LGBT: Antara Larangan Tuhan dan Hak Kemanusiaan
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin
Isu LGBT telah menarik perhatian rakyat Malaysia. Ia mungkin satu pengalaman baru bagi sesetengah pihak khususnya masyarakat yang kurang terdedah kepada berita dunia luar yang semakin rencam. Namun, di Barat, isu tuntutan hak golongan LGBT bukan lagi sesuatu yang baru. Jumlah golongan ini dan kadar simpati kepada golongan ini juga meningkat. Dunia teknologi maklumat yang begitu pantas menjadikan pelbagai budaya dan amalan di tempat yang berbeza hadir ke tempat lain dengan pantasnya. Silang budaya dan cara fikir telah membentuk dunia yang baharu. Siapa yang lebih dominan, dia akan menguasai kempen budaya dan pemikiran. Akhirnya, diangkat slogan dan laungan mereka. Maka, janganlah hairan jika banyak isu-isu baharu yang dahulunya ganjil tetapi hari ini menjadi sebahagian dari isu penting yang kita wajar menanganinya.
Bagi muslim dan juga non-muslim, di sini saya ingin menyebut beberapa perkara berkaitan sikap Islam terhadap golongan LGBT ini untuk difahami;
1. Hubungan seks dengan jantina sejenis menyanggahi fitrah (natural disposition), sekaligus menyanggahi ajaran Islam. Ia satu kemunkaran yang mesti dibantah dan haram seorang muslim terlibat bersekongkol dengan aktiviti-aktiviti songsang ini.
2. Jika maksiat seperti homoseksual itu dilakukan secara terang-terangan atau terbuka, maka bantahan terhadap maksiat itu perlu dizahirkan. Demikian juga jika kempen ke arah maksiat itu secara terbuka, maka jawapan balas juga secara terbuka. Ini kerana perbuatan maksiat peribadi yang terbuka mengeluarkan maksiat itu dari daerah urusan peribadi seseorang dengan tuhannya kepada kempen terbuka yang mengganggu pihak yang lain dan iklim persekitaran. Namun, bantahan itu hendaklah dilakukan dengan kadar kemampuan setiap pihak tanpa membawa kepada kerosakan yang lain. Sabda Nabi s.a.w:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَان
“Sesiapa dalam kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia ubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu maka dengan hatinya. Itu adalah selemah-lemah iman”. (Riwayat Muslim).
3. Namun begitu, Islam tidak membenarkan kita menuduh seseorang melakukan hubungan seks yang salah seperti menuduh perbuatan homoseksual atau zina. Bahkan kita disuruh mengelakkan dari menerima pengakuan perlakuan seks yang tidak mengikut peraturan yang sah. Ini kerana Islam tidak suka hal seperti ini dihebohkan. Al-Imam Muslim meriwayatkan dalam sahihnya:
أَنَّ مَاعِزَ بْنَ مَالِكٍ الْأَسْلَمِيَّ، أَتَى رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنِّي قَدْ ظَلَمْتُ نَفْسِي، وَزَنَيْتُ، وَإِنِّي أُرِيدُ أَنْ تُطَهِّرَنِي، فَرَدَّهُ، فَلَمَّا كَانَ مِنَ الْغَدِ أَتَاهُ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنِّي قَدْ زَنَيْتُ، فَرَدَّهُ الثَّانِيَةَ، فَأَرْسَلَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى قَوْمِهِ، فَقَالَ: «أَتَعْلَمُونَ بِعَقْلِهِ بَأْسًا، تُنْكِرُونَ مِنْهُ شَيْئًا؟» فَقَالُوا: مَا نَعْلَمُهُ إِلَّا وَفِيَّ الْعَقْلِ مِنْ صَالِحِينَا فِيمَا نُرَى، فَأَتَاهُ الثَّالِثَةَ، فَأَرْسَلَ إِلَيْهِمْ أَيْضًا فَسَأَلَ عَنْهُ، فَأَخْبَرُوهُ أَنَّهُ لَا بَأْسَ بِهِ، وَلَا بِعَقْلِهِ
Sesungguhnya Maiz bin Malik al-Aslami datang kepada Rasulullah s.a.w lalu berkata: “Wahai Rasulullah! Aku telah menzalimi diriku sendiri. Aku telah berzina. Aku mahu engkau membersihkan daku. Rasulullah s.a.w menolak pengakuannya. Keesokannya dia datang lagi dan berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku telah berzina.” Baginda menolak pengakuannya kali kedua. Rasulullah s.a.w menghantar wakil ke kaumnya lalu bertanya: “Apakah kamu tahu dia ada masalah pada akalnya, ada sesuatu yang kamu rasa ganjil?” Jawab mereka: Apa yang kami tahu dia sempurna akalnya dan kami lihat dia dari kalangan orang soleh kami.” Keesokan harinya, Maiz datang lagi kepada Rasulullah kali ketiga. Baginda sekali lagi menolak pengakuannya dan menghantar lagi wakil ke kaumnya. Mereka memberitahu bahawa Maiz tiada masalah pada diri dan akalnya….”
