Perlis, 30 Ogos 2024 – Khutbah Jumaat di seluruh masjid di Negeri Perlis pada minggu ini mengangkat tema "Malaysia Madani Jiwa Merdeka," yang menekankan pentingnya semangat kemerdekaan dan cinta kepada tanah air dalam konteks Malaysia Madani. Khutbah ini turut menggariskan perjuangan Rasulullah SAW dalam menyatukan seluruh umat manusia di bawah satu akidah yang benar.
Khatib memulakan khutbah dengan menceritakan sejarah perjuangan Rasulullah SAW yang berusaha keras menyatukan umat manusia di bawah panji Islam. Baginda tidak mengenal lelah dalam menyebarkan dakwah dan mengajak umat manusia untuk bersatu atas dasar akidah yang satu. Khatib menekankan bahawa perpaduan ini bukan sahaja penting untuk kejayaan umat Islam, tetapi juga relevan dalam konteks negara Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
Dalam khutbah tersebut, khatib menyeru para jemaah untuk mencontohi semangat perpaduan dan kesatuan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Menurutnya, semangat ini selari dengan konsep Malaysia Madani yang mementingkan perpaduan, keadilan sosial, dan kesejahteraan semua rakyat. Khatib menekankan bahawa setiap rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, perlu memainkan peranan dalam memupuk semangat persaudaraan dan kesatuan untuk memastikan keamanan dan keharmonian negara terus terpelihara.
Khutbah tersebut juga mengingatkan umat Islam tentang pentingnya menjauhi segala perbuatan yang boleh mengundang dosa, yang membawa kepada perpecahan umat Islam sekaligus akan menyebabkan masyarakat tidak mencintai negara. Khatib menekankan beberapa langkah yang boleh diambil oleh umat Islam untuk mengelakkan diri daripada dosa ini, antaranya memupuk semangat perpaduan dengan tidak mengeluarkan kenyataan atau melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan perpecahan.
Umat Islam juga digesa untuk mematuhi undang-undang negara adalah satu bentuk menunjukkan cinta dan kesetiaan kepada tanah air. Khatib mengingatkan bahawa Islam mengajarkan umatnya untuk taat kepada pemimpin dan undang-undang selagi tidak bertentangan dengan syariat.
Setiap individu juga bertanggungjawab untuk menunaikan kewajipan seperti membayar cukai dan menyertai program-program yang dianjurkan oleh pihak berkuasa. Ini adalah cara untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan menunjukkan kecintaan kepada tanah air.