• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Kenapa Disyariatkan Perang ke Atas Non-Muslim?

Apakah Sebab Peperangan Antara Muslim dan Non-Muslim?

Soalan : Apabila berlaku krisis antara muslim dan non-muslim maka ada yang bersemangat mengajak umat memerangi non-muslim. Ada yang kata semua orang kafir itu musuh Allah dan wajib diperangi. Apakah hanya kerana perbezaan agama perang jihad boleh dilancarkan? Bolehkah Prof Dr MAZA terangkan ?

 

Jawapan Prof Dr MAZA

 

Jawapan : Ini satu persoalan yang penting. Ramai yang tersalah maklumat sehingga menganggap Islam memerangi bukan muslim hanya kerana mereka itu bukan muslim. Ini khususnya apa yang disebarkan oleh sesetengah agensi anti-Islam bagi menimbulkan Islamophobia. Ditambah lagi dengan tindakan atau kenyataan segelintir muslim yang kurang faham tentang Islam. Di sana juga ada mereka yang muslim tetapi apologetik dengan agama mereka sendiri lalu cuba menafikan bab jihad qitali atau jihad peperangan yang memang terdapat dalam syariat Islam.

Kalangan orang Islam ada yang memetik sebahagian pendapat ulama silam untuk menjustifikasikan sikap keras mereka terhadap non-muslim.  Mereka tidak membaca atau mengambil pandangan yang lebih sederhana yang dikemukakan oleh majoriti ulama. Kadang-kala mereka gagal memahami konteks nas-nas yang disebutkan oleh sarjana silam. Secara lebih ilmiah saya sebutkan perbahasan berikut.

1. Para ulama usul al-Fiqh cuba untuk mencari  `Illah (punca hukum)  jihad disyariat. Maka para ulama dari mazhab al-Syafi`i  dan al-Zahari berpendapat `illahnya ialah kerana kekufuran mereka. Ini bermaksud mereka diperangi kerana mereka kufur dengan Allah. Namun, pendapat ini dianggap lemah dan tidak boleh dipegang secara kefahaman dan praktikalnya.

2. Antara bukti kelemahan pandangan tadi ialah adanya senarai golongan non-muslim yang tidak boleh dibunuh semasa peperangan yang disebut dalam nas-nas sahih seperti wanita dan kanak-kanak.  Ini disebut dalam hadis daripada Ibn Umar r.a., katanya:

وجِدَتِ امْرَأَةٌ مَقْتُولَةً فِي بَعْضِ مَغَازِي رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَنَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ قَتْلِ النِّسَاءِ وَالصِّبْيَانِ

“Seorang wanita di dapati terbunuh dalam satu peperangan (yang disertai Nabi s.a.w) maka baginda pun melarang membunuh wanita dan kanak-kanak”. (Riwayat al-Bukhari 3/1098 dan Muslim 3/1364)

Kata Ibn Rusyd (meninggal 595H): “Demikian juga tiada khilaf di kalangan ulama mengenai tidak harus membunuh kanak-kanak dan wanita selagi mereka tidak terlibat berperang. Apabila wanita turut berperang, maka dia boleh dibunuh. Ini semua berdasarkan apa yang pasti daripada Nabi s.a.w. bahawa baginda melarang wanita dan kanak-kanak   dibunuh” (Ibn Rusyd, Bidayah al-Mujtahid (Dar al-Fikr, Beirut) 1/280)

Demikian ahli ibadah yang sedang beribadah dalam rumah ibadah mereka, seperti riwayat Ibn `Abbas, katanya:  Apabila Rasulullah s.a.w. mengirimkan pasukan tentera maka baginda  bersabda:

اخْرُجُوا بِسْمِ اللَّهِ تُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ مَنْ كَفَرَ بِاللَّهِ لَا تَغْدِرُوا وَلَا تَغُلُّوا وَلَا تُمَثِّلُوا وَلَا تَقْتُلُوا الْوِلْدَانَ وَلَا أَصْحَابَ الصَّوَامِعِ

