MESYUARAT
JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE-18/2015
TARIKH: 22-23 April 2015 / 3-4 Rejab 1436H
HAK HADANAH ANAK BAGI IBU BAPA BERLAINAN AGAMA
Pasangan bukan Islam yang salah seorang daripada mereka memeluk Islam, maka hak hadanah tidak dinilai berdasarkan kepada agama ibu atau bapa. Sebaliknya diserahkan kepada sesiapa yang lebih dapat menjamin kemaslahatan anak dari sudut perkembangan moral, emosi dan tumbesarannya (syafaqah). Dalam masa yang sama, ibu atau bapa yang muslim bertanggungjawab memperkenalkan Islam kepada anak. Perinciannya adalah seperti berikut:
- Anak Di Bawah Tempoh Susuan
- Jika anak masih di bawah susuan badan ibu, maka hak hadanah diserahkan kepada ibu.
- Jika anak bukan disusui oleh ibu, maka hak hadanah diserahkan kepada sesiapa yang lebih dapat memberi syafaqah yang boleh dirujuk kepada latar kedua-dua pihak dan pilihan anak.
2. Anak Melepasi Tempoh Susuan
- Jika anak melepasi tempoh susuan tetapi belum mumayyiz, maka hak hadanah diserahkan kepada sesiapa yang lebih dapat memberikan syafaqah yang boleh dirujuk kepada latar belakang kedua-dua belah pihak.
- Jika anak telah mumayyiz maka dia berhak membuat pilihannya. Melainkan jika dapat dibuktikan pemilihannya itu akan membawa mudharat kepada kehidupan dunianya.
3. Tanggungjawab Memperkenalkan Islam
Ibu atau bapa yang muslim wajib dan berhak memperkenalkan Islam kepada anaknya sekalipun beliau tidak memperolehi hak hadanah. Maka ruang memperkenalkan Islam kepada anak hendaklah diberikan kepadanya.