• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Aku Hanya Debu Berdosa di Hidung Kuda Perjuangan

AKU HANYA DEBU BERDOSA DI HIDUNG KUDA PERJUANGAN

(artikel ini ditulis selepas peristiwa kereta saya dibakar pada 22 Mac 2019 semasa saya masih menyewa rumah di Kangar sebelum berpindah ke rumah sendiri)

Agak lama saya berfikir patut atau tidak saya mencoret sesuatu tentang peristiwa kereta saya dibakar. Saya bimbang jika ia tidak baik untuk jiwa saya. Namun, setelah saya fikirkan, saya rasa eloklah saya catat sesuatu sebagai kenangan dan perkongsian.

Apabila kita belayar ke lautan, kita pasti menjangka bahawa badai akan mendatangi kita pada bila-bila masa. Kata pepatah “jika kita takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai”. Berumah di tepi pantai pun mempunyai risiko dipukul ombak, apatahlagi jika kita belayar ke tengah lautan. Demikianlah setiap kita yang memasuki lautan perjuangan. Hal-hal yang mencabar pasti dijangka dan diduga.

Bagi saya, peristiwa kereta saya dibakar tidaklah begitu besar. Siapalah saya melainkan seorang pendosa yang menumpang di pinggiran kafilah perjuangan dakwah yang besar. Saya hanya debu hina di hidung kuda dan unta yang membawa bebanan dan para pejuang sepanjang sejarah dakwah yang agung. Telah disakiti para nabi yang sangat mulia. Ada yang dibunuh dan ada yang dicederakan. Nabi Muhammad s.a.w yang tersangat mulia itu pernah dilontar dengan batu-batu di Taif sehingga luka dan darah mengalir di tubuhnya. Baginda pernah terjatuh dalam lubang perangkap Abu ‘Amir al-Fasiq sehingga luka wajahnya, patah giginya dan tercucuk besi di kepalanya. Baginda pernah diracun oleh wanita Yahudi di Khaibar sehingga pada akhir hayat baginda, racun itu terus baginda rasai. Khalifah ‘Umar al-Khattab r.a. yang tersangat adil dan soleh itu, mati ditikam ketika sedang bersolat. Khalifah ‘Uthman bin ‘Affan r.a yang warak itu mati dibunuh oleh pemberontak yang beragama Islam ketika sedang membaca al-Quran dan dalam keadaan berpuasa. Darah merah mengalir di mushaf al-Quran yang beliau baca. Isterinya juga dicederakan. Khalifah ‘Ali bin ‘Abi Talib menantu Rasulullah s.a.w itu ditikam dengan pedang beracun oleh Khawarij ketika sedang solat. Khalifah ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz dikatakan mati diracun oleh pekerjanya. Pekerja itu diumpan oleh musuh sebanyak 1000 dinar. Siapalah saya dibandingkan mereka. Hanyalah seorang pendosa yang cuba menumpang di pinggiran perjalanan kafilah dakwah mereka yang berterusan sehingga Kiamat. Maka bukan tujuan saya membandingkan diri dengan mereka. Sekadar menyatakan jika mereka mengalami, siapalah saya untuk mempersoalkan takdir jika hal seperti itu berlaku.

Seperti Biasa

Alhamdulillah, setakat ini saya dan keluarga tidak trauma. Kehidupan kami seperti biasa. Bahkan kami tidak bersembang banyak tentang hal itu. Sekarang pula waktu cuti sekolah. Anak-anak pulang bercuti. Kebetulan kerja pun banyak dan bajet kami untuk bercuti ke mana-mana tidak mengizinkan di saat ini, maka kami banyak bersama di rumah sahaja. Pagar kami masih tidak tutup seperti biasa. Cumanya, kami agak beringat untuk memastikan pintu rumah berkunci ketika waktu tidur.

Saya berterima kasih kepada ramai yang menghantarkan mesej mengingatkan saya bahawa tidak wajar saya mengambil ringan soal keselamatan rumah. Ini kerana mereka membaca tulisan saya sebelum ini yang pagar rumah saya sentiasa terbuka 24 jam. Saya hargai nasihat-nasihat itu. Saya akui benarnya nasihat-nasihat itu. Saya juga berfikir tentang hal itu. Sebelum ini saya berfikir apalah yang ada dalam rumah saya. Hanya buku-buku yang memenuhi ruang. Itulah khazanah saya. Barang lain yang paling saya sayangi ialah laptop saya yang saya akan simpan di tempat selamat apabila waktu tidur atau kami tiada di rumah. Itupun bukan kerana hargainya tetapi kerana isinya yang merupakan hasil kerja saya. Adapun pada anak-isteri saya, kami semua marhaen biasa. Tiada emas dan perhiasan mahal di tubuh. Jika ada pun kadarnya yang terlalu sedikit. Tidak perasan pun ia wujud. Bak kata orang ‘tak balik modal jika pencuri masuk mencuri’.

