SABAR DALAM KEHIDUPAN
Oleh : Nurul Faezah binti Yahaya (Pegawai Mubaligh)
Sabar iaitu meneguhkan diri dalam menjalankan ketaatan kepada Allah, menahannya dari perbuatan maksiat kepadaNya, serta menjaganya dari perasaan dan sikap marah dalam menghadapi takdir Allah subhanahu wata’ala. Islam sangat menggalakan umatnya untuk sentiasa memiliki sifat sabar, kerana sabar merupakan salah satu sifat mahmudah (terpuji).
Kita sebagai seorang manusia, kehidupan kita akan sentiasa diwarnai dengan ujian kadangkala ia datang dalam bentuk kesenangan mahupun kesusahan. Oleh itu, setiap perkara atau tindakan yang dilakukan oleh manusia menuntut rasa penuh sabar kerana itu mengukur sejauh mana ketakwaan dan keredhaan kita kepada Allah subhanahu wata’ala.
Begitu juga hendaknya kita sebagai seorang yang beriman di dalam menempuh kehidupan ini. Kesabaran yang didukung keredhaan akan membekalkan seorang mukmin dengan kecekalan jiwa serta ketajaman minda untuk bangkit menghadapi cabaran dan ujian yang telah diberikan, supaya dapat merasakan dan mengambil hikmah serta menjadi seorang yang lebih matang dan juga lebih beriman. Allah subhanahu wata’ala telah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 155-156:
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ ﴿155﴾ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ ﴿156
Maksudnya: ”Dan Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang yang bersabar ﴾155﴿ (Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata: ”Sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNya lah kami kembali”﴾156﴿
Sabar bukanlah perkara yang mudah untuk diterapkan dalam kehidupan setiap hari, terlebih dalam masalah dan ujian yang harus kita hadapi. Kerana sabar adalah mengenai bagaimana kita menahan atau bertahan, yakni menahan diri dari rasa gelisah, cemas, amarah, menahan lidah dari keluh kesah, dan menahan anggota tubuh dari kekacauan yang mungkin terjadi dari berbagai sebab baik yang disebabkan oleh diri sendiri mahupun orang lain.
Dengan memiliki sifat sabar, masalah yang kita hadapi akan menjadi terasa lebih ringan, dengan sabar masalah yang kita hadapi boleh diselesaikan dengan lebih efektif, dengan sabar masalah yang kita hadapi dapat diselesaikan tanpa meninggalkan rasa sakit hati atau dendam dalam diri dan juga terhadap orang lain, dengan sabar pula kita akan senantiasa menjalani kehidupan dengan lebih tenang dan tenteram tanpa merasa gelisah dan bermuram hati. Kerana sabar merupakan senjata utama yang terpenting dalam hidup setiap manusia, dan orang yang bersabar dalam menghadapi setiap ujian merupakan golongan hambaNya yang beruntung.
Ketahuilah bahawa setiap ujian yang menimpa manusia mempunyai beberapa pengajaran yang berbeza. Bagi mereka yang beriman, maka ujian yang ditimpa merupakan satu iktibar dan merupakan satu peringatan dalam bentuk kasih sayang dari Allah agar mereka kembali pada jalanNya, yang penting kita harus sabar menghadapinya. Ujian yang diturunkan Allah subhanahu wata’ala kepada kita, pasti sudah ditetapkan dengan penuh keadilan. Tak mungkin ujian yang menimpa itu, melampaui batas kemampuan kita. Kerana Allah tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya.