KEPUTUSAN MESYUARAT
JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE - 59 / 2022
14 - 15 SEPTEMBER 2022 / 17 - 18 SAFAR 1444H
Bil. 2/59 TAHUN 2022
PEGANGAN & PENDIRIAN PERLIS MENGENAI MAZHAB-MAZHAB FIQAH
- Jawatankuasa Fatwa dalam mentarjihkan (menilai dan memilih) pandangan-pandangan hukum, tidak terikat dengan hanya satu mazhab fiqah, sebaliknya membahas dan mentarjihkan (menilai dan memilih) pandangan-pandangan fiqah yang ada di dalam empat mazhab utama atau selain daripadanya (dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah) jika ada keperluan untuk berbuat demikian.
- Bagi hukum-hakam yang telah ada dalam mazhab-mazhab muktabar yang tidak berkait dengan faktor perubahan, Jawatankuasa Fatwa akan memastikan pandangan yang dikeluarkan telah didahului oleh mana-mana mujtahid muktabar yang terdahulu.
- Bagi isu-isu baharu yang tiada fatwa dari para mujtahid yang terdahulu, Jawatankuasa Fatwa akan melihat kaedah dan hujah yang diguna pakai dalam ijtihad para mujtahid dan membandingkannya dengan isu berkaitan. Dalam isu semasa seperti ini, keputusan fatwa semasa di pelbagai peringkat juga akan diambil perhatian.
- Bagi pengamalan ibadah di Perlis, Jawatankuasa Fatwa banyak mentarjihkan (menilai dan memilih) apa yang diamalkan dalam Mazhab Syafie dan Hanbali. Tiada fatwa dalam hal ehwal ibadat dalam negeri Perlis yang terkeluar daripada qaul imam-imam mazhab atau para mujtahid yang diiktiraf umat. Secara umumnya, Jawatankuasa Fatwa akur dengan semua khilaf yang muktabar dalam ibadat, tetapi memilih qaul yang ditarjihkan (dinilai dan dipilih) untuk amalan rasmi.
- Dalam hukum-hakam munakahat dan muamalat, pendirian Jawatankuasa Fatwa lebih terbuka dengan melihat kepada nas dan maslahat, dalam masa yang sama berusaha memastikan fatwa yang dikeluarkan mempunyai asas daripada mazhab yang empat atau para mujtahid yang lain.
- Dalam pelaksanaan rasmi hal ehwal ibadat, munakahat dan muamalat di negeri Perlis termasuk dalam masalah-masalah khilaf muktabar adalah berasaskan tarjih (penilaian dan pemilihan pandangan) yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis.
- Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis tidak menetapkan pemilihan mazhab untuk amalan individu dalam persoalan ibadah selagi tidak bercanggah dengan nas syarak. Seseorang boleh memilih mana-mana mazhab muktabar dalam melaksanakan amalan ibadah secara peribadi. Walau bagaimanapun perlaksanaan umum ibadah masyarakat terikat dengan fatwa yang dikeluarkan.
- Adapun perkara munakahat dan muamalat yang menjadi amalan masyarakat di dalam berurusan sesama manusia, setiap individu terikat dengan fatwa yang dikeluarkan. Ini berasaskan kaedah “Keputusan Pemerintah Menghilangkan Khilaf ”.
- Pengajian fiqah berdasarkan mazhab-mazhab yang muktabar dengan disiplin yang betul adalah dibenarkan, bahkan digalakkan dalam negeri Perlis. Penuntut ilmu hendaklah mengelakkan fanatik mazhab yang mengakibatkan permusuhan sesama muslim. - Tamat -
Persetujuan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis :
- YBhg. S.S Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin - Mufti Negeri Perlis
- Sahibul Fadhilah Ustaz Tajul Urus bin Abdul Halim – Timbalan Mufti Perlis
- Sahibul Fadhilah Dato’ Kaya Bakti Dr. Mohd. Radzi bin Haji Othman
- Sahibul Fadhilah Dato’ Dr. Johari bin Mat
- Sahibul Fadhilah Profesor Dr.Basri bin Ibrahim
- Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr. Muhamad Rozaimi bin Ramle
- Sahibul Fadhilah Dr. Hj Zaharuddin Bin Hj Abdul Rahman
- Sahibul Fadhilah Prof. Madya Dr. Azman Bin Mohd Noor
- Sahibul Fadhilah Dr. Kamilin bin Jamilin
- Sahibul Fadhilah Dr. Ahmad Sufian Bin Che Abdullah
- Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr Ahmad Wifaq Bin Mokhtar
- Sahibul Fadhilah Ustaz Syed Abu Bakar Bin Syed Kamal Bharin
- Sahibul Fadhilah Dr. Muhammad Lukman Bin Mat Sin
- Ustaz Muhammad Khidhir Bin Abdul Ghani - Setiausaha
Diperakukan dalam Persidangan Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Bil 5 / 2022 pada 22 September 2022.