MESYUARAT JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE-31/2017
6 Ogos 2017 bersamaan 13 Zulkaedah 1438H
Hukum Zakat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Setelah berbincang, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis bersetuju dengan keputusan seperti berikut:
1) Semua jenis skim KWSP wajib ditunaikan zakat dengan syarat pekerjaan asal pencarum adalah halal.
2) Dividen yang diberikan oleh pihak KWSP jika sekiranya ia daripada akaun simpanan syariah juga tertakluk kepada hukum zakat. Adapun dividen bagi akaun simpanan konvensional perlulah melalui proses pembersihan terlebih dahulu dan bakinya tertakluk kepada zakat.
3) Hendaklah seorang Muslim meletakkan wang simpanannya ke dalam akaun Simpanan Syariah KWSP. Jika dia telah melanggar arahan syarak dengan meletakkan wangnya ke dalam akaun tidak patuh syariah sedangkan dia memiliki pilihan, maka hendaklah dia bertaubat dan wang dividen berkenaan hendaklah dibersihkan. Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis mencadangkan kaedah pembersihan itu boleh dirujuk ke laman sesawang KWSP http://secure.kwsp.gov.my/shariah/bm/faq.html
4) Wang KWSP yang masih lagi berada di dalam simpanan tidak wajib dikeluarkan zakat oleh pencarum dan pihak pengurus. Ini kerana tidak berlaku pemilikan yang sempurna.
KEHADIRAN DAN PERSETUJUAN OLEH:
- Sahibus Samahah Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin
- Sahibul Fadhilah Senator Dato" Dr. Johari bin Mat
- Sahibul Fadhilah Dato' Alim Setia Ahmad bin Jusoh
- Sahibul Fadhilah Ustaz Abdul Hadi bin Haji Osman
- Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Azman Bin Mohd Noor
- Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr. Mohd Akram bin Dato’ Dahaman @ Dahlan
- Sahibul Fadhilah Dr. haji Zaharuddin bin Haji Abdul Rahman
- Sahibul Fadhilah Profesor Madya Dr. Muhamad Rozaimi bin Ramli
- Sahibul Fadhilah Tuan Haji Roslan bin Esa - Timbalan Mufti Negeri Perlis
- Ustazah Nafizah binti Abd Halim – Setiausaha
Diperakukan dalam Mesyuarat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis Bil. 5/2017 pada 10 Ogos 2017 bersamaan 17 Zulkaedah 1438H