KISAH-KISAH AL-QURAN SUMBER INSPIRASI
OLEH: NOR FAEZAH BINTI HASSAN
Kisah Nabi yang Allah SWT ceritakan dalam al-Quran bukan sekadar untuk tatapan, tetapi perlu untuk kita gunakan sebagai panduan dan inspirasi dalam kehidupan.Firman Allah swt:
نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ أَحْسَنَ الْقَصَصِ بِمَا أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ هَٰذَا الْقُرْآنَ وَإِنْ كُنْتَ مِنْ قَبْلِهِ لَمِنَ الْغَافِلِينَ
“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan kepadamu Al-Quran ini, padahal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu, adalah dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya”. (Surah Yusuf: 3)
Menurut Syeikh al-Sa’di rhm: “kisah-kisah al-Quran merupakan kisah-kisah yang terbaik kerana ia kisah benar yang diceritakan secara tersusun serta mengandungi makna yang indah.(Tafsir al-Sa’di, Jilid 1 halaman 393) Cetakan Pertama 2000. Muassasah ar-Risalah, Beirut.
Menurut Syeikh Al-Jaza’iri rhm: “Ia menjadi kisah yang terbaik disebabkan ia diceritakan secara benar dan jujur dengan tujuan untuk memberi manfaat dan mengambil kebaikan daripadanya” (Tafsir Aisar- al-Tafasir, Jilid 2, halaman 591) Cetakan kelima, Maktabah Darul Ulum wa al-Hikam, Madinah al Munawwarah.
Berdasarkan dua petikan di atas dapat difahami bahawa kisah-kisah yang terkandung dalam al-Quran adalah kisah-kisah yang terbaik kerana beberapa faktor. Antaranya
1 - Kisah yang terdapat dalam al-Quran sangat benar jika dibandingkan dengan kisah-kisah selain al-Quran yang mungkin terdapat tokok tambah untuk menyedapkan cerita sepertimana yang kita tahu apabila membaca cerpen, novel atau filem.
2 - Setiap babak yang diceritakan bertujuan untuk memberi manfaat kepada pembaca supaya dapat diambil ibrah dan iktibar sebagai pedoman dalam hidup.
Bagaimana kita mengambil kisah-kisah dalam al-Quran sebagai sumber inspirasi?
Jika kita hayati kisah Nabi Yusuf a.s yang dirakamkan di dalam surah Yusuf. Kita akan beroleh banyak inspirasi-inspirasi untuk digunakan dalam kehidupan seharian. Namun di ruangan yang terhad ini, penulis hanya menyenaraikan 3 pengajaran penting yang diinspirasikan dari surah Yusuf.
1 - Kekuatan kasih sayang antara bapa dan anak iaitu antara Nabi Yaakub a.s dan Nabi Yusuf yang mana kesedihan dan kerinduan baginda terhadap Nabi Yusuf menyebabkan baginda menjadi buta. Walaupun demikian baginda optimis dengan mengadu segala kesedihan baginda kepada Allah dan akhirnya Allah telah mengembalikan Nabi Yusuf kepada baginda setelah sekian lama terpisah.
2 - Manusia yang baik dan berilmu akan sentiasa memberi manfaat di mana juga dia berada. Nabi Yusuf memiliki ilmu mentafsir mimpi yang mana cadangan dan tindakan yang diambil oleh Pemerintah berdasarkan saranan Nabi Yusuf telah menyelamatkan orang ramai dari bahana kemarau panjang.
3 - Insan yang baik hati akan sentiasa dipelihara Allah swt. Jika dilihat ujian serta pancaroba kehidupan yang dilalui oleh Nabi Yusuf seolah-olah tiada harapan lagi bagi baginda untuk hidup ketika baginda dilempar ke dalam perigi buta oleh saudara-mara beliau dan juga sewaktu baginda dihumban ke dalam penjara. Namun semua yang berlaku kepada Nabi Yusuf menggambarkan kepada kita semua bahawa ujian-ujian yang dihadapi oleh Nabi Yusuf merupakan antara bentuk-bentuk ujian yang akan dihadapi oleh manusia dalam kehidupan di dunia.
Harapan penulis, semoga perkongsian yang ringkas ini dapat mencetuskan perasaan untuk kita mengambil inspirasi dari kisah-kisah yang terdapat dalam al-Quran dan menjadikan kita manusia yang sentiasa mendampingi al-Quran dan menjadikan kisah-kisah yang terdapat di dalamnya sebagai pedoman dan sumber inspirasi dalam kehidupan.