Memahami Hadis Pahala Syahid Duduk Di Rumah Semasa Wabak
Prof Madya Dato Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin
Mufti Negeri Perlis
Ramai yang bertanya tentang hadis pahala syahid sesiapa yang tinggal di rumah dengan sabar dan mengharapkan pahala semasa wabak. Hadis tersebut daripada Umm al-Mukminin ‘Aishah r.ha:
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا، زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَتْ: سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الطَّاعُونِ، فَأَخْبَرَنِي "أَنَّهُ عَذَابٌ يَبْعَثُهُ اللَّهُ عَلَى مَنْ يَشَاءُ، وَأَنَّ اللَّهَ جَعَلَهُ رَحْمَةً لِلْمُؤْمِنِينَ، لَيْسَ مِنْ أَحَدٍ يَقَعُ الطَّاعُونُ، فَيَمْكُثُ فِي بَلَدِهِ -وفي رواية أحمد : فَيَمْكُثُ فِي بَيْتِهِ- صَابِرًا مُحْتَسِبًا، يَعْلَمُ أَنَّهُ لاَ يُصِيبُهُ إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَهُ، إِلَّا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ شَهِيدٍ"
“Daripada ‘Aishah r.ha yang merupakan isteri Nabi s.a.w, beliau berkata: “Aku bertanya Rasulullah s.a.w mengenai (penyakit) taun. Baginda memberitahu kepadaku: “Sesungguhnya ia merupakan azab yang ALLAH hantar kepada sesiapa yang DIA kehendaki. Sesungguhnya ALLAH menjadikannya rahmat kepada orang-orang yang beriman. Tiada seorang pun yang berlaku taun (di tempatnya), lalu dia kekal berada di tempatnya -dalam riwayat al-Imam Ahmad: kekal berada dalam rumahnya- dalam keadaan sabar serta mengharapkan (pahala atau kesembuhan dari ALLAH) dengan dia percaya bahawa tidak menimpanya melainkan apa yang ALLAH tetapkan untuknya, maka baginya seperti pahala seorang syahid”.
Ulasan Hadis:
1. Hadis ini diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari sebanyak dua kali. Pertama dalam كِتَابُ أَحَادِيثِ الأَنْبِيَاءِ/ بَابُ حَدِيثِ الغَار dan kedua كِتَابُ الطِّبِّ/ بَابُ أَجْرِ الصَّابِرِ فِي الطَّاعُونِ. Dalam Musnad Ahmad diriwayatkan sebanyak tiga kali dan lafaz فَيَمْكُثُ فِي بَيْتِهِ (dia kekal berada dalam rumahnya) ialah hadis 26139 (cetakan Beirut: Muassasah al-Risalah/tahqiq: Syu’aib al-Arnaut). Hadis ini juga diriwayatkan oleh al-Nasai dalam al-Sunan al-Kubra dan Ishaq bin Ruhuyah dalam musnad beliau.
2. Dalam hadis ini, Nabi s.a.w menggesa sesiapa yang berlaku wabak taun di negeri atau tempatnya agar kekal tidak meninggalkan tempat atau rumahnya. Para ulama dahulu ketika membahaskan hadis ini, banyak tertumpu kepada bab keredhaan menerima ujian ALLAH dan sabar. Mereka tidak menumpukan kepada alasan arahan Nabi s.a.w supaya berada di tempat atau rumah kawasan terjadi wabak. Mungkin antara sebabnya, perkembangan ilmu perubatan semasa itu belum seperti di zaman ini. Namun, jika kita lihat dari sudut ilmu perubatan di masa ini, antara hikmat yang besar panduan Nabi s.a.w ini ialah supaya mereka yang terkena wabak atau mempunyai kontak (hubungan) dengan pembawa virus (carrier) tidak bergerak ke tempat lain yang akan menyebabkan virus itu tersebar. Melalui ilmu perubatan moden hari ini, kita dapat tahu bahawa bukan orang positif virus sahaja yang boleh menyebarkan penyakit, orang lain yang berhubungan langsung dengan pesakit juga boleh menjadi pembawa virus wabak tersebut. Dia mungkin masih tampak sihat disebabkan antibodinya yang kuat, tapi dia boleh menjadi pembawa. Demikian juga orang yang terkena virus wabak, kadang-kala tidak nampak kesan pada peringkat awal. Seseorang mungkin merasakan dirinya sihat, padahal dia sudah terkena wabak dan menjadi pembawa wabak. Kemudian, baru kesannya akan zahir pada dirinya. Menghalang mereka yang berada di kawasan wabak keluar bererti dapat menghalang mereka yang positif wabak, dan juga yang mempunyai kontak (perhubungan) dengan mereka yang positif wabak yang berpotensi menjadi pembawa wabak (potential carrier). Pada zaman dahulu, tiada teknologi untuk mengesan dan membuat saringan mereka yang positif atau negatif wabak. Demikian juga, bukan mudah sekalipun di zaman ini untuk mengesan dengan siapa seseorang telah mempunyai hubungan seperti pertemuan atau sentuhan atau terkena virus pada barangan yang disentuh, atau pada udara. Maka, menghalang manusia yang berada di kawasan wabak keluar ke kawasan lain merupakan langkah yang paling berkesan. Ini membuktikan kebenaran ajaran Nabi s.a.w. Pada hari ini kita melihat di mana kerajaan-kerajaan di dunia mengambil langkah kuarantin dan ‘lockdown’ iaitu menegah pergerakan rakyat.
