• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Sains Dari Kacamata Epistemologi Islam

SAINS DARI KACAMATA EPISTEMOLOGI ISLAM

Oleh: Mohd Azri Bin Mohd Nasaruddin

            Di antara persoalan yang kerap dilontarkan dalam dunia ilmu, adalah pertembungan di antara agama dan sains. Jika direnung kembali, persoalan ini pada hakikatnya timbul sejak dari Zaman Keemasan Eropah, di mana Gereja mempunyai kuasa penuh dalam semua perkara, termasuk hak dalam menerangkan soal fenomena alam. Kemunculan dan kemajuan sains Barat, yang pada hakikatnya dipelopori oleh Zaman Keemasan Islam yang muncul sebelumnya, dilihat seolah-olah mencabar hak Gereja. Sains, dengan itu, dilihat sebagai musuh kepada foundasi Kristian itu sendiri, dan begitu juga sebaliknya. Atas sebab itu, adalah perkara biasa kita melihat bahawa para saintis Barat kerap mengutarakan idea dan penjelasan berlainan daripada ahli agama, dengan masing-masing mendakwa sebagai pemegang kebenaran dan merendahkan pihak lawannya.

            Pada hakikatnya, kajian ilmu tabi’i dan cabangnya berlaku sebelum daripada Zaman Keemasan Barat, di dalam Dunia Sains Islam. Namun, soal bahawa sains dilihat bercanggahan dengan agama tidak timbul di kalangan ulama’ dan ahli sains Islam. Mengapa sedemikian? Walhal intipati kajian alam yang disebutkan dalam peradaban Barat tidaklah lari jauh daripada yang boleh kita dapati daripada hasil karya Al-Biruni, Al-Khawarizmi, Al-Jabbar, Abu Zaid Al-Balkhi dan seumpamanya. Daripada satu sudut, hal ini adalah kerana para ulama’ Islam sangat memahami apa yang dikenali sebagai epistemologi Islam. Dengan takrifan yang mudah, epistemologi ialah teori ilmu berkenaan ilmu itu sendiri. Atau dengan kata lainnya, daripada mana datangnya ilmu? Perbincangan sudut inilah yang pada hakikatnya melahirkan pertembungan di antara sains dan agama.

            Di antara sumber utama ilmu ialah pancaindera. Apa-apa maklumat yang boleh digapai melalui pancaindera yang lima dan disusun dengan baik, dikira sebagai ilmu. Selain daripada pancaindera, akal juga merupakan salah satu sumber ilmu. Perkara-perkara yang tidak boleh dihayati melalui pancaindera, namun dapat digapai dengan perhitungan akal, turut dilihat sebagai ilmu. Dalam dunia sain Barat, dua perkara ini adalah sumber ilmu, dan tidak ada sumber selain daripadanya. Atas dasar itu, kita melihat ahli saintis menolak sebarang perkara yang dilihat ‘unquantifiable’, atau tidak boleh dihitung, atau diperhatikan. Sebagai contoh, pemikiran J.B. Watson dalam Psikologi Behaviorisme, menekankan bahawa psikologi cumalah pemerhatian tingkah laku manusia, bukan proses pemikiran, kerana proses pemikiran adalah abstrak dan tidak dapat diperhatikan. Walaupun fakta ini kemudiannya dibantah oleh Psikologi Kognitif, poin utamanya adalah sains Barat terlalu menekankan dua perkara ini sebagai sumber ilmu.

            Sedangkan di dalam Islam, terdapat lagi sumber ilmu yang lain, terutamanya Al-Quran dan Al-Sunnah baginda Nabi saw. Sumber ini membawa maklumat yang mutlak kebenarannya seandainya sahih sanadnya. Ianya melangkaui ilmu yang terhasil daripada pancaindera dan akal, malahan maklumat daripada dua sumber mutlak ini berasal dari Pencipta pancaindera dan akal. Seluruh perjalanan dan gerak tadbir alam ini, pada hakikatnya, adalah satu misteri yang sangat besar lagi mendalam. Allah swt merupakan Pengurusnya, dan tidak semua perkara diizinkan Allah untuk kita memahami atau mengakalinya.

            Maka daripada itu, timbul persoalan, apakah itu sains? Sains menurut Barat adalah disiplin ilmu yang mengkaji fenomena alam, dari sebesar-besar perkara seperti alam raya sehinggalah kepada hidupan seni seperti virus, atau soal yang lebih halus lagi seperti Jirim Gelap. Penjelasan yang terhasil daripada pemerhatian ini kerap bercanggahan dengan penjelasan pihak Gereja, kerana itu dua pihak ini tidak boleh berjalan selari. Namun, jika dilihat dari kacamata Islam, sains pada hakikatnya ialah kajian berkenaan bagaimana Allah swt mencipta dan mengurus tadbir alam, melalui perkiraan dan pemerhatian. Dengan itu, sains dan agama bukanlah dua soal yang bertentangan, tetapi selari. Bezanya ialah mekanisme pengurusan Allah berada jauh di hadapan, yang mana sains merangkak untuk memahami soal-soal ini. Setakat mana yang mampu difahami dan dihitung, maka menurut ‘ijtihad’ saintis, itulah kebenarannya. Adapun soal yang masih belum dikaji atau gagal difahami, itu bermakna kemajuan sains tidak akan mampu menyaingi ilmu Pengurusan Allah swt, bukan bercanggahan dengannya.

            Atas dasar itu, sains, walau se’objektif’ atau se’neutral’ mana ianya cuba ditonjolkan oleh ahli saintis, pada hakikatnya, masih berpijak pada konsep ijtihad. Cuma sahaja ia bukan ijtihad dalam agama, namun ijtihad dalam ilmu dan bidang masing-masing. Tidak benar jika dikatakan, misalannya, semua yang dikatakan seorang doktor kesihatan itu adalah mutlak dan benar, bahkan ianya cuma disandarkan kepada perkiraan atau ijtihad, samada daripada saintis sebelumnya, ataupun daripada dirinya sendiri. Bahkan hal ini berlaku dalam khidmatnya kepada setiap pesakit yang bertemu dengannya. Begitulah seterusnya dalam bidang apapun jua. Oleh kerana itu, kita dapati masih terdapat percanggahan pandangan, hatta di dalam bidang yang dianggap ‘objektif’ seperti perubatan. Jangankan soal yang tinggi yang tak dapat kita fahami, bahkan dalam persoalan gula lwn. kolestrol juga masih diperdebatkan sehingga kini!

            Oleh sebab itu jugalah, perhitungan dan ‘ramalan’ dalam dunia sains, tidak dihukumkan sebagai syirik di dalam Islam. Hal ini kerana seperti disebutkan, sains adalah usaha untuk memahami hakikat alam tabi’i yang diciptakan Allah, bukan lawan baginya. Daripada perhitungan dan pemerhatian ini, jangkaan awal dibuat, atau ‘ramalan’. Ianya cuma berdasarkan perhitungan dari maklumat pancaindera dan kiraan akal, bukan penasaban kepada aktiviti kuasa ghaib selain daripada Allah swt. Usaha membenih hujan, membaja tanaman, membuat ubat bagi penyakit yang khusus dan sebagainya, tidak sesekali dimasukkan dalam perbincangan syirik kepada Allah. Bukan kerana ianya tiada kaitan dengan agama, namun kerana ia didasarkan kepada urus tadbir Allah yang disebutkan dalam Al-Quran dan Al-Sunnah.

             Pada kesimpulannya, asas perbincangan epistemologi ini perlu diberikan perhatian lebih, terutamanya kepada para penuntut ilmu di dalam kedua-dua bidang. Dalam menuju era kemajuan dalam sains dan teknologi, pendekatan kita sebagai umat Islam tidak boleh sama dengan pendekatan sains Barat. Ini adalah kerana kita mempunyai falsafah dan keimanan yang berbeza. Termasuk dalam perkiraan kajian juga ialah faedah, manfaat dan mudharat yang dijangka terhasil daripada sesuatu kajian. Bukan semua kajian itu kajian yang bermanfaat, dan istilah ilmu yang tidak berfaedah boleh dinilai melalui objektif dan keperluan sesuatu perkara itu dikaji. Kita memohon lindung dengan Allah swt daripada ilmu yang tidak bermanfaat, di mana banyak masa, tenaga dan wang ringgit dihabiskan dalam kajian, namun ianya tidak memberi manfaat yang besar kepada umat di dunia, dan lebih teruk lagi, tidak menghasilkan pahala yang lumayan kepada pengkaji itu sendiri di akhirat kelak.

                                                                                                        Wallahualam.

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 450
Semalam 1090
Minggu Ini 1540
Bulan Ini 19436

Keseluruhan 3091729

   Masa Capaian : 0.81 saat    Kemaskini :  09/12/2024