Perlis, 14 November 2024 – Tuanku Raja Muda Perlis telah berkenan merasmikan Persidangan Majlis Ilmuwan Nusantara Kali Kedua, yang diadakan di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis. Persidangan selama dua hari ini menghimpunkan lebih 30 ilmuwan dari Malaysia, Thailand, Indonesia, Vietnam, dan Kemboja.
Majlis ini disertai oleh pelbagai pihak yang memperjuangkan pemeliharaan adat dan budaya tanpa mengetepikan aspek keagamaan. Mufti Perlis, Prof. Dato' Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, menyatakan persidangan ini akan meneliti bagaimana unsur adat seperti seni, pakaian, dan hiburan boleh dijaga agar selari dengan prinsip-prinsip agama. Beliau menegaskan bahawa peranan adat sangat penting dan perlu diimbangi dengan keharmonian nilai agama.
Tuanku Raja Muda Perlis dalam titah perasmian baginda, menekankan kepentingan diskusi yang menyeluruh untuk mencari titik pertemuan antara agama dan budaya, khususnya di kalangan masyarakat Nusantara yang kaya dengan pelbagai warisan.
Baginda turut berkenan melancarkan Laman Web Rasmi Majlis Ilmuwan Nusantara, yang akan menjadi platform digital bagi menyebarkan maklumat mengenai keagamaan dan budaya di rantau ini.
Hadir sama dalam majlis ini ialah YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Exco Agama, serta beberapa tetamu kehormat. Persidangan kali ini merupakan kali kedua diadakan selepas kali pertama yang dianjurkan pada Februari lalu.