KEPUTUSAN MESYUARAT
JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE - 65 / 2023
16-17 OKTOBER 2023 / 1-2 RABIUL AKHIR 1445
Bil.3/65 Tahun 2023
HUKUM ORANG ISLAM MEMASUKI RUMAH IBADAH BUKAN ISLAM
Islam agama yang menyuruh penganutnya hidup harmoni dengan penganut agama lain dengan tidak mengiktiraf perkara syirik, kufur dan maksiat. Ulama berbeza pendapat tentang hukum orang Islam memasuki rumah ibadah orang bukan Islam kepada beberapa pendapat.
Pendapat pertama menyatakan hukumnya adalah haram. Ia merupakan pendapat ulama Mazhab Hanafi dan al-Syafi’i. Cuma ulama Mazhab al-Syafi’i mengikatkan pengharaman tersebut dengan kewujudan patung di dalam rumah ibadah bukan Islam itu. Ulama Mazhab Hanafi menghukumkan haram secara mutlak atas alasan rumah ibadah bukan Islam adalah tempat tinggal syaitan.
Pendapat kedua menyatakan hukumnya adalah makruh. Ia merupakan pendapat ulama Mazhab Hanbali. Cuma sebahagian mereka juga mengikatkan hukum makruh tersebut dengan kewujudan patung dalam rumah ibadah tersebut.
Pendapat ketiga hukumnya harus secara mutlak. Ia merupakan pendapat yang dipegang dalam Mazhab Hanbali, sebagaimana yang disebutkan dalam al-Mughni dan pendapat Ibn Hazm seperti yang dinyatakan dalam al-Muhalla.
Setelah meneliti pandangan-pandangan tersebut, Jawatankuasa Fatwa memutuskan hukum memasuki rumah ibadat agama lain adalah dibolehkan dengan syarat berikut:
- Tidak bertujuan mengagungkan, mengiktiraf, berbangga, bergembira atau menyertai unsur syirik, kufur atau maksiat yang ada di dalamnya.
- Tidak meredhai kekufuran dan maksiat yang dilihat kerana redha dengan kekufuran membawa kepada kufur dan redha dengan maksiat adalah dosa.
- Tidak dengan sengaja menyebabkan pihak lain melihat atau menganggap ia sebagai satu pengiktirafan atau pengagungan kepada ajaran yang salah dengan adanya unsur tasyabbuh atau boleh menimbulkan persepsi buruk terhadap diri yang terlibat.
- Diizinkan oleh pemilik atau pihak agama tersebut dan bukan satu pencerobohan sedangkan semua pihak berada dalam keadaan aman dan harmoni.
Jika syarat-syarat ini tidak dipatuhi, maka hukumnya adalah haram bahkan boleh membawa kepada syirik atau kufur. Bagi yang bimbang tidak dapat memenuhi syarat-syarat di atas hendaklah menjauhi daripada memasuki rumah ibadah bukan Islam.
Adapun jika memasuki rumah ibadah bukan Islam itu boleh membantu penganut agama lain memahami Islam, maka itu satu usaha dakwah yang digalakkan.
- Tamat –
Kehadiran Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis:
- Sahibus Samahah Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin
- Sahibul Fadhilah Ustaz Tajul Urus bin Abdul Halim
- Sahibul Fadhilah Dato’ Dr. Johari bin Mat
- Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Muhamad Rozaimi bin Ramle
- Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Basri bin Ibrahim
- Sahibul Fadhilah Dr. Hj Zaharuddin Bin Hj Abdul Rahman
- Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Azman Bin Mohd Noor
- Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr. Mohd Akram Bin Dato’ Dahaman @ Dahlan
- Sahibul Fadhilah Dr. Ahmad Sufian bin Che Abdullah
- Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr Ahmad Wifaq Bin Mokhtar
- Sahibul Fadhilah Ustaz Syed Abu Bakar Bin Syed Kamal Bharin
- Sahibul Fadhilah Dr. Muhammad Lukman Bin Mat Sin
- Al-Fadhil Ustaz Muhammad Khidhir Bin Abdul Ghani - Setiausaha
DIPERAKUKAN dalam Persidangan Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Bil 6 / 2023 pada 4 Disember 2023.