KEPUTUSAN MESYUARAT
JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE - 42 / 2019
______________________________________________________________________
FATWA JARAK SOLAT QASAR
______________________________________________________________________
Jarak perjalanan seseorang ke destinasi tertentu dibolehkan qasar berdasarkan kepada dua penilaian iaitu:
- Berdasarkan kepada jarak iaitu lebih kurang 80KM dan ini merupakan pendapat jumhur ulama. Tidak ada hadis yang sahih yang menetapkan jarak ini. Namun, terdapat riwayat daripada Ibn Abbas yang mengambil kira jarak antara Mekah dengan Taif dan Mekah dengan Jeddah.
- Berdasarkan kepada ‘uruf yang mengambil kira sesuatu jarak perjalanan sebagai musafir. ‘Uruf ini mengambil kira kedudukan persiapan dan kesukaran yang berlaku dalam musafir tersebut. Pendapat ini tidak menghadkan jarak tertentu. Tokoh-tokoh seperti Ibn Qudamah al-Maqdisi, Ibn Taimiyyah, Ibn al-Qayyim, al-Syawkani, Muhammad Saleh bin ‘Uthaimin, al-Albani, al-Qaradhawi dan lain-lain menyokong pendapat ini.
Jika seseorang berkeyakinan yang ‘uruf perjalanannya itu suatu permusafiran, walaupun kurang daripada jarak 80KM, perjalanan tersebut dikira musafir. Namun, jika sukar untuk menentukan kelayakan perjalanannya untuk dianggap sebagai musafir, boleh berpegang dengan pendapat jumhur ulama yang menetapkannya lebih kurang 80KM sahaja untuk melayakkannya dikira sebagai musafir.
Para ulama bersepakat, jika seseorang syak sama ada musafirnya itu layak atau tidak untuk dinamakan sebagai musafir, ia perlu merujuk kepada asal kewajipan solat iaitu perlu ditunaikan secara tamam dan tidak boleh menunaikannya secara qasar. Jika seseorang meyakini perjalanannya suatu permusafiran, dia digalakkan untuk melakukan qasar kerana Ibn Umar telah meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W., Abu Bakar R.A, Umar R.A dan Uthman R.A sentiasa melakukan qasar dalam permusafiran. Jika dia menunaikan solat di belakang imam yang menunaikan solat secara tamam (4 rakaat), dia hendaklah melengkapkan solatnya seperti solat imam tersebut. Ini berdasarkan riwayat daripada Ibn Abbas dalam Musnad Ahmad. Berhubung dengan solat jama’, ia dibolehkan dalam permusafiran.
Diperakukan dalam Mesyuarat
Majlis Agama Islam dan
Adat Istiadat Melayu Perlis
Bil 5/2019 pada 5 September 2019