Bukit Ayer, 3 November - Perkhemahan Sunnah Edisi Wanita yang berlangsung di Nakawan Campsite, Bukit Ayer, pada 2 hingga 3 November telah menyatukan 200 peserta muslimah dari seluruh Malaysia dan luar Malaysia. Bertemakan “Memerhati Alam, Mengenal Tuhan”, program ini dianjurkan oleh Perlis Centre of Wisdom dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Perlis dan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, serta mendapat sokongan penuh daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selaku penaja utama.
Program selama dua hari ini telah diisi dengan pelbagai aktiviti yang menyentuh aspek rohani, fizikal, dan intelektual. Salah satu pengisian utama ialah Klinik Ilmu yang memberikan peluang kepada peserta untuk mendapatkan panduan hukum daripada para asatizah dalam suasana yang santai dan tenang. Selain itu, peserta turut mengambil bahagian dalam Slot Riadah, yang bukan sahaja meningkatkan kecergasan fizikal tetapi juga merapatkan hubungan ukhwah di kalangan peserta.
Pada malamnya, Campfire bersama Dato’ Mufti Perlis, Prof. Dato' Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, menjadi acara kemuncak program, di mana beliau berkongsi hikmah dan pengalaman dalam memahami dan menghayati alam sebagai bukti kekuasaan Allah, memberikan inspirasi serta motivasi kepada peserta.
Majlis penutup program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Mufti Negeri Perlis, Ustaz Tajul Urus bin Abdul Halim, yang menyampaikan ucapan penghargaan kepada para peserta dan pihak penganjur atas komitmen mereka dalam menjayakan program berimpak tinggi ini. Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis Ag. Shaffie bin Ag. Ahamdni yang menyokong penuh usaha penganjuran aktiviti perkhemahan berbentuk ibadah dan penghayatan alam ini.
Program ini telah berjaya memupuk kefahaman yang lebih mendalam terhadap kebesaran ciptaan Tuhan serta mempereratkan ikatan ukhuwah dalam kalangan peserta, menjadikannya pengalaman bermakna dan diingati.