• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Garis Panduan Tentang Beberapa Kriteria Berkaitan Dengan Pembinaan Masjid & Pusat Islam UniMAP

MESYUARAT
JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE-40/2019
28-29 Mac 2019 / 21-22 Rejab 1440H

Garis Panduan
Tentang Beberapa Kriteria Berkaitan Dengan Pembinaan Masjid & Pusat Islam UniMAP
(Jawapan Kepada Surat UniMAP Berkaitan Panduan Pembinaan Masjid)

 

1. Membina tandas satu bumbung dengan masjid.


Jawapan:
Tandas dan masjid mestilah berasingan yang dapat membezakan antara ruang solat dan tandas, sekalipun bersambungan bumbung. Apa yang penting dapat memelihara kebersihan dan keselesaan ruang solat.
Jika pemisahan bangunan lebih menampakkan kemuliaan masjid dan lebih dapat menjaga kebersihannya, maka ia lebih afdal.

2. Membina tandas membelakangi atau sisi kiblat.


Jawapan:
Tandas boleh dibina di mana-mana arah yang bersesuaian yang tidak mencacatkan gambaran masjid. Namun hendaklah dipastikan ia tidak menghadap atau membelakangkan kiblat. Sebaliknya hendaklah ke arah kanan atau kiri kiblat.

3. Adakah salah jika lantai tandas separas dengan lantai masjid?


Jawapan:
Tidak ada penetapan dalam hal ini. Apa yang penting pembinaan tersebut tidak mudah mencemarkan kebersihan masjid.

4. Berapakah jumlah anak tangga mimbar masjid?


Jawapan:
Sabit dalam beberapa hadis yang sahih menyatakan mimbar Nabi SAW memiliki tiga anak tangga. Sebahagian ulama memahami ia dibuat sebegitu berdasarkan keperluan di zaman tersebut. Hal ini dilihat kepada tujuan mimbar dibina, iaitu bagi memenuhi keperluan jemaah yang ramai untuk melihat dan mendengar suara khatib yang sedang berkhutbah. Justeru sebaik-baik mimbar adalah mimbar yang dibina bersesuaian dengan keperluan masjid, bergantung kepada keluasan dan bilangan jemaah yang mampu ditampung. Tiada pembaziran, tanpa tujuan bermegah-megah, tidak mengganggu dan menyempitkan ruang masjid.
Membina mimbar yang terlalu tinggi tanpa keperluan menyanggahi tujuan kewujudan mimbar iaitu memudahkan jemaah mendengar dan melihat khatib.

5. Kedudukan tangga mimbar.


Jawapan:
Kedudukan tangga mimbar Nabi SAW adalah menghadap jemaah kerana itu bersesuaian dengan keperluan ketika itu di mana baginda duduk di atas salah satu anak tangga mimbar itu. Adapun jika anak tangga itu bukan bertujuan untuk khatib duduk di atasnya, ia boleh dibina pada mana-mana arah menurut keperluan.

6. Khatib naik dari arah belakang, hadapan atau tepi?


Jawapan:
Sama seperti jawapan 4 dan 5.

7. Adakah boleh berdiri ketika mengambil wudhu?


Jawapan:
Boleh berwudhu sambil berdiri ataupun duduk berdasarkan keperluan seseorang yang berwudhu.

8. Adakah perlu wujudkan tempat wudhu khas untuk kemudahan OKU?


Jawapan:
Jika dengan mewujudkan tempat wudhu khas kepada golongan OKU lebih mesra OKU dan jemaah lainnya. Maka itulah yang sebaik-baiknya. Hal seumpama ini bergantung kepada keperluan berdasarkan penilaian pihak masjid berkaitan.

9. Kolah air perlu bertutup atau terbuka?


Jawapan:
Kolah tertutup atau terbuka bergantung kepada keperluan. Walau bagaimanapun penyediaan tempat wuduk tidak semestinya berbentuk kolah. Perkara yang penting hendaklah tempat wuduk itu mesra pengguna, dan mesra pengurusan kebersihan.

10. Bagaimana dengan saiz kolah?


Jawapan:
Menurut Mazhab Syafie, saiz kolah jika diukur dengan ukuran semasa sekurang-kurangnya tempat yang boleh memuatkan 270 liter air. Walau bagaimanapun majoriti para ulama tidak menetapkan kadar isi padu kolah. Justeru tiada penetapan sebenar saiz kolah untuk masjid di Perlis. Ia bergantung kepada keperluan setempat.

11. Perlukah diwujudkan tempat sandar iktikaf di saf pertama?


Jawapan:
Tidak perlu mewujudkan tempat sandar iktikaf tersebut.

 

Diperakukan dalam Mesyuarat
Majlis Agama Islam dan
Adat Istiadat Melayu Perlis
Bil 3/2019 pada 22 April 2019

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 445
Semalam 1090
Minggu Ini 1535
Bulan Ini 19431

Keseluruhan 3091724

   Masa Capaian : 0.85 saat    Kemaskini :  09/12/2024