Azam Tahun Baru 2020
Oleh: Mohd Azri bin Mohd Nasaruddin
Tahun 2019 telah melabuhkan tirai, serentak dengan bermulanya tahun 2020 yang dilihat agak istimewa berbanding tahun yang lain. Secara adatnya, di awal tahun baru, kerap pertanyaan berkenaan azam tahun baru diajukan kepada rakan-rakan. Sama ada dari isu santai seperti azam menguruskan badan, sehingga kepada mengejar cita-cita yang diimpikan sejak dari bangku sekolah. Satu hakikat berkenaan masyarakat, ialah sekalian daripada kita tenggelam dengan arus kehidupan masing-masing. Dengan latar keluarga, pendidikan dan suasana pembesaran yang berbeza, corak pemikiran dan objektif manusia bervariasi dari satu individu kepada individu yang lain. Hal ini, didarabkan dengan jutaan bahkan berbillion manusia, membentuk corak pentas dunia yang kita tinggal di dalamnya. Kompleks, namun dalam masa yang sama, pertimbangan berkenaan manfaat dan mudharat sentiasa menjadi persoalan utama dalam setiap minda dan gerak tingkah manusia.
Daripada titik ini, ada masanya kita terhenti sejenak, cuba merenung, mengambil satu langkah ke belakang, cuba lihat soal segala sesuatu itu dengan kerangka yang lebih ringkas namun lebih luas iaitu: apa sebenarnya tujuan kita di sini? Seluruh kehidupan ditakrifkan sebagai hari-hari di mana kita menarik dan menghela nafas, selagi ianya tidak terhenti pada ajalnya. Dalam kesibukan dan putaran kehidupan yang ada masanya tampak terlalu pantas, sejenak kita cuba mengambil masa untuk bermuhasabah: aku hidup sebagai apa? Dari soalan yang ringkas ini, segala niat dan tindakan yang berpunca daripada niat itu sendiri, memberikan takrifan dan objektif kepada kehidupan kita. Dari faktor ini kita bangun di awal pagi, dan dengannya kita berakhir di malam hari. Soal kehidupan dunia melawan akhirat, sentiasa menjadi soal dualiti yang memerlukan imbangan semula dari masa ke semasa, atau dengan kata ringkasnya, muhasabah yang istiqamah.
Allah ﷻ berfirman dalam surah Al-Dzaariyat: “Tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu”. Ayat yang ringkas, barangkali sudah kita dengari berkali-kali di pentas-pentas dakwah. Penghayatan ayat ini, menekankan bahawa tugas dan tanggungjawab kita menghela nafas di dunia, adalah untuk beribadah kepada Allah. Bukan semata-mata untuk menikmati makanan dan minuman, atau perlumbaan kekayaan atau apa-apa yang senada dengannya. Kalau bukan kerana Allah ﷻ berkehendak ada makhluk yang menyembahNya, memuji kebesaranNya, mengharapkan dan mengemis rahmatNya, mengadu kepadaNya, nescaya kita tidak akan wujud di dunia ini. Tiada jin, tiada manusia. Hal ini merupakan penekanan agama ke atas kita, diterap daripada awal Al-Quran sehinggalah ke akhirnya. Jika sedemikian, maka di manakah letaknya corak pemikiran kita, sehingga azam tahun baru cuma dikaitkan dengan soal-soal keduniaan?
Semuanya tergantung kepada cara kita lihat apakah hakikat kehidupan ini. Walaupun bukan semua, namun tidak kurang masyarakat Islam yang masih terpengaruh dengan pemikiran sekularisme, bahawa agama dan kehidupan diasingkan. Syariat adalah satu soal, manakala kehidupan dan semua yang diimpikan berada di sudut yang lain. Yang diutamakan ialah soal kehidupan, manakala mana-mana soal syariat yang dilihat tidak bertentangan, atau menghalang kejaran cita-cita dan nikmat keduniaan akan diamalkan. Jika ada unsur daripada syariat itu dilihat mampu menghalang kejaran dunia, maka di situ agama kerap diputarkan, atau disebut tidak lagi sesuai, atau paling tidak didiamkan daripada amal. Pemikiran sebegini ibarat kanser, dari awalnya berakar, dan setelah gantian hari dan bulan, menjadi semakin parah dan sukar dikeluarkan lagi daripada benak pemikiran. Pada tahap ini, agama cuma tinggal solat lima waktu, berpuasa dan berselfie di hadapan Ka’bah sekiranya mampu. Akhlak bukan lagi agama, baik tutur kata bukan lagi agama, makanan dan produk yang halal bukan lagi agama, sehingga objektif dan arah tuju hidup seharian itu sendiri terlari arahnya. Apa yang dirisaukan berubah daripada takutkan neraka Allah, kepada takutkan manusia. Harapan dimurahkan rezeki oleh Allah, berubah kepada rezeki itu terletak di tangan manusia. Jika si A yang memerintah, pasti murah rezeki, jika si B yang memerintah, pasti miskin papa kedana. Perbuatan masyarakat kafir menjadi contoh kehidupan dalam segenap perkara, manakala kehidupan muslim dilihat kolot, miskin, dan hina. Kesalahan kecil muslim dihukum neraka, manakala kesyirikan si kafir didoakan hidayah dengan lembut.
Berdasarkan ayat yang disebutkan diatas, hidup, pada hakikatnya adalah ujian seluruhnya daripada Allah ﷻ. Kehidupan dunia yang baik, ialah sejauh mana kehidupan ini digunakan sebaiknya untuk mencapai manfaat di akhirat kelak. Walau betapa baik kehidupan seseorang itu, samada dari banyaknya harta, anak, pangkat, pengaruh dan sebagainya, tidak membawa faedah jika itu semua gagal membuatkan seseorang meraih kenikmatan syurga Allah. Itu objektifnya, itu arah tuju utamanya. Ukuran kejayaan, dengan itu, bukan pada ukuran keduniaan, namun pada kejayaan di akhirat kelak. Tidakkah kita lupa betapa hebatnya Namrud dan Firaun, namun mereka adalah manusia yang paling hina di akhirat nanti? Tidakkah kita lupa betapa sederhananya kehidupan Nabi ﷺ dan para sahabat, namun istana Umar ra yang diperbuat daripada permata sudahpun gah tersedia di dalam syurga? Siapa yang sebenarnya berjaya? Siapa yang sebenarnya gagal? Siapa yang sebenarnya mewah dan siapa yang sebenarnya miskin? Adapun soalan yang lebih penting lagi; mengapa dengan begitu banyak kisah umat terdahulu, yang lebih gagah, mewah, pintar dan berkuasa daripada kita telah Allah ceritakan akibat mereka, namun kita pada hari ini merasa aman mengejar dunia, hanya menyelitkan isu akhirat ketika selesa dan tidak ‘mengganggu’ kejaran kita?
Oleh itu, azam tahun baru ini, mari kita menuju kepada bentuk azam yang baru. Daripada azam keduniaan, kembali kepada tujuan asal penciptaan kita; beribadah kepada Allah ﷻ. Apakah ibadah baru yang boleh diazamkan pada tahun ini? Barangkali, ada yang kerap menunaikan solat dhuha dua rakaat pada tahun lepas, maka tahun ini, diazamkan untuk menunaikan solat dhuha empat rakaat. Ada yang selalu mensedekahkan masjid RM1 setiap kali berkunjung, tahun ini diazamkan untuk membawa RM5 untuk diberikan kepada masjid. Barangkali ada yang kerap menunaikan solat witir satu rakaat setiap malam, hatta di luar Ramadhan, lalu diniatkan tahun ini dimasukkan qunut witir setiap kali ditunaikan. Ingat, menjelang tahun baru, sekalian kita semakin hampir setahun ke alam barzakh. Malahan, tiada jaminan setiap kita pada tahun ini bakal melihat 2021, bahkan pertengahan 2020. Jika mampu, ibadah itu paling elok dilakukan dengan kadar yang banyak dan istiqamah. Namun jika tidak mampu mencapai kedua-dua kualiti ini, maka pilihlah istiqamah berbanding kuantiti yang banyak.
Akhir kata, penulis teringat kepada kalam Ibnu Masud ra, iaitu seandainya kita ingin mengambil contoh ikutan, ambillah mereka yang sudah berlalu daripada dunia, kerana mereka telah selamat daripada fitnah. Mereka ialah para sahabat Nabi ﷺ, masyarakat soleh yang sudah terhadapan daripada kita beribu langkah, dan kita hanya mampu melihat bayangan mereka daripada belakang. Ikutilah mereka walau dalam semua keadaan, jika tidak mampu berlari maka berjalan, jika tidak mampu berjalan maka dengan merangkak, jika tidak mampu merangkak maka mengengsot, namun, tiada sebarang keadaan kita berikan alasan kita tidak lagi mengikuti mereka. Mudah-mudahan, tahun 2020 ini menjadikan kita hamba Allah yang insaf, yang lebih taat, lebih takut, dan lebih berjaya memenuhi objektif utama.