• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Hukum Solat Di Atas Kerusi

KEPUTUSAN MESYUARAT

JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE - 44 / 2019

26-27 November 2019 / 29-30 Rabiul Awwal 1441

Hotel Tamu, Kg Baru, Kuala Lumpur

______________________________________________________________________

HUKUM SOLAT DI ATAS KERUSI

______________________________________________________________________

 

Solat fardhu wajib ditunaikan secara berdiri. Namun bagi sesiapa yang tidak mampu berdiri kerana sakit, tua atau seumpamanya dibenarkan solat secara duduk. Asas pensyariatan solat secara duduk ini berdasarkan hadis Imran bin Husain RA yang berkata:

كَانَتْ بِي بَوَاسِيرُ ، فَسَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الصَّلاَةِ ، فَقَالَ : صَلِّ قَائِمًا ، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا ، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Maksudnya: Aku terkena penyakit buasir, lalu aku bertanya Nabi SAW tentang solat. Baginda bersabda: “ Solatlah dalam keadaan berdiri sekiranya tidak mampu dalam keadaan duduk, sekiranya tidak mampu solatlah di atas lambung” (HR al-Bukhari).

            Maka setiap rukun solat wajib dilakukan sepertimana sifat asal yang diperintahkan. Jika terdapat keuzuran dalam melakukan sesuatu rukun solat, namun memiliki kemampuan untuk melakukan rukun lain dengan sempurna, seperti seorang yang tidak mampu sujud seperti sifat asalnya namun mampu berdiri untuk bertakbiratul ihram dan membaca al-Fatihah, wajib dia berdiri untuk melaksanakannya.

Tidak sah solat jika meninggalkan sifat asal mana-mana rukun yang mampu dilakukan hanya kerana tidak memiliki kemampuan melaksanakan sebahagian sifat asal rukun yang lain.

Bagi yang tidak mampu solat secara berdiri boleh duduk sama ada secara iftirasy atau bersila atau duduk di atas sesuatu seperti kerusi.

Di bawah ini beberapa gambaran tatacara solat di atas kerusi berdasarkan perbezaan tahap keuzuran yang dialami:

 

1. TIDAK MAMPU BERDIRI, RUKUK DAN SUJUD DALAM BENTUK ASAL

  1. Takbiratul ihram dalam keadaan duduk di atas kerusi.
  2. Melakukan isyarat rukuk dan sujud juga dalam keadaan duduk di atas kerusi. Kedudukan sujud mestilah lebih rendah daripada rukuk.
  3. Sekiranya mampu, kedua tangan diletakkan di atas lantai ketika sujud.

2. MAMPU BERDIRI SEKETIKA, MAMPU RUKUK DAN SUJUD SEPERTI BENTUK ASAL

  1. Melakukan takbiratul ihram dan membaca al-fatihah dalam keadaan bediri.
  2. Berdiri ketika ada kemampuan dan duduk di atas kerusi sekiranya tidak mampu lagi.
  3. Rukuk dan sujud dalam bentuk asal.

3. MAMPU BERDIRI TETAPI DALAM KEADAAN TERHUYUNG HAYANG ATAU DKHUATIRI JATUH

  1. Melakukan takbiratul ihram dalam keadaan berdiri dan terus berdiri dengan kadar yang ia mampu kemudian duduk sehingga selesai bacaan al-fatihah dan surah.
  2. Rukuk dan iktidal dalam bentuk asal sekiranya mampu.
  3. Sujud dalam bentuk asal sekiranya mampu.
  4. Sekiranya tidak mampu rukuk dan sujud dalam bentuk asal, maka boleh melakukan isyarat bagi kedua rukun tersebut. Keadaan sujud lebih rendah daripada rukuk.
  5. Jika mengalami kesukaran untuk bangun ke rakaat berikutnya, maka boleh memegang sesuatu seperti tongkat atau berpaut pada dinding.

4. MAMPU BERDIRI TETAPI TIDAK MAMPU RUKUK SEPERTI BENTUK ASAL

  1. Melakukan takbiratul ihram dan membaca al-fatihah dalam keadaan berdiri.
  2. Melakukan rukuk menurut kemampuan dengan merendahkan sedikit badan dalam keadaan berdiri.
  3. Melakukan sujud seperti bentuk asal sekiranya mampu. Sekiranya tidak mampu, boleh duduk dan melakukan isyarat sujud di atas kerusi.

5. MAMPU BERDIRI TETAPI TIDAK MAMPU SUJUD SEPERTI BENTUK ASAL

  1. Melakukan takbiratul ihram dan membaca al-fatihah dalam keadaan berdiri.
  2. Melakukan rukuk dan iktidal seperti bentuk asal.
  3. Melakukan isyarat sujud lebih rendah daripada rukuk dalam keadaan duduk di atas kerusi. Sekiranya mampu kedua tangan diletakkan di atas lantai.

BEBERAPA NASIHAT BERKAITAN SOLAT DUDUK DI ATAS KERUSI

Beberapa nasihat bagi sesiapa yang ingin melaksanakan solat secara duduk di atas kerusi khususnya sekiranya berjemaah di masjid atau surau :

  1. Sekiranya mempunyai pilihan kedudukan kerusi yang digunakan oleh para jemaah yang uzur atau tidak mampu berdiri itu berada di hujung saf.
  2. Bahagian belakang kaki kerusi perlulah selari dengan kedudukan kaki jemaah yang berada di sebelah.
  3. Kedudukan kaki mereka yang solat duduk di atas kerusi hendaklah tidak melebihi kedudukan imam.
  4. Kerusi yang digunakan hendaklah hendaklah bersaiz tidak melebihi saiz badan atau keperluan supaya keseragaman saf dapat dijaga serta memberikan keselesaan bagi jemaah yang lain.
  5. Ketika seorang itu solat secara duduk, kedudukan belakang badannya hendaklah selari dengan orang yang solat di sebelahnya.
  6. Orang yang duduk di atas kerusi tetapi boleh berdiri hendaklah mendekatkan seboleh mungkin dengan garisan saf untuk mewujudkan keselarian antara saf.
  7. sesiapa yang solat secara duduk, tidak boleh solat secara bersandar ke kerusi tanpa sebarang keuzuran.

 

Diperakukan dalam Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Bil 1/2020 pada 10 Januari 2020

 

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 66
Semalam 1090
Minggu Ini 1156
Bulan Ini 19052

Keseluruhan 3091345

   Masa Capaian : 0.83 saat    Kemaskini :  09/12/2024