Arau, 4 September 2024 - Jabatan Mufti Negeri Perlis telah turut serta dalam Karnival Kebudayaan Islam dan Perasmian Surau di Sekolah Kebangsaan Tengku Budriah, Arau, Perlis, yang telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, bersama-sama Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Majlis tersebut menyaksikan perasmian surau baharu sekolah berkenaan yang diharapkan dapat menjadi pusat ibadah dan pembelajaran agama untuk warga sekolah dan masyarakat setempat.
Dalam ucapan perasmian, Tuanku DYMM Pemangku Raja Perlis menekankan pentingnya surau sebagai pusat penyatuan ummah dan tempat untuk memperkukuh nilai-nilai Islam dalam kalangan pelajar.
Selain merasmikan surau, Tuanku DYMM Pemangku Raja Perlis dan DYTM Raja Puan Muda Perlis turut berkenan melawat tapak pameran yang diadakan sempena karnival tersebut. Tapak pameran ini menampilkan pelbagai aktiviti dan persembahan yang mempamerkan keindahan budaya Islam, termasuklah bahan-bahan pameran daripada pelbagai agensi khususnya agensi agama di Negeri Perlis.
Penglibatan Jabatan Mufti Negeri Perlis dalam karnival ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan jabatan ini dalam mendekatkan masyarakat dengan ilmu-ilmu agama dan memperkukuhkan kefahaman Islam dalam kalangan generasi muda. Karnival ini juga memberi peluang kepada pengunjung untuk mendapatkan penerangan lanjut berkenaan peranan dan fungsi Jabatan Mufti Negeri Perlis.