Keselamatan Keluarga

Pun begitu, peristiwa kereta saya dibakar itu memberikan sedikit kesedaran kepada saya tentang keselamatan keluarga saya. Saya mula merasakan betapa pentingnya alat pemadam kebakaran umpamanya. Pertama kali saya gunakan semasa peristiwa tersebut kerana ada dua balang yang diberikan oleh seseorang kepada kami. Walaupun tidak berjaya memadamkan, tetapi ternyata ia penting.

Ramai orang tidak tahu bahawa rumah yang saya tinggal hanyalah rumah sewa. Sudah lima tahun saya berada di Perlis sebagai Mufti Perlis untuk kali yang kedua. Kami sewa rumah yang ada ini. Kami tiada rumah di Perlis. Rumah kami dahulunya di IQ Bukit Mertajam. Di IQ Bukit Mertajam, di situlah rumah dan di situlah markaz perjuangan. Di Perlis sekadar sewa. Cumanya, sekarang saya memang sedang menyiapkan rumah sendiri. Jika ada rezeki kami mungkin akan pindah ke rumah sendiri. Langkah-langkah keselematan yang dinasihatkan itu, in sha Allah saya akan berikan perhatian.

Mohon Maaf

Saya ingin memohon maaf kepada ramai kenalan yang menghubungi saya, tidak sempat saya menjawabnya. Ia bukan kerana trauma, tetapi kerana urusan yang lain dan juga kadang-kala saya rasa tidak mampu untuk mengulangi cerita yang sama. In sha Allah melalui tulisan ini, mereka akan dapat membacanya.

Antara yang menarik kejadian ini, ramai yang memberikan kata-kata semangat untuk saya. Ada juga yang menghubungi saya untuk memberikan kenderaan baru. Saya amat hargai dan terharu. Saya ingin beritahu bahawa kereta yang dibakar itu kenderaan kerajaan. Samada saya akan mendapat gantian baru ataupun tidak, saya belum pasti. Harap-harapnya saya dapat yang baru. Entah bila, saya belum tahu. Apapun saya masih ada kereta sedan Proton Saga. Walaupun ‘tidak baru’ tapi masih boleh bergerak bak kata ‘orang tiada rotan akar pun jadi’. Saya juga ada Estima yang walaupun agak berusia tapi masih baik. Itu untuk kenderaan keluarga kami.

Tidak Mati

Ya, dalam hidup ini kenderaan memanglah penting. Namun kenderaan itu digerakkan kerana perjuangan. Maka, sekalipun kenderaan terhenti, perjuangan tidak boleh berhenti. Musuh boleh membakar kereta atau apa sahaja, tapi jangan sampai terbakarnya perjuangan. Ini kerena perjuangan adalah nafas kehidupan. Kenderaan hanyalah salah satu alat dalam menguruskan perjuangan. Hanya satu sahaja yang boleh menamatkan kisah perjuangan kita, iaitu ajal. Itupun hanya menamatkan diari kita. Ini kerana perjuangan ini bukan milik kita. Ia milik Allah. Perjuangan tidak memerlukan kita. Kita memerlukan perjuangan. Kita akan mati, namun perjuangan tidak pernah berhenti. Ia adalah kafilah yang berterusan sehingga Kiamat.

Ampuni Dosa Baiki Amalan

Antara yang saya syukur dalam kejadian ini ialah saya bertemu dengan ramai orang yang bersalaman dan menyebut “Teruskan Perjuangan”. Sebahagian besar mereka tidak pernah pun memperlihatkan semangat sokongan sebelum ini. Kejadian ini menjadikan mereka mengucapkan kata-kata itu. Saya harap itu adalah antara hikmah Allah Yang Maha Penyayang takdirkan. Ya! Perjuangan mesti diteruskan. Perjuangan untuk menegakkan yang benar dan berkata benar. Semua insan ada kekurangan dan kecacatan amalannya, apatahlagi dalam menguruskan perjuangan dakwah ini. Namun, perkataan yang benar akan menjadikan amalan kita Allah baiki dan dosa kita diampunkan. Firman Allah dalam Surah al-Ahzab ayat 70-71:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَقُولُواْ قَوۡلا سَدِيدا. يُصۡلِحۡ لَكُمۡ أَعۡمَٰلَكُمۡ وَيَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡۗ وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدۡ فَازَ فَوۡزًا عَظِيمًا

(maksudnya) “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan berkatalah perkataan yang benar. (Dengan demikian) nescaya Allah memperbaiki amalan-amalan kamu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar”.

Saya hanyalah pendosa di pinggir perjuangan yang besar. Hanya debu hina yang terlekat di hidung kuda dan unta kafilah yang membawa bebanan di sepanjang sejarah dakwah. Itupun sudah cukup untuk saya syukuri. Saya hanya berharap diri yang berdosa ini diampuni kerana menumpang rahmat pada kafilah yang berkat Telah pun berlaku pelbagai perkara besar, sadis dan trajis kepada mereka-mereka yang mulia di sisi Allah yang memikul tribulasi dakwah kepadaNYA. Apalah sangat kejadian yang berlaku pada saya seorang hamba pendosa dibandingkan mereka.

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 412
Semalam 1090
Minggu Ini 1502
Bulan Ini 19398

Keseluruhan 3091691

   Masa Capaian : 0.87 saat    Kemaskini :  09/12/2024