PUASA SEBAGAI PERISAI
Puasa, atau dalam bahasa Arab disebut sebagai siyam atau saum, membawa maksud menahan diri daripada makan, minum serta perkara-perkara yang membatalkannya dalam tempoh tertentu yang telah ditetapkan oleh syariat Islam. Lebih daripada sekadar menahan lapar dan dahaga, ibadah puasa mendidik umat Islam untuk mengawal nafsu dan menjauhi perkara yang dilarang walaupun mereka berupaya melakukannya. Inilah antara bentuk tarbiah yang terkandung dalam bulan Ramadan.
Semangat Ramadan ini perlu disemai dalam kehidupan seharian kita. Umat Islam diajar untuk menjauhi perkara yang diharamkan Allah, bukan kerana tiada peluang melakukannya, tetapi kerana dorongan iman dan kesedaran bahawa kepatuhan kepada perintah Allah lebih utama. Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِحَتْ أَبْوَابُ الجَنَّةِ، وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ، وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ
"Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka, dan dibelenggu syaitan." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menyampaikan tiga perkara utama yang berlaku ketika Ramadan: pintu syurga terbuka luas, pintu neraka tertutup, dan syaitan dibelenggu. Para ulama memberikan pelbagai tafsiran mengenai makna hadis ini, antaranya ialah bahawa pintu syurga terbuka kerana banyaknya amal soleh yang dilakukan oleh umat Islam, pintu neraka tertutup kerana maksiat berkurangan, dan syaitan dibelenggu sebagai tanda bahawa godaan mereka terhadap manusia menjadi lebih sukar.
Selain itu, di bulan Ramadan ini mengajar kita untuk bersikap sederhana dalam segala hal. Islam menuntut keseimbangan dalam kehidupan, tidak berlebih-lebihan dalam beribadah hingga melampaui batas yang ditetapkan, dan tidak pula tenggelam dalam keseronokan duniawi secara berlebihan. Hal ini termasuklah dalam soal makanan. Sebagaimana firman Allah dalam surah al-A’raf, ayat 31:
يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
Maksudnya: "Makanlah serta minumlah, dan janganlah kamu berlebihan; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebihan."
Ironinya, bulan Ramadan yang sepatutnya menjadi bulan menahan diri sering kali berubah menjadi pesta makanan. Kita sering terpengaruh dengan pelbagai juadah yang dijual di bazar Ramadan, sedangkan hakikatnya Ramadan mengajar kita untuk bersederhana. Ini selari dengan tuntutan Islam yang menolak sikap fanatik atau keterlaluan dalam apa jua aspek, termasuk ibadah.
Sebagai contoh, ada yang ingin menyambung puasa terus selepas berbuka tanpa makan sedikit pun. Perbuatan ini bertentangan dengan ajaran Rasulullah SAW yang menekankan kepentingan berbuka. Baginda SAW bersabda:
"Sesiapa yang berpaling daripada sunnahku, maka dia bukan dari kalanganku." (Riwayat al-Bukhari)
Justeru, segala amalan yang dilakukan hendaklah mengikut garis panduan syariat dan tidak melampaui batas yang ditetapkan.
Sesungguhnya, puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga melatih kita untuk menjaga akhlak dan menghindari dosa. Ada yang berpuasa tetapi tetap melakukan perkara yang merosakkan pahala seperti berkata-kata buruk, mengumpat, dan melakukan kezaliman terhadap orang lain. Ramadan mengajar kita untuk menjaga pahala ibadah dan menjauhi segala perbuatan yang boleh mengurangkannya.
Oleh itu, marilah sama-sama kita mengambil kesempatan di bulan Ramadan ini untuk memperbaiki diri, meningkatkan amal ibadah, serta mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga satu bentuk pendidikan jiwa agar kita menjadi insan yang lebih bertakwa, berakhlak mulia, dan bersederhana dalam kehidupan agar kita menjadi insan yang lebih baik di sisi Allah SWT.