3. Kita tahu bahawa jika penduduk yang masih sihat di negeri yang terkena wabak itu kekal di negeri mereka, mereka mempunyai risiko akan terkena virus wabak tersebut. Maka biasanya, manusia yang belum terkena wabak akan memilih untuk melarikan diri dari negeri mereka yang ditimpa wabak. Tindakan itu kemungkinan menyebabkan wabak menular pula kepada penduduk negeri lain. Ini seperti yang kita tahu bahawa seseorang mungkin positif wabak tapi belum nampak kesannya pada peringkat awal. Juga mungkin dia belum positif disebabkan antibodi yang kuat, tapi dia pembawa virus. Dia mungkin merasakan melarikan diri ke tempat lain itu dapat menyelamatkan dirinya, padahal dia berkemungkinan membawa penyakit bersamanya kepada orang lain. Maka, Nabi s.a.w menyuruh mereka itu kekal di negeri atau tempat tersebut sekalipun mempunyai risiko yang besar. Maka, kekalnya mereka di tempat mereka seperti mengorbankan diri sendiri demi menyelamatkan orang lain. Maka, di situ mereka mendapat pahala syahid jika mereka melakukannya kerana menunaikan perintah Nabi s.a.w dalam keadaan sabar dan mengharapkan pahala. Dalam hadis yang lain yang diriwayatkan oleh ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf dan Usamah bin Zaid, Nabi s.a.w bersabda:
إِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ بِأَرْضٍ، فَلَا تَقْدَمُوا عَلَيْهِ، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا، فَلَا تَخْرُجُوا فِرَارًا مِنْهُ
“Apabila kamu mendengar mengenainya (wabak taun) di sesuatu tempat, maka jangan kamu memasuki tempat tersebut. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada dalamnya, jangan kamu keluar melarikan diri daripadanya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
4. Pada zaman yang perkembangan ilmu perubatan belum maju, penawar bagi banyak penyakit sukar ditemui. Bahkan pada hari ini pun, apabila berlaku sesuatu wabak baharu, bukan mudah manusia mendapatkan ubat yang dapat menyembuhkan wabak yang baru. Terus berada di kawasan wabak demi mematuhi arahan Nabi s.a.w dalam keadaan tiada penawar atau pembenteng, seakan menyerah diri kepada penentuan Allah tanpa usaha menyelamatkan diri. Sedangkan kita tahu, asal dalam ajaran agama berusaha dan bertawakkal. Ini seperti sabda Nabi s.a.w apabila ditanya oleh seorang lelaki:
قَالَ رَجُلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَعْقِلُهَا وَأَتَوَكَّلُ، أَوْ أُطْلِقُهَا وَأَتَوَكَّلُ؟ قَالَ: "اعْقِلْهَا وَتَوَكَّلْ"
Seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulullah! Apakah aku patut menambat untaku dan bertawakkal, atau aku melepaskannya dan bertawakkal?”. Jawab Nabi s.a.w: “Tambatlah unta itu, dan bertawakkal” (Riwayat al-Tirmizi. Ibn Hibban mensahihkannya. Hadis berstatus ‘hasan’ pada sisi al-Albani dan al-Arnaut).
Maka, di sini datangkan peranan keyakinan terhadap kehendak Allah boleh mengatasi segala jika DIA kehendaki, atau DIA memberikan pahala yang besar atas ujianNYA.
5. Dalam keadaan ruang usaha atau mencari sebab musabab tidak boleh dilakukan, maka yang tinggal hanyalah penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah S.W.T. Kita tahu, alam ini Allah cipta atas sistem dan peraturannya. Sebab dan musabab berperanan dalam kejadian-kejadian alam. Allah menyuruh hamba-hamba berusaha dan melalui sistem yang DIA letakkan pada alam ini. Para rasul yang diutus oleh Allah juga mesti melalui usaha dan mencari jalan menjayakan dakwah mereka, tidak hanya bertawakkal dan menunggu kemenangan. Berusaha dan bertawakkal, itu asal tanggungjawab kita. Namun, apabila segala usaha sudah habis atau tiada lagi, maka hanya pergantungan kepada Allah sahaja yang tinggal. Maka, dalam hadis ini Nabi s.a.w menegaskan hendaklah orang yang kekal di kawasan wabak itu meyakini bahawa tidak akan menimpanya melainkan apa yang Allah telah kehendaki untuknya. Dalam erti kata lain, sekalipun usaha telah habis, bukan bererti pengharapan telah tamat. Jika Allah mahu, Allah akan memeliharanya dari bahaya wabak tersebut. Hanya Allah yang dapat mengatasi sistem alam ciptaanNYA. Adapun, jika penyakit tetap menimpanya, atas sistem asal alam yang Allah jadikan, maka Allah berikan ganjaran rahmat untuknya. Dia akan diberikan keampunan dan pahala yang besar. Jika seseorang yang duduk di rumah, sabar dan mengharapkan pahala mendapat ganjaran syahid, sudah pasti jika dia mati pahala itu lebih besar untuknya.