“Keluarlah kamu (medan jihad) dengan nama Allah, perangilah di jalan Allah sesiapa yang kafir dengan Allah. Jangan kamu melanggar perjanjian, jangan kamu mengkhianati harta rampasan perang, jangan kamu rosakkan mayat, jangan kamu bunuh kanak-kanak dan ahli-ahli rumah ibadat”. (Riwayat Ahmad. Bertaraf hasan)

Kata al-Syaukani (meninggal 1250H): “Pada hadis ini dalil bahawa tidak boleh membunuh sesiapa daripada golongan kuffar yang hanya beribadat seperti paderi kerana mereka tidak memudaratkan kaum muslimin” (Al-Syaukani, Nail al-Autar, 8/74, Beirut: Dar al-Jil)

Demikian pekerja dan petani yang tidak terlibat secara langsung dengan peperangan,  seperti hadis Hanzalah al-Katib r.a., katanya:

كُنَّا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي غَزْوَةٍ فَرَأَى النَّاسَ مُجْتَمِعِينَ عَلَى شَيْءٍ فَبَعَثَ رَجُلًا فَقَالَ انْظُرْ عَلَامَ اجْتَمَعَ هَؤُلَاءِ فَجَاءَ فَقَالَ عَلَى امْرَأَةٍ قَتِيلٍ فَقَالَ مَا كَانَتْ هَذِهِ لِتُقَاتِلَ قَالَ وَعَلَى الْمُقَدِّمَةِ خَالِدُ بْنُ الْوَلِيدِ فَبَعَثَ رَجُلًا فَقَالَ قُلْ لِخَالِدٍ لَا يَقْتُلَنَّ امْرَأَةً وَلَا عَسِيفًا

“Kami berperang bersama dengan Rasulullah s.a.w. , lalu kami melintasi seorang wanita yang dibunuh. Ketika itu orang ramai berkumpul padanya, lantas  mereka memberi ruang kepada baginda (untuk melihatnya). Baginda bersabda: “Dia ini (wanita tersebut) tidak turut berperang”. Kemudian baginda mengarahkan seorang lelaki dengan bersabda: “Pergilah kepada Khalid ibn al-Walid, katakan kepadanya: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w memerintahkannya dengan sabdanya: Jangan kamu bunuh kanak-kanak, wanita dan `asif (pengambil upah)” Hadith ini sahih. Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan Ahmad. Sanad Ibn Majah adalah sanad yang sahih. (lihat: Al-Albani, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, 2/314,  Riyadh: Maktabah al-Ma`arif li al-Nasyr)

Demikian juga para perwakilan diplomatik berdasarkan hadis Abdullah bin Mas’ud, katanya: Ibn al-Nawwahah ابن النواحة dan Ibn Uthal ابن أثال datang kepada Nabi s.a.w sebagai perwakilan Musailamah (al-Khazzab). Baginda bertanya:

أَتَشْهَدَانِ أَنِّي رَسُولُ اللَّهِ قَالَا نَشْهَدُ أَنَّ مُسَيْلِمَةَ رَسُولُ اللَّهِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ آمَنْتُ بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ لَوْ كُنْتُ قَاتِلًا رَسُولًا لَقَتَلْتُكُمَا قَالَ عَبْدُ اللَّهِ قَالَ فَمَضَتِ السُّنَّةُ أَنَّ الرُّسُلَ لَا تُقْتَلُ

“Apakah kamu berdua mengakui bahawa aku ini Rasulullah”. Kata mereka berdua: “Kami menyaksikan bahawa Musailamah rasulullah”. Sabda Nabi s.a.w: “Aku beriman dengan Allah dan para RasulNya. Kalaulah aku ini boleh membunuh para perwakilan, nescaya aku bunuh kamu berdua”. Kata ‘Abdullah bin Mas`ud: “Telah menjadi suatu sunnah bahawa para perwakilan tidak dibunuh”. [Hadis ini hasan. Riwayat Abu Daud, Ahmad, al-Bazzar dan Abu Ya’la. Kata al-Haithami (meninggal 807H). Sanad-sanad mereka adalah hasan. (lihat: al-Hathaimi, 5/314, Majma’ al-Zawaid Beirut: Dar al-Rayyan)].

Demikian juga lain-lain yang tidak terlibat dengan peperangan. Ini semua menjadi bukti bahawa sekadar kekufuran atau tidak beriman belum melayakkan seseorang itu dibunuh. Islam tetap memelihara nyawa mereka. Jika kekufuran itu punca mereka diperangi, sudah tentu golongan tersebut juga diperangi.

3. Oleh itu jumhur (majoriti) ulama berpendapat `illah (punca) sebenar mereka diperangi ialah (al-Hirabah) iaitu menzahirkan permusuhan terhadap harta dan nyawa. Maka,  bagi golongan non-muslim yang tidak melancarkan peperangan dan permusuhan mereka terhadap umat Islam, mereka tidak diperangi dan dibunuh. Kalaulah kekufuran yang menjadi alasan tentulah sewajar semua golongan bukan Islam diperangi. Ternyata bukan itu sebab utamanya. Sebaliknya punca peperangan ialah sikap permusuhan yang nyata. Inilah pendapat yang dipegang dalam Islam.

Antara dalil-dalil yang dikemukakan oleh majoriti ulama alah ayat-ayat berikut:

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat  190

وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

(maksudnya): “Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas”

Juga firman Allah dalam Surah al-Taubah ayat 13:

أَلَا تُقَاتِلُونَ قَوْمًا نَكَثُوا أَيْمَانَهُمْ وَهَمُّوا بِإِخْرَاجِ الرَّسُولِ وَهُمْ بَدَءُوكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ أَتَخْشَوْنَهُمْ فَاللَّهُ أَحَقُّ أَنْ تَخْشَوْهُ إِنْ كُنتُمْ مُؤْمِنِينَ

(maksudnya): “Mengapa kamu tidak memerangi golongan yang telah mencabuli perjanjian mereka, serta mereka pula telah berazam hendak mengusir Rasulullah, dan mereka jugalah yang mula-mula memerangi kamu? Apakah kamu takutkan kepada mereka padahal yang berhak kamu takuti, sekiranya kamu orang-orang yang beriman”.

Juga ayat 36 daripada Surah al-Taubah:

وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً

(maksudnya): “Perangi golongan musyrikin itu keseluruhannya seperti mana mereka mereka memerangi kamu keseluruhan”.

4. Semua ayat-ayat di atas adalah jelas menunjukkan peperangan yang dilancarkan ke atas mereka adalah di atas sikap dan tindakan salah yang dilakukan mereka, bukan kerana kekufuran. Ayat-ayat ini menafikan pendapat para ulama mazhab al-Syafi`i dan al-Zahiri tadi. Bahkan dalam Surah al-Mumtahanah ayat 8-9 begitu jelas  Allah menyatakan:

لا يَنْهَاكُمْ اللَّهُ عَنْ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ(8)إِنَّمَا يَنْهَاكُمْ اللَّهُ عَنْ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَى إِخْرَاجِكُمْ أَنْ تَوَلَّوْهُمْ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ فَأُوْلَئِكَ هُمْ الظَّالِمُونَ

(maksudnya) “Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.

 Al-Imam al-Tabari (meninggal 310H) setelah membentang pendapat-pendapat mengenai ayat di atas (Surah al-Mumtahanah ayat 8-9), berkata: “Pendapat yang lebih tepat ialah; ayat ini bermaksud Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan adil kepada sesiapa yang tidak memerangi kamu dari kalangan penganut semua agama. Ini kerana Allah menyebutnya secara umum dengan katanya “orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu” merangkumi sesiapa sahaja yang bersifat demikian”. (Al-Tabari, Jami’ al-Bayan ‘an  Takwil Aiy al-Quran 28/66 Beirut:Dar al-Fikr)

