Perlis, 4 Oktober 2024 – Dalam khutbah Jumaat yang disampaikan di seluruh masjid Negeri Perlis hari ini, tajuk "Mendidik Keluarga dengan Ajaran Islam adalah Suatu Kewajipan" menjadi tumpuan para jemaah. Khutbah tersebut menekankan kepentingan mendidik keluarga mengikut ajaran Islam, khususnya dalam membina keluarga yang bertakwa dan berakhlak mulia.
Khutbah hari ini menggariskan bahawa ibu bapa memainkan peranan penting sebagai pemimpin dalam keluarga. Bapa, sebagai ketua keluarga, bertanggungjawab memastikan ahli keluarganya sentiasa dalam keadaan baik serta mengamalkan ajaran Islam.
Pendekatan mendidik keluarga mengikut sunnah Rasulullah SAW turut ditekankan dalam khutbah. Antara langkah utama yang perlu diambil oleh ibu bapa antaranya adalah Mengajar anak mengenal Allah SWT dan Rasulullah SAW dengan memperkenalkan anak-anak kepada asas ilmu tauhid, khususnya tentang mentauhidkan Allah dan menjauhi syirik
Ibu bapa juga ditegaskan untuk mendidik anak-anak menunaikan solat. Firman Allah dalam Surah Thahaa, ayat 132, menyuruh umat Islam untuk menunaikan solat dan bersabar dalam melaksanakannya. Rasulullah SAW juga mengarahkan agar anak-anak disuruh solat seawal usia tujuh tahun dan dihukum jika meninggalkannya pada usia sepuluh tahun, seperti yang dinyatakan dalam hadis riwayat Abu Daud.
Khatib turut menyarankan agar ibu bapa harus menunjukkan contoh tauladan dalam berakhlak mulia. Anak-anak perlu dididik agar jujur, berbuat baik kepada keluarga, jiran tetangga, dan hormat-menghormati.
Doa juga merupakan elemen penting dalam mendidik anak-anak. Ibu bapa digalakkan berdoa agar dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah. Khutbah tersebut menegaskan bahawa pendidikan agama merupakan asas dalam membentuk keluarga yang beriman dan berakhlak mulia. Usaha ini harus berterusan sepanjang hayat bagi memastikan keluarga sentiasa berada di landasan yang benar mengikut ajaran Islam.
Khutbah hari ini sejajar dengan usaha kerajaan Negeri Perlis yang sentiasa berusaha memperkukuhkan institusi keluarga melalui pelbagai program dan inisiatif keagamaan. Jabatan Mufti Negeri Perlis menyeru agar setiap keluarga memanfaatkan segala peluang yang disediakan, termasuk menghadiri program-program ilmu di masjid serta menyertai kelas-kelas pengajian agama.
Dengan berakhirnya khutbah hari ini, diharapkan mesej yang disampaikan dapat menyuntik kesedaran dalam kalangan masyarakat Perlis mengenai pentingnya mendidik keluarga dengan ajaran Islam sebagai satu kewajipan yang perlu diberi keutamaan.