Perlis, 16 Ogos 2024 - Khutbah Jumaat di seluruh Negeri Perlis hari ini telah mengangkat tema yang sangat penting, iaitu "Dosa Memberi Kesan Yang Buruk Terhadap Diri". Khutbah ini menekankan kepada jemaah mengenai kesan negatif yang timbul akibat perbuatan dosa serta langkah-langkah untuk menjauhinya.
Para khatib menjelaskan bahawa dosa-dosa yang dilakukan tanpa taubat akan meninggalkan kesan buruk bukan sahaja pada hubungan dengan Allah SWT, tetapi juga terhadap kehidupan harian seseorang menggelapkan jantung hatinya, hatinya tidak bahagia,nafsu menguasai diri, mengundang bencana dan musibah dalam kehidupan dan sebagainya. Dosa akan menyebabkan hati menjadi gelisah, resah, dan kehilangan ketenangan. Hati yang bersih dan tenang hanya dapat dicapai dengan menjauhi dosa dan memperbanyakkan ibadah.
Orang yang sering melakukan dosa juga akan mengalami kesukaran dalam kehidupan yang boleh membawa kepada kesulitan dan masalah dalam hidup, baik dari segi rezeki, hubungan sosial, mahupun kesihatan fizikal dan mental.
Dosa yang dilakukan secara berterusan boleh menyebabkan hawa nafsu yang jahat menguasai diri. Lama-kelamaan diri mereka akan hanyut dibawa arus penguasaan syaitan. Sehingga mereka tidak lagi dapat membezakan antara yang benar dan yang salah.
Para Khatib juga menegaskan, orang yang kerap melakukan dosa akan keras hatinya dan jauh dari hidayah Allah SWT apabila dosa dilakukan secara berterusan tanpa penyesalan. Ini juga mempengaruhi kemampuan seseorang untuk memahami kebenaran dan menerima nasihat.
Mimbar jumaat juga turut memberikan kaedah untuk seseorang itu bertaubat kepada hadirin yang hadir. Antaranya ialah meninggalkan dosa tersebut, menyesal terhadap pelakuan yang dilakukan, berazam atau tekad untuk tidak mengulanginya dan jika berkaitan dengan hak manusia maka hendaklah dipulangkan atau meminta agar dihalalkan. Allah SWT berfirman dalam Surah An Nuur, ayat 31: Ertinya;Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.
Khutbah ini diakhiri dengan seruan kepada seluruh jemaah untuk sentiasa bermuhasabah, memohon keampunan, dan berusaha keras untuk memperbaiki diri demi mencapai redha Allah SWT.