Kangar, 13 Ogos 2024 – Dewan Warisan Kangar sekali lagi menjadi saksi kepada wacana ilmiah yang berprestij melalui Seminar Penerangan Isu-Isu Fatwa Peringkat Negeri Perlis 2024 yang bertemakan "Aqidah". Seminar ini telah menarik minat seramai 500 orang peserta, terdiri daripada orang awam dan wakil-wakil agensi daripada seluruh Negeri Perlis.
Dengan matlamat memberikan penerangan dan pendedahan yang komprehensif, seminar ini menampilkan tiga kertas kerja yang dikupas oleh tiga penceramah tersohor. Antaranya ialah Maulana (Dr.) Muhammad Asri Bin Yusoff, yang telah membentangkan kertas kerja bertajuk Kepentingan Memahami Usul (Perkara Asas) dan Furu’ (Perkara Cabang) Dalam Akidah Ahl al-Sunnah Wa al-Jamaah. Pembentangan ini mendapat perhatian khusus kerana ia menyentuh asas-asas penting dalam memahami akidah yang sebenar. Maulana Asri dikenali sebagai ilmuan dalam bidang hadis dan juga aktif dalam aktiviti dakwah dengan menyampaikan kuliah dan kelas-kelas pengajian Islam khususnya dalam bidang hadis di seluruh Malaysia sehingga kini.
Turut memperkayakan perbincangan, al-Fadhil Ustaz Nidlol Masyud, Pengarah Pusat Kajian Akidah IHKAM dari Indonesia, telah dijemput sebagai penceramah jemputan antarabangsa. Beliau membentangkan kertas kerja bertajuk Perbezaan Akidah Salaf dan Asyairah, yang memberikan perspektif mendalam mengenai perbezaan pendekatan dalam memahami akidah dalam kalangan umat Islam.
Seminar ini turut dimeriahkan dengan pembentangan oleh SS. Mufti Negeri Perlis, yang membawakan kertas kerja bertajuk ‘Pendirian Terhadap Perbezaan Dalam Akidah Ahl al-Sunnah Wa al-Jama’ah’. Beliau juga berbesar hati untuk merasmikan seminar tersebut, menandakan komitmen dan kesungguhan Negeri Perlis dalam memartabatkan kefahaman akidah yang tulen di kalangan masyarakat.
Seminar ini bukan sahaja menjadi platform untuk bertