Bersempena dengan sambutan maal hijrah. Kami dari meja ISNAD ingin berkongsi ibrah dan iktibar dari sepotong ayat al-Quran yang kami petik dari Tafsir al-Sa’di dan beberapa pengajaran yang kami perolehi dari hadis Nabi saw yang mana bagi kami amat menarik untuk dikongsikan dengan para tetamu yang bertandang ke laman ini.
Firman Allah swt:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
bergaulah dengan cara yang baik dengan mereka. Ayat 19 surah al-Nisa.
Menurut Syeikh Abdurahman bin Nasir bin Abdullah as-Sa’di Rahimahumullah: Allah memerintahkan orang mukmin supaya menjalani kehidupan berumahtangga dengan isteri mereka dengan cara yang terbaik. Ia merangkumi kebaikan dalam tutur kata dan juga perbuatan. Menjadi sahabat karib kepada isteri serta berusaha tidak menyakiti hati pasangan dalam apa jua keadaan. Apabila berkomunikasi gunakanlah bahasa yang menggembirakan hati pasangan. Menjadi tanggungjawab suami yang baik untuk memberi nafkah, pakaian dan keperluan-keperluan lain mengikut adat setempat dan bersesuaian dengan peredaran zaman. Keperluan bagi setiap orang mungkin berbeza namun menunaikan keperluan isteri merupakan tanggungjawab suami. (Rujuk Taisīr al-Karīm al-Raḥman fī Tafsīr al-Kalām al-Manān:172)
Berdasarkan ayat dan tafsir di atas kita mungkin dapat memahami kata kunci kehidupan berumahtangga iaitu bergaul dengan cara yang terbaik, bertutur dengan kata-kata yang baik, berbuat baik pada setiap masa serta menunaikan tanggunjawab dengan sebaiknya. Pendek kata semua yang dilakukan mestilah berpaksikan niat untuk melakukan kebaikan.
Bagaimana kita ingin mengetahui apakah cara pergaulan yang terbaik antara pasangan suami dan isteri yang dikehendaki oleh Allah?
Kami nukilkan sebuah kisah bagaimana Nabi saw menunjukkan kepada kita antara salah satu cara menjadi suami yang baik ialah suami mengetahui dan meraikan mood isteri samada semasa suka ataupun marah.
Pada satu ketika Aisyah menceritakan “Rasulullah berkata kepadaku “Sesungguhnya saya tahu bila awak suka kepada saya dan saya juga tahu bila awak marah kepada saya”
Aku bertanya:” bagaimana engkau tahu bila saya suka dan bila saya marah?”
Nabi menjawab:” Ketika engkau suka dengan aku, engkau akan bersumpah dengan perkataan “ Demi Tuhan Muhammad!” namun ketika engkau marah kepadaku engkau akan bersumpah dengan perkataan “Demi Tuhan Ibrahim”
Aku membalas: benar katamu itu. Demi Allah wahai Rasulullah, saya tidak pernah pernah diam membisu apabila marah ke atas engkau. Saya cuma tidak mahu sebut namamu sahaja. (Riwayat al-Bukhari)
Ini merupakan secebis daripada ibrah serta tip menjadi pasangan suami isteri yang baik yang boleh diteladani dari rumahtangga Nabi saw:
- Suami yang baik memahami laras bahasa isteri yang menterjemahkan isi hati dan menggambarkan mood perasan isteri ketika bertutur. Perkataan yang mengandungi emosi marah diterima dengan hati yang terbuka kerana itulah resam kehidupan berumahtangga. Ada masa suka, bahagia dan gembira. Namun ada ketika lain pula disulami dengan perasan marah.
- Isteri yang baik menzahirkan kemarahan yang cara yang sopan dan tidak menyakitkan hati suami. Isteri yang baik juga akan mengambil peluang untuk berkomunikasi dengan jujur berkaitan emosi dengan suami pada masa yang sesuai seperti mana yang ditunjukkan oleh Aisyah ra.
Moga sedikit perkongsian mengenai kisah rumah tangga Nabawi yang harmoni ini memberikan kita beberapa idea untuk dipraktikkan dalam rumah tangga kita semua supaya kita dapat merealisasikan satu tagline yang klise dan popular “love till jannah”
Semoga Allah mengurniakan kita semua rumah tangga yang bahagia serta menjadikan kita semua sebagai suami dan isteri yang baik.
DARI MEJA ISNAD,
NOR FAEZAH HASSAN