KEPUTUSAN MESYUARAT
JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE - 57 / 2022
7 APRIL 2022 / 5 RAMADAN 1443H
Bil. 3/57 TAHUN 2022
FATWA BERKAITAN KEMUDARATAN DI JALAN RAYA DISEBABKAN KECUAIAN
1. Pengguna jalan raya wajib mematuhi segala peraturan di jalan raya bagi mengelakkan kemalangan.
2. Segala bentuk penggunaan jalan raya yang membawa kepada kemudaratan adalah diharamkan.
3. Sekiranya berlaku sesuatu kemalangan di jalan raya, maka ia tertakluk kepada beberapa keadaan seperti berikut :
a) Jika kemalangan itu tidak disebabkan oleh kecuaian pemandu, maka pemandu itu tidak bersalah dan tidak dikenakan apa-apa hukuman. Ini seperti :
i) Kemalangan yang berpunca daripada faktor luar kawalan yang di luar campur tangan manusia.
ii) Faktor utama kemalangan disebabkan oleh mangsa. (Contoh: orang yang keluar melintas jalan secara tiba-tiba, sedang pemandu mengikut peraturan)
iii) Jika kemalangan itu disebabkan oleh kesalahan orang lain atau kesalahan pihak ketiga, maka pihak ketiga tersebut hendaklah memikul tanggungjawab.
b) Jika kemalangan itu disebabkan oleh kecuaian pemandu, maka pemandu bertanggungjawab ke atas segala kemudaratan yang berlaku samada kehilangan nyawa atau harta benda. Jika membabitkan kehilangan nyawa, pemandu boleh dikenakan hukuman berikut :
i) Diyat iaitu denda sebagai ganti terhadap nyawa yang diserahkan kepada waris simati (mangsa kemalangan) kecuali jika waris mangsa memberi kemaafan.
ii) Kafarah iaitu memerdekakan seorang hamba beriman. Jika tiada, hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut.
c) Jika sesuatu kemalangan yang membabitkan dua pihak atau lebih dan kesemua mereka menjadi faktor penyebab terjadinya kemalangan secara bersama, maka pihak yang terlibat bertanggungjawab ke atas kerosakkan yang berlaku.
d) Jika kemalangan jalan raya yang disebabkan oleh binatang peliharaan, pemiliknya menanggung segala kerugian akibat kecuaian mengawalnya.
- Tamat -
Persetujuan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis :
- S.S Prof Madya Dato’ Arif Perkasa Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin - Mufti Negeri Perlis
- Sahibul Fadhilah Ustaz Tajul Urus bin Abdul Halim – Timbalan Mufti Perlis
- Sahibul Fadhilah Profesor Dr.Basri bin Ibrahim
- Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr. Muhamad Rozaimi bin Ramle
- Sahibul Fadhilah Dr. Hj Zaharuddin Bin Hj Abdul Rahman
- Sahibul Fadhilah Prof. Madya Dr. Azman Bin Mohd Noor
- Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr. Mohd Akram Bin Dato’ Dahaman @ Dahlan
- Sahibul Fadhilah Dr. Ahmad Sufian Bin Che Abdullah
- Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr Ahmad Wifaq Bin Mokhtar
- Sahibul Fadhilah Ustaz Syed Abu Bakar Bin Syed Kamal Bharin
- Sahibul Fadhilah Dr. Muhammad Lukman Bin Mat Sin
- Ustaz Muhammad Khidhir Bin Abdul Ghani - Setiausaha
Diperakukan dalam Persidangan Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Bil 3 / 2022 pada 2 Jun 2022.