Juga telitilah firman Allah dalam Surah al-Taubah ayat 6-7

وَإِنْ أَحَدٌ مِنْ الْمُشْرِكِينَ اسْتَجَارَكَ فَأَجِرْهُ حَتَّى يَسْمَعَ كَلَامَ اللَّهِ ثُمَّ أَبْلِغْهُ مَأْمَنَهُ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَا يَعْلَمُونَ(6)كَيْفَ يَكُونُ لِلْمُشْرِكِينَ عَهْدٌ عِنْدَ اللَّهِ وَعِنْدَ رَسُولِهِ إِلَّا الَّذِينَ عَاهَدْتُمْ عِنْدَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ فَمَا اسْتَقَامُوا لَكُمْ فَاسْتَقِيمُوا لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَّقِينَ

(maksudnya) “Dan jika seseorang dari kalangan musyrikin meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga ia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke tempat yang aman. Yang demikian itu (perintah tersebut) ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam). Bagaimanakah dapat diakui adanya perjanjian (keamanan) di sisi Allah dan RasulNya bagi orang-orang musyrikin (sedang mereka mencabulinya)? Kecuali orang-orang (musyrikin) yang kamu telah mengikat perjanjian setia dengan mereka dekat Masjid Al-Haraam. Maka selagi mereka berlaku lurus terhadap kamu, hendaklah kamu berlaku lurus pula terhadap mereka; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa”.

5. Pengarang al-Jihad fi al-Islam, Dr Said Ramadan al-Buti dalam mengulas ayat di atas, berkata: “Dari dua ayat tersebut, kita dapat fahami dengan jelas ia meyanggahi apa yang difahami oleh ulama mazhab al-Syafi`i dan al-Zahiri. Dari sini kita kemukakan kepada mereka (para ulama tersebut) soalan-soalan yang mereka tidak mungkin dapat menjawabnya, iaitu; Sekiranya `illah (punca hukum) jihad atau peperangan ialah kekufuran, sedangkan perintah Allah agar kita melindungi kaum musyrikin sepanjang tempoh mereka berada di samping kita, dengan harapan mereka mendengar ayat-ayat Allah dan beriman denganNya. Kemudian diperintahkan agar kita menghantarkan mereka ke tempat yang aman sekiranya mereka ingin pergi tanpa beriman…andainya kekufuran adalah sebab yang membawa kepada kita membunuh mereka, apakah mungkin untuk kita membantu mereka dengan perlindungan yang seperti ini, sedangkan mereka itu musyrikin? Sekiranya kekufuran mewajibkan peperangan, apakah mungkin untuk kita berurusan seperti itu dengan golongan Allah perintahkan kita memerangi mereka?. Ternyata sebab (kita dibenarkan berurusan baik dengan mereka) kerana mereka tidak menzahirkan permusuhan dan cenderung kepada perdamaian”.( Sa`id Ramadhan al-Buti, al-Jihad fi al-Islam, m.s. 99, Beirut: Dar al-Fikr)

6. Dr Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Fiqh al-Jihad meminta supaya ulama mazhab Syafi’i pada hari ini hendaklah menjelaskan kepada masyarakat awam bahawa pendapat al-Imam al-Syafi’i dalam hal ini adalah lemah dan ditolak. Ini bimbang digunakan oleh pihak tertentu untuk tujuan keganasan.

7. Dengan ini jelas kepada kita bahawa yang menjadi pegangan majoriti ulama Islam ialah non-muslim tidak diperangi hanya disebabkan mereka tidak beriman ataupun kufur. Islam bukan agama paksaan. Peperangan berlaku hanya apabila mereka menzahirkan sikap ingin melancar atau telah melancarkan peperangan. Pendapat yang menyatakan punca peperangan ialah kekufuran mereka adalah pendapat yang lemah. Kalau pendapat itu dilaksanakan, bagaimana mungkin untuk golongan bukan muslim aman hidup dalam masyarakat muslim seperti yang menjadi amalan umat ini sejak zaman Nabi s.a.w. Bahkan sikap tolerance Islam ini tercatat dengan mulianya dalam banyak coretan sejarah.

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 643
Semalam 801
Minggu Ini 2142
Bulan Ini 11672

Keseluruhan 3201603

   Masa Capaian : 0.80 saat    Kemaskini :  14/5/2025