, setiap lidah ada 70,000 bahasa yang beristighfar kepadanya”. (m/s 51. Halab, Syria: Maktabah al-Matbu‘at al-Islamiyyah)

Logik

   Antara ciri lain bagi hadis palsu ialah bercanggah dengan fakta yang nyata. Banyak contoh yang disebut oleh Ibn Qayyim lagi dalam bukunya itu; antaranya hadis palsu:

الْبَاذِنْجَانُ شِفَاءٌ مِنْ كُلِّ دَاءٍ

“Terung itu ubat bagi segala penyakit”.

Contoh lain:

عَلَيْكُمْ بِالْعَدَسِ، فَإِنَّهُ مُبَارَكٌ مُقَدَّسٌ، وَقَدْ بَارَكَ فِيهِ سَبْعُونَ نَبِيًّا.

“Hendak kamu memakan kacang dal kerana ia berkat dan melunakkan jantung hati. Membanyak airmata dan ia disucikan oleh 70 nabi”. (m/s 52)

   Antara lain beliau menyebut hadis ciri hadis palsu itu ia kelihatan selekeh dan boleh dipersendakan. Banyak contohnya, antara yang disebut; hadis palsu

لَوْ كَانَ الأُرْزُ رَجُلا لَكَانَ حَلِيمًا

“Jika beras itu lelaki nescaya dia seorang yang penyantun”.

Contoh lain;

عَلَيْكَ بِالْمِلْحِ فَإِنَّهُ شِفَاءٌ مِنْ سَبْعِينَ دَاءً

“Hendaklah kamu memakan garam kerana ia ubat bagi 70 penyakit”.

Contoh lain:

مَا مِنْ رُمَّانَ إِلا وَيُلَقَّحُ بِحَبَّةٍ مِنْ رُمَّانِ الْجَنَّةِ

“Tiada buah delima melainkan bijinya berasal dari syurga”. (m/s 55)

Contoh lain:

مَنِ اتَّخَذَ دِيكًا أَبْيَضَ لَمْ يَقْرَبْهُ الشَّيْطَانُ وَلا السَّحَرَةُ

“Sesiapa yang membela ayam jantan putih, maka dia tidak akan dihampiri oleh syaitan dan sihir”.

Kemudian Ibn Qayyim membuat kesimpulan tentang hadis ayam jantan: “Kesemua hadis ayam jantan adalah dusta kecuali satu hadis iaitu:

إِذَا سَمِعْتُمْ صِيَاحَ الدِّيَكَةِ فَاسْأَلُوا اللَّهَ مِنْ فَضْلِهِ فَإِنَّهَا رَأَتْ مَلَكًا

“Apabila kamu mendengar kokokan ayam jantan hendaklah kamu memohon kurniaan dari Allah kerana ia melihat malaikat” (riwayat Bukhari dan Muslim). (m/s 56)

Dalam masyarakat melayu, terdapat juga mereka yang mempercayai kelebihan ayam jantan putih. Kepercayaan itu mungkin berasal dari hadis-hadis palsu yang seumpama ini.

Canggah Sumber Sahih

   Ciri hadis palsu yang lain yang dinyatakan oleh Ibn Qayim apabila sesuatu hadis itu bercanggah dengan hadis sahih yang lain secara nyata. Ini seperti hadis-hadis palsu yang memuji orang yang bernama Muhammad ataupun Ahmad bahawa sesiapa bernama seperti itu tidak akan masuk neraka. Ini bercanggah dengan prinsip ajaran Nabi s.a.w yang menegas bahawa neraka itu bukan dapat dielakkan dengan nama dan gelaran sebaliknya dengan iman dan amalan soleh.  (m/s 57)

   Antara ciri palsu lain ialah hadis yang menyebut Nabi Khidir masih hidup. Kesemua hadis yang membawa maksud tersebut adalah palsu dan dusta. Kemudian al-Imam Ibn Qayyim mengemukakan banyak hujah dari al-Quran dan al-Sunnah yang membuktikan bahawa cerita Khidir masa hidup sehingga kini adalah dusta dan palsu. (m/s 67-76)

Pelik

Contoh hadis palsu lain:

المجرَّة التي في السَّماء مِنْ عَرَقِ الأفعى التي تحت العرش

“Pelangi di langit itu adalah tengkok ular yang berada di bawah Arsy”.

Juga hadis palsu:

لا تَغْتَسِلُوا بِالْمَاءِ الْمُشَمَّسِ فَإِنَّهُ يُورِثُ الْبَرَصَ

“Jangan mandi air yang terdedah kepada matahari kerana ia menyebabkan sopak” (m/s 60)

   Antara ciri hadis palsu ialah apabila terdapat dalamnya penetapan tarikh tertentu seperti pada tahun sekian dan sekian, pada bulan sekian dan sekian akan berlaku peristiwa itu dan ini. Ini ciri kepalsuan sesuatu hadis. Ini seperti hadis bahawa akan berlaku gerhana dalam Bulan Muharram kemudian berlaku peristiwa itu dan ini. (m/s 64).

Banyak hadis yang seperti ini tersebar dalam internet lalu dipercayai oleh mereka yang dangkal akal dan pengetahuan.

Antara ciri yang lain hadis yang seakan ucapan ahli perubatan, bukan ungkapan seorang nabi. Ini seperti hadis palsu:

أكل السمك يوهن الجسد

“Memakan ikan melemahkan jasad”.

Contoh lain:

الذي شكا إلى النبي صلى الله عليه وسلم قلة الولد، فأمره أن يأكل البيض والبصل

“Ada seseorang mengadu kepada Nabi s.a.w bahawa dia kurang anak. Nabi menyuruhnya memakan telur dan bawang”.

Contoh lain:

"أَطْعِمُوا نِسَاءَكُمْ فِي نِفَاسِهِنَّ التَّمْرَ"

“Berikan isteri-isteri kamu memakan tamar semasa nifas”. (m/s 65).

Banyak hadis yang seperti yang kadang-kala dibaca oleh mereka yang bergelar ‘ustaz dan ustazah’ yang tidak meneliti ilmu hadis ini. Para peniaga suka hadis- hadis seperti itu untuk melariskan peniagaan mereka.

Banyak lagi ciri-ciri yang disebut oleh Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam karya itu. Begitu banyak hadis-hadis palsu yang beliau sertakan sebagai contoh untuk pembaca. Tulisan saya ini sekadar memberikan kesedaran awal untuk mereka yang kurang memberikan perhatian dalam hal ini. Anda boleh rujuk juga beberapa artikel saya tentang hadis palsu sebelum ini. 

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 390
Semalam 1090
Minggu Ini 1480
Bulan Ini 19376

Keseluruhan 3091669

   Masa Capaian : 0.86 saat    Kemaskini :  09/12/2024