KEPUTUSAN MESYUARAT
JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE - 64 / 2023
28-29 OGOS 2023 / 11-12 SAFAR 1445
Bil. 1/64 TAHUN 2023
GARIS PANDUAN MENYUCIKAN NAJIS MUGHALLAZAH & MUTAWASSITAH UNTUK PERSIJILAN HALAL NEGERI PERLIS
- Tujuan
Garis Panduan ini disediakan untuk dijadikan sebagai panduan dalam menguruskan proses penyucian dari najis Mughallazah melibatkan sertu dan Mutawassitah tanpa sertu bagi kilang, premis, peralatan, pakaian, atau anggota manusia dan sebagainya untuk permohonan Persijilan Halal Negeri Perlis.
2. Latar Belakang
2.1. Taharah merupakan salah satu persoalan yang diberi penekanan di dalam Islam bagi memastikan umat Islam bebas dari kotoran najis terutamanya untuk perlaksanaan ibadat kepada Allah SWT. Oleh kerana itu, setiap muslim wajib berusaha membebaskan diri dari najis menurut kemampuan.
2.2. Namun perlaksanaan taharah perlulah menurut pandangan dan huraian para ulama Islam bagi mengelak dari menimbulkan kesempitan ke atas umat Islam.
2.3. Justeru, Garis Panduan berkaitan taharah perlulah mengelak dari sifat takalluf (berlebihan tanpa keperluan), dalam masa yang sama tidak mengabaikan aspek kebersihan.
2.4. Garis Panduan ini terpakai untuk permohonan pertama Persijilan Halal Negeri Perlis atau permohonan ulangan setelah dibatalkan Persijilan Halal disebabkan berlaku perlanggaran syarat berkaitan dengan kenajisan.
2.5. Tiada lagi ujian mengenal pasti kenajisan bagi produk-produk yang dihasilkan dari premis-premis yang memiliki Persijilan Halal Negeri Perlis dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam Persijilan Halal Negeri Perlis.
3. Takrif Sertu
Sertu ialah perbuatan menyucikan peralatan atau tempat dan seumpamanya yang tercemar dengan najis mughallazah, dengan membasuhnya sebanyak tujuh (7) kali basuhan. Basuhan yang pertama dengan air bercampur tanah dan dituruti dengan enam (6) kali basuhan dengan air bersih. Jika jumlah basuhan melebihi angka yang disebutkan tidak membatalkan sertu.
Najis mughallazah yang dimaksudkan dalam Garis Panduan ini adalah hanya merujuk kepada jilatan anjing sahaja. Manakala bahagian anjing selain dari jilatannya demikian juga seluruh tubuh badan babi dikategorikan sebagai najis mutawassitah.
4. Peralatan Yang Dihukum Bernajis
4.1. Sesuatu yang suci kekal kesuciannya sehinggalah pasti ia telah tercemar dengan najis.
4.2. Sesuatu yang asalnya suci tidak boleh dihukum bernajis dengan semata-mata sangkaan dan andaian.
4.3. Sentuhan antara sesuatu yang suci dengan yang bernajis dalam keadaan kering tidak menjadikan sesuatu yang suci itu bernajis.
4.4. Peralatan yang dihukum bernajis dan perlu disertu hanyalah peralatan yang dikenal pasti telah tercemar dengan jilatan anjing.
4.5. Tidak perlu menyertu seluruh premis dan setiap peralatan, melainkan pada tempat, kawasan, peralatan yang diyakini terkena jilatan anjing sahaja.
4.6. Kawasan, tempat, peralatan dan seumpamanya yang terkena najis mutawassitah tidak perlu disertu, sebaliknya hanya perlu dibasuh sehingga hilang kesan bau najis dan warna.
4.7. Peralatan yang diperbuat dari mana-mana bahagian badan babi dan anjing seperti bulu dan seumpamanya tidak boleh digunakan dalam penghasilan produk halal.
4.8. Perkara yang wajib disertu adalah membabitkan perkara yang digunakan untuk penghasilan makanan, pakaian dan apa-apa yang digunakan untuk ibadah.
5. Cara Melakukan Cucian Untuk Najis Mutawassitah
Kawasan, bahagian atau seumpamanya yang telah dipastikan tercemar dengan najis mutawassitah hendaklah disucikan dengan menggunakan air yang suci sehingga hilang kesan najis sama ada bau dan warna.
6. Cara Melakukan Sertu Untuk Najis Mughallazah
Apabila telah dikenal pasti sesuatu yang suci tercemar dengan najis mughallazah (jilatan anjing), maka cara menyucikannya ialah;
6.1. Membawa keluar peralatan atau seumpamanya ke kawasan yang bersesuaian untuk dilakukan proses sertuan. Atau menyediakan kawasan yang bersesuai untuk dilakukan sertuan.
6.2. Membersihkan kawasan, peralatan atau anggota yang dijilat anjing dengan air tanah (air yang dicampur dengan tanah).
6.3. Setelah melakukan perkara 6.2. di atas, hendaklah diulangi basuhan di tempat yang sama sebanyak enam (6) kali dengan air bersih.
7. Tanah Yang Boleh Digunakan Untuk Sertu
Tanah yang bersih dan bebas dari najis.
-Tamat-
Kehadiran Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis :
- YBhg. S.S Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin - Mufti Negeri Perlis
- Sahibul Fadhilah Ustaz Tajul Urus bin Abdul Halim – Timbalan Mufti Perlis
- Sahibul Fadhilah Dato’ Dr. Johari bin Mat
- Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Muhamad Rozaimi bin Ramle
- Sahibul Fadhilah Dr. Hj Zaharuddin Bin Hj Abdul Rahman
- Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Azman Bin Mohd Noor
- Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr. Mohd Akram Bin Dato’ Dahaman @ Dahlan
- Sahibul Fadhilah Dr Ahmad Sufian bin Che Abdullah
- Sahibul Fadhilah Dr. Kamilin bin Jamilin
- Sahibul Fadhilah Ustaz Syed Abu Bakar Bin Syed Kamal Bharin
- Ustaz Muhammad Khidhir Bin Abdul Ghani – Setiausaha
DIPERAKUKAN dalam Persidangan Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Bil 5 / 2023 pada 2 Oktober 2023.