Dalam riwayat Ibn Hibban, Rasulullah memerintah agar Maiz dihalau keluar dari datang kepada baginda (فَأَمَرَ بِهِ فَطُرِدَ، فَأُخْرِجَ) supaya tidak terus membuat pengakuan zina tersebut.
Demikian Nabi Muhammad s.a.w menolak kes-kes maksiat peribadi dari dibawa kepada pertuduhan. Maksudnya, jika ada pihak yang mengaku melakukan zina ataupun homoseksual, sepatutnya kita jangan melayan dan memperdulikannya. Itu urusan taubat antara dia dan Allah. Kita tidak disuruh mengintip dan mencari-cari kejadian dosa peribadi seperti itu. Bahkan kita disuruh menyembunyikan dosa maksiat peribadi seseorang.
4. Perbuatan homoseksual merupakan satu dosa besar. Menuduh orang lain melakukan perbuatan itu juga merupakan satu dosa besar. Mencari-cari kesalahan orang dalam maksiat peribadi antara dia dan Allah merupakan satu dosa yang dilarang oleh agama. Dalilnya riwayat al-Hakim daripada ‘Abd ar-Rahman bin ‘Auf :
أَنَّهُ حَرَسَ مَعَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُمَا لَيْلَةً بِالْمَدِينَةِ فَبَيْنَا هُمْ يَمْشُونَ شَبَّ لَهُمْ سِرَاجٌ فِى بَيْتٍ فَانْطَلَقُوا يَؤُمُّونَهُ حَتَّى إِذَا دَنَوْا مِنْهُ إِذَا بَابٌ مُجَافٍ عَلَى قَوْمٍ لَهُمْ فِيهِ أَصْوَاتٌ مُرْتَفِعَةٌ فَقَالَ عُمَرُ رَضِىَ اللَّهِ عَنْهُ وَأَخَذَ بِيَدِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ فَقَالَ : أَتَدْرِى بَيْتُ مَنْ هَذَا؟ قُلْتُ : لاَ. قَالَ : هَذَا بَيْتُ رَبِيعَةَ بْنِ أُمَيَّةَ بْنِ خَلَفٍ وَهُمُ الآنَ شُرَّبٌ فَما تَرَى. قَالَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ : أَرَى قَدْ أَتَيْنَا مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ فَقَالَ (وَلاَ تَجَسَّسُوا) فَقَدْ تَجَسَّسْنَا فَانْصَرَفَ عَنْهُمْ عُمَرُ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُ وَتَرَكَهُمْ
“Bahawa dia berkawal bersama Umar bin al-Khattab r.ahuma pada suatu malam di Madinah. Ketika mereka sedang berjalan, tiba-tiba ternampak nyalaan api di sebuah rumah. Mereka pun pergi menuju ke situ sehingga apabila hampiri didapati pintunya berkunci, di dalamnya ada sekumpulan orang dengan suara yang kuat. Lalu Umar r.a. berkata -sambil memegang tangan ‘Abd ar-Rahman-: “Kau tahukah ini rumah siapa?”. Jawab: “Tidak”. Kata Umar: “Ini rumah Rabi’ah bin Umayyah bin Kalaf, mereka sekarang sedang mabuk arak, apa pendapat kau?”. Kata ‘Abd ar-Rahman: “Aku berpendapat kita sekarang telah melakukan apa yang Allah larang, Allah berfirman: “Jangan kamu mengintip”. Kita telah mengintip. Maka Umar pun pergi dan meninggalkan mereka”. (Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, dinilai sahih serta sokong oleh al-Zahabi. Juga al-Baihaqi dalam as-Sunan al-Kubra).
5. Seseorang yang melakukan dosa dalam perkara tertentu, bukanlah bererti dia dinafikan hak dalam perkara yang lain. Ini seperti dosa berzina, atau homoseksual, atau minum arak, atau berjudi dan seumpamanya. Dosa-dosa ini dibantahkan dan diingkari, namun diri yang melakukan dosa tersebut tidak dinafikan haknya dalam hal-hal yang dia berhak. Apatahlagi, dalam kehidupan bernegara yang setiap rakyat mempunyai haknya yang tertentu.
Dalam hadis al-Imam al-Bukhari, Rasulullah s.a.w mengajar kita cara berikteraksi secara seimbang ini:
أَنَّ رَجُلاً عَلَى عَهْدِ النَّبِىِّ - صلى الله عليه وسلم - كَانَ اسْمُهُ عَبْدَ اللَّهِ ، وَكَانَ يُلَقَّبُ حِمَارًا ، وَكَانَ يُضْحِكُ رَسُولَ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - ، وَكَانَ النَّبِىُّ - صلى الله عليه وسلم - قَدْ جَلَدَهُ فِى الشَّرَابِ ، فَأُتِىَ بِهِ يَوْمًا فَأَمَرَ بِهِ فَجُلِدَ ، فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الْقَوْمِ اللَّهُمَّ الْعَنْهُ مَا أَكْثَرَ مَا يُؤْتَى بِهِ . فَقَالَ النَّبِىُّ - صلى الله عليه وسلم - « لاَ تَلْعَنُوهُ ، فَوَاللَّهِ مَا عَلِمْتُ أَنَّهُ يُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ
“Seorang lelaki bernama ‘Abdullah, digelar ‘himar’ (kaldai). Dia sering menyebabkan Rasulullah s.a.w ketawa. Juga pernah Nabi s.a.w. menyebatnya (menjatuhkan hukuman) disebabkan kesalahan meminum arak. Pada suatu hari dia ditangkap lagi (disebabkan kesalahan meminum arak), maka baginda pun menghukum lalu dia disebat. Seorang lelaki berkata: “Ya Allah! Laknatilah dia, alangkah kerap dia ditangkap”. Lantas Nabi s.a.w pun bersabda: “Jangan kamu semua melaknatinya! Demi Allah apa yang aku tahu dia mencintai Allah dan RasulNya”. (Riwayat al-Bukhari).
Dalam hadis ini, kita dapati sekalipun perbuatan minum arak itu satu dosa besar, namun peminum arak tersebut sering juga berinteraksi dengan Nabi Muhammad s.a.w sehingga baginda selalu ketawa dengan telatahnya. Maksudnya, Nabi s.a.w masih berinteraksi dengan baik dengannya. Demikianlah, kesalahannya itu tidak memberikan lesen semudah-mudahnya untuk orang lain memakinya. Nabi s.a.w melarang mereka mencercanya kerana baginda kenal kebaikan lelaki tersebut. Dosa tetap dosa. Namun, satu dosa tidak menjustifikasikan untuk dosa lain dilakukan ke atas diri yang berdosa.
Dalam konteks hari ini, hak pendidikan, hak jual-beli, hak bekerja, hak mendapat keadilan, hak harta dan seumpamanya bagi golongan yang melakukan dosa besar ini termasuk LGBT tidak diganggu selagi mereka tidak melanggar peraturan-peraturan yang berkaitan hal tersebut. Atas dasar keadilan, semua peraturan terpakai kepada semua pihak yang terbabit secara adil dan saksama.
6. Homoseksual satu dosa, namun ia tidak menjadikan perlakunya terkeluar daripada Islam selagi dia tidak menghalalkannya. Pengamal perbuatan ini, selagi tidak menghalalkannya, maka dia seorang muslim yang berdosa sepertimana pendosa-pendosa yang lain. Kadar dosa hanya diketahui oleh Allah. Dosa semata tidak membolehkan seseorang dikafirkan. Maka seperti pendosa yang lain, keampunan Allah masih terbuka untuk mereka. Sebagai muslim, mereka ada hak-hak sesama muslim yang wajib ditunaikan. Ini seperti nasihat-nasihati, memberi dan menjawab salam, menziarahi ketika sakit, menerima jemputan, mengiringi jenazah dan selainnya. Demikian juga, sebagai insan tanpa mengira agama mereka berhak mendapat bantuan ketika memerlukan seperti kecederaan, dalaman ancaman dan seumpamanya. Ini apa yang Nabi s.a.w sebut tentang hak-hak sesama muslim dan juga hak-hak sesama manusia dalam pelbagai nas al-Quran dan hadis.
7. Amalan kepada seks sesama jenis ditolak oleh Islam. Ia satu menyalahi apa yang Allah mahu daripada manusia. Ia songsang. Tuhan menciptakan lelaki dan wanita. Melalui perhubungan seks kedua-dua jantina ini manusia membiak dan berkembang secara fizikal dan emosi. Seks sesama jenis merosakkan fitrah yang Tuhan ciptakan manusia. Ia merosakkan rohani dan jasmani insan. Ini seperti seks sesama mahram (incest), ataupun manusia dengan haiwan. Jika seks sesama jenis diiktiraf atas asas hak asasi, maka seks sesama mahram (incest), seks dengan isteri orang lain, seks dengan haiwan dan seumpamanya dengannya juga nanti akan diiktiraf atas asas yang sama. Islam sebagai agama fitrah tidak mungkin mengiktiraf hal ini semua. Islam menolaknya dan menganggapnya keji. Ini jelas apabila Allah merakamkan ucapan Nabi Lut terhadap kaumnya:
وَلُوطًا إِذۡ قَالَ لِقَوۡمِهِۦٓ أَتَأۡتُونَ ٱلۡفَٰحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنۡ أَحَدٖ مِّنَ ٱلۡعَٰلَمِينَ ٨٠ إِنَّكُمۡ لَتَأۡتُونَ ٱلرِّجَالَ شَهۡوَةٗ مِّن دُونِ ٱلنِّسَآءِۚ بَلۡ أَنتُمۡ قَوۡمٞ مُّسۡرِفُونَ
(maksudnya) : “dan (Nabi) Lut juga ketika dia berkata kepada kaumnya: "Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas". (Surah al-‘Araf 80-81).
8. Benar, seks sesama jantina merupakan satu dosa. Dalam masa yang sama perlu kita ingat bahawa ia juga kadang-kala satu ujian terhadap jiwa sesetengah individu. Mereka sebahagiannya gagal dan tidak dapat mengawal nafsu yang tidak sewajarnya itu. Akhirnya mereka terjatuh dalam dosa tersebut. Kita juga mungkin mempunyai dosa dalam perkara yang lain. Seperti mana kita mengharapkan keampunan Allah, demikian juga sebahagian mereka. Maka, tugasan kita bersama adalah membantu antara satu sama lain kembali kepada Allah dan mendapatkan keampunanNYA.
9.Dakwah agar golongan LGBT kembali fitrah merupakan dakwah yang mulia. Usaha agar mereka kembali kepada kehidupan yang normal merupakan satu ibadah dan pahala yang besar. Dakwah itu menuntut kita mencari pendekatan yang terbaik dan sesuai dengan keadaan mereka yang kita dakwah itu. Ini seperti Allah:
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
(maksudnya): “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan mauizah hasanah (nasihat yang baik), dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk (Surah al-Nahl: 125).
Maka, laras bahasa yang kita gunapakai dalam mengimbangi dakwaan mereka bahawa mereka juga mempunyai hak sebagai manusia hendaklah berkesan dan difahami oleh generasi kini. Kita wajar menjelaskan kepada mereka bahawa Islam menolak seruan dan amalan seks yang songsang tersebut, namun dalam masa yang sama, Islam mengiktiraf sudut-sudut yang lain dari segi keinsanan dan persaudaraan sesama muslim.
10. Ajaran Islam sentiasa memberikan harapan untuk manusia kembali kepada Allah dengan penuh penuh cinta dan taubat. Agama ini tidak menjadikan manusia putus asa sebaliknya sentiasa memberikan harapan dan sinar ke arah yang lebih baik. Golongan LGBT sama seperti para pendosa yang lain, di hadapan terbentang luas pintu untuk kembali kepada Tuhan Yang Maha Penyayang.