KEPUTUSAN MESYUARAT
JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE - 60 / 2022
16 - 17 OKTOBER 2022 / 19 – 20 RABIUL AWWAL 1444
Bil. 1/60 Tahun 2022
FATWA BERKAITAN TEMPOH DIBENARKAN SOLAT JAMAK DAN QASAR
- Para ulama bersepakat seseorang yang bermusafir dibolehkan untuk mengqasarkan solat empat rakaat menjadi dua rakaat. Majoriti para ulama bersetuju seseorang yang bermusafir juga boleh menjamakkan solat kecuali Mazhab Hanafi yang menghadkan ketika berada di Muzdalifah semasa haji.
- Walau bagaimanapun para ulama berbeza pendapat mengenai jarak yang membolehkan jamak dan qasar, serta tempoh yang membolehkan seseorang musafir melakukan jamak dan qasar.
- Adapun jarak yang membolehkan seseorang melakukan jamak dan qasar telah dikeluarkan fatwa oleh jawatankuasa ini yang bertajuk “Fatwa Jarak Solat Qasar”.
- Berhubung tempoh yang membolehkan jamak dan qasar, Jawatankuasa ini setelah meneliti pendapat yang pelbagai dalam kalangan para ulama mazhab yang empat dan selain mereka, merumuskan seperti berikut :
-
Seseorang yang bermusafir dan mengetahui tempoh akan berada di sesuatu tempat, boleh melakukan jamak dan qasar selagi tempoh tersebut tidak melebihi tiga hari, tanpa mengira hari tiba dan hari keluar. Jika dia mengetahui tempoh keberadaannya di situ melebihi tiga hari (tanpa mengira hari masuk dan keluar), maka dia tidak boleh jamak dan qasar bermula daripada saat dia tiba di tempat itu. Ini adalah pendapat yang dipegang dalam Mazhab al-Syafie dan ramai fuqaha lain. Pendapat ini lebih mengikat seseorang dalam menilai tempoh keizinan yang diberikan kepadanya semasa kemusafirannya. Di samping itu, terdapat pendapat ulama seperti al-Imam Ibn Taimiyah dan Ibn Qayyim yang menyatakan bahawa seseorang yang bermusafir boleh untuk terus melakukan jamak dan qasar tanpa terikat dengan tempoh perancangannya untuk berada di sesuatu tempat selagi mana dia berniat untuk kembali ke tempat asalnya atau ke tempat lain apabila selesai urusannya di tempat tersebut. Pendapat kedua ini memudahkan mereka yang terbabit dengan urusan yang banyak di tempat kemusafiran yang dia berada di situ melebihi tempoh tiga hari. Kedua-dua pendapat ini boleh diamalkan. Namun pendapat yang pertama lebih berhati-hati (ahwat).
-
Adapun seseorang musafir yang berada di sesuatu tempat tanpa menetapkan tempoh keberadaannya di situ, sebaliknya bergantung kepada urusan yang hendak diuruskan yang mungkin melibatkan tempoh yang singkat atau panjang, maka dia boleh melakukan jamak dan qasar tanpa terhad kepada tempoh tertentu sekalipun memakan masa yang lama. Ini adalah pendapat jumhur ulama dari kalangan Mazhab Hanafi, Maliki, Hanbali dan Ibn Uthaimin.
-
Seseorang yang sentiasa bermusafir tanpa menetap di sesuatu tempat seperti juruterbang, pelayar, angkasawan, pemandu pengangkutan awam dan seumpamanya, maka selama tempoh kemusafirannya dia boleh jamak dan qasar.
-
Seseorang yang mempunyai dua tempat tinggal atau lebih pada jarak musafir maka dia tidak boleh melakukan jamak dan qasar di tempat tinggal utamanya.
- Tamat -
Persetujuan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis :
- YBhg. S.S Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin - Mufti Negeri Perlis
- Sahibul Fadhilah Ustaz Tajul Urus bin Abdul Halim – Timbalan Mufti Perlis
- Sahibul Fadhilah Dato’ Dr. Johari bin Mat
- Sahibul Fadhilah Profesor Dr.Basri bin Ibrahim
- Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr. Muhamad Rozaimi bin Ramle
- Sahibul Fadhilah Dr. Hj Zaharuddin Bin Hj Abdul Rahman
- Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Azman Bin Mohd Noor
- Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr. Mohd Akram Bin Dato’ Dahaman @ Dahlan
- Sahibul Fadhilah Dr. Kamilin bin Jamilin
- Sahibul Fadhilah Dr. Ahmad Sufian Bin Che Abdullah
- Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr Ahmad Wifaq Bin Mokhtar
- Sahibul Fadhilah Ustaz Syed Abu Bakar Bin Syed Kamal Bharin
- Sahibul Fadhilah Dr. Muhammad Lukman Bin Mat Sin
- Ustaz Muhammad Khidhir Bin Abdul Ghani - Setiausaha
Diperakukan dalam Persidangan Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Bil 6 / 2022 pada 25 November 2022.