TIDAK BERDOA BERJAMAAH SELEPAS SOLAT FARDU
Soalan: Seorang penceramah di tempat saya telah memarahi mereka yang tidak tunggu berdoa bersama imam selepas solat fardu dan menyatakan Imam Syafi’i memarahi perbuatan tersebut. Benarkah demikian? –Syukri, Tmn Tun.
Jawapan Dr MAZA:
Isu ini lebih bersifat tempatan kita. Ini sentiment setempat orang melayu khususnya bukan kerana dalil-dalil pun. Saya suka sebut perkara berikut;
- Jika kita merujuk kepada Kitab al-Umm karya agung al-Syafii, ketika mengulas hadith Ibn ‘Abbas:
إنَّ رَفْعَ الصَّوْتِ بِالذِّكْرِ حِينَ يَنْصَرِفُ النَّاسُ مِنَ الْمَكْتُوبَةِ كَانَ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
“Sesungguhnya mengangkat suara dengan zikir setelah orang ramai selesai solat fardu berlaku pada zaman Nabi s.a.w”
Al-Imam al-Syafi’i r.h berkata:
وأختار للامام والمأموم أن يذكرا الله بعد الانصراف من الصلاة ويخفيان الذكرَ إلا أن يكون إماما يُحِبُّ أن يتعلّم منه فيجهر حتى يُرى أنه قد تُعُلِّمَ منه ثم يُسِرّ
“Pendapatku untuk imam dan makmum hendaklah mereka berzikir selepas selesai solat. Hendaklah mereka mensenyapkan zikir, kecuali jika imam mahu dipelajari daripadanya (bacaan-bacaan zikir-pen), maka ketika itu dijelaskan zikir. Sehingga apabila didapati telah dipelajari daripadanya. Maka selepas itu hendaklah dia perlahankan”.
Adapun mengenai hadis Ibn ‘Abbas di atas al-Imam al-Syafi’i menjelaskan seperti berikut:
وأحسبه إنما جهر قليلا ليتعلّم الناس منه وذلك لأن عامة الروايات التي كتبناها مع هذا وغيرها ليس يذكر فيها بعد التسليم تَهليلٌ ولا تكبير، وقد يذكر أنه ذكر بعد الصلاة بما وصَفْتُ، ويذكر انصرافَه بلا ذكر، وذكرت أمُّ سلمةَ مُكْثَه ولم يذكر جهرا، وأحسبه لم يَمكُثْ إلاّ ليذكرَ ذكرا غير جهْرٍ. فإن قال قائل: ومثل ماذا؟ قلت: مثل أنه صلّى على المنبر يكون قيامُه وركوعُه عليه وتَقهْقَرَ حتى يسجدَ على الأرض، وأكثر عمره لم يصلّ عليه، ولكنه فيما أرى أحب أن يعلم من لم يكن يراه ممن بَعُد عنه كيف القيامُ والركوعُ والرفع. يُعلّمهم أن في ذلك كله سعة. وأستحبُّ أن يذكر الإمام الله شيئا في مجلسه قدر ما يَتقدم من انصرف من النساء قليلا كما قالت أم سلمة ثم يقوم وإن قام قبل ذلك أو جلس أطولَ من ذلك فلا شيء عليه، وللمأموم أن ينصرفَ إذا قضى الإمام السلامَ قبل قيام الإمام وأن يؤخر ذلك حتى ينصرف بعد انصرافِ الإمام أو معه أَحَبُّ إلي له.
Aku berpendapat baginda menjelaskan suara (zikir) hanya seketika. Untuk orang ramai mempelajarinya daripada baginda. Ini kerana kebanyakan riwayat yang telah kami tulis bersama ini, atau selainnya tidak menyebut selepas salam tahlil dan takbir. Kadang-kala riwayat menyebut baginda berzikir selepas solat seperti yang aku nyatakan, kadang-kala disebut baginda pergi tanpa zikir. Ummu Salamah pula menyebut duduk baginda (selepas solat) tetapi tidak menyebut baginda zikir secara terang. Aku berpendapat baginda tidak duduk melainkan untuk berzikir secara tidak terang. Jika seseorang berkata: Seperti apa?. Aku katakan: Seperti baginda pernah bersolat di atas mimbar, yang mana baginda berdiri dan rukuk di atasnya, kemudian baginda undur ke belakang untuk sujud di atas tanah. Kebanyakan umur baginda, baginda tidak solat di atasnya. Tetapi aku berpendapat baginda mahu agar sesiapa yang jauh yang tidak melihat baginda mengetahui bagaimana berdiri (dalam solat), rukuk dan bangun (dari rukuk). Baginda ingin mengajar mereka keluasan dalam itu semua. Aku suka sekiranya imam berzikir nama Allah di tempat duduknya sedikit dengan kadar yang seketika selepas kaum wanita pergi. Ini seperti apa yang Umm Salamah katakan. Kemudian imam boleh bangun. Jika dia bangun sebelum itu, atau duduk lebih lama dari itu, tidak mengapa. Makmum pula boleh pergi setelah imam selesai memberi salam, sebelum imam bangun. Jika dia lewatkan sehingga imam pergi, atau bersama imam, itu lebih aku sukai untuknya). (Al-Syafi'i,Mausu‘ah al-Imam al-Syafi'i: Al-Umm, 1/353 Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi.)
-
Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah pernah ditanya berhubung dengan mereka yang membantah imam kerana tidak berdoa selepas solat, beliau menjawab: “Tidak pernah Nabi s.a.w berdoa bersama makmum selepas solat lima waktu seperti yang dilakukan oleh sesetengah orang selepas solat Subuh dan Asar. Tidak pernah pernah diriwayat hal itu oleh seseorang pun. Tiada seorang pun dari kalangan imam empat yang menyatakan baiknya perkara itu. Sesiapa yang memetik daripada al-Imam al-Syafii bahawa dia menyukainya adalah salah. Ungkapannya yang ada dalam kitab-kitabnya menafikan hal itu. Demikian al-Imam Ahmad dan selainnya tidak pernah menyukai hal ini”. ”.( Ibn Taimiyyah, Al-Fatawa al-Kubra, 1/215, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.)
Maka dengan ini dakwaan penceramah di tempat saudara itu tidak tepat.