• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Anak Yang Soleh Menghiasi Taqwanya Seorang Ayah

ANAK YANG SOLEH MENGHIASI TAQWANYA SEORANG AYAH 

Oleh : Ustaz Yusairi Yusli (Pegawai Mubaligh)

 

         Siapa yang tidak kenal dengan Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Seorang khalifah yang terkenal dengan kezuhudan dan kecemerlangan di bawah pemerintahannya. Akan tetapi tidak ramai yang mengetahui bahawa kisah di sebalik kezuhudan beliau. Antara yang menarik Umar bin Abdul Aziz ke alam kezuhudan dan menyedarkan beliau adalah anaknya, iaitu Abdul Malik bin Umar bin Abd Aziz.

Dikisahkan bahawa ketika Umar bin Abdul Aziz sedang menguruskan jenazah khalifah, beliau mendapat berita dilantik menjadi khalifah. Perkara ini membuatkan beliau amat berat menerimanya. Namun disebabkan kepercayaan dan harapan orang, ia menjadi faktor untuk beliau bangkit mengisi jawatan khalifah bagi menggantikan Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik.

Setelah selesai urusan pengurusan jenazah Khalifah Sulaiman b. Abd Malik, beliau pun pulang untuk berehat. Maka pada ketika itu, datang anaknya, lalu  bertanya:

Abdul Malik: Ke mana ayah hendak pergi?

Umar: Aku hendak berehat disebabkan letih pada hari ini menguruskan jenazah.

Abdul Malik: Kenapa ayah tidak mula menguruskan urusan orang ramai dan hak orang ramai? Adakah ayah mampu memberi jaminan yang ayah akan hidup selepas ini. Bagaimana sekiranya hak ini dituntut di hadapan Allah?

Umar bin Abd Aziz tersedar daripada kata-kata anaknya dan memulakan tanggungjawabnya sebagai seorang khalifah.

Dikatakan bahawa Abdul Malik bin Umar juga diantara penyebab yang membawa Umar bin Abdul Aziz ke arah kezuhudan dan menjadi hamba yang bertaqwa. Berbeza dengan apa yang berlaku pada zaman sekarang. Kalau dahulu, Abdul Malik merupakan orang yang selalu membantu ayahnya dalam urusan pentadbiran ke arah redha Allah Taala. Namun, apa yang berlaku pada zaman sekarang adalah sebaliknya. Anak dan ahli keluarga kadang-kadang menjadi penyebab yang membawa kepada seseorang mendapat murka Allah sekiranya tidak diberikan didikan agama yang cukup.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan bersih, maka dua orang tuanyalah yang bertanggungjawab untuk mencorakkannya menjadikan Yahudi atau Nasrani atau Majusi.” (HR. Muslim)

Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita mencorakkan akhlak serta peribadi yang baik buat anak-anak agar kebaikan itu kembali kepada kita semua.

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 360
Semalam 1090
Minggu Ini 1450
Bulan Ini 19346

Keseluruhan 3091639

   Masa Capaian : 0.80 saat    Kemaskini :  09/12/2024