15 November 2024 : Jabatan Mufti Negeri Perlis telah mengeluarkan teks khutbah yang bertajuk Amal Soleh Yang Membawa Ke Syurga.
Dalam teks berkenaan, ditekankan berkenaan amalan-amalan yang semestinya dilakukan oleh seorang mukmin antaranya membaca ayatul kursi, melaksanakan solat sunat tatawwu’, iaitu solat sunat dua belas rakaat’ sehari semalam, ikhlas kerana Allah SWT dan dilakukannya secara berterusan, bertakwa kepada Allah SWT dan berakhlak dengan akhlak yang baik lagi mulia. Selain itu, berwuduk dengan elok dan solat sunat wuduk dua rakaat, pergi ke masjid untuk solat secara berjamaah, membaca surat Al-Ikhlas sebanyak sepuluh kali dan menghayati isi kandungannya dan membina masjid ikhlas kerana Allah SWT.
Terdapat banyak lagi amalan-amalan lain yang boleh kita amalkan untuk membawa kita ke syurga, sepertimana yang disebut dalam Al-Quran dan Hadis-hadis yang sahih. Amalan-amalan tersebut boleh membawa ke syurga bagi mereka yang benar-benar beriman dan mengamalkannya dalam keadaan ikhlas kerana Allah SWT. Syurga itu juga boleh diperolehi dengan kita banyak berdoa kepada Allah SWT, supaya Allah SWT memasukkan kita ke dalam syurga-Nya.
Mudah-mudahan dengan keimanan yang benar dan segala amal ibadah yang kita lakukan itu menepati seperti apa yang diperintahkan-Nya, dan kita semua tergolong dalam golongan yang dimasukkan kedalam syurga-Nya, serta mendapat segala kenikmatan di dalam syurga-Nya yang kekal abadi buat selama-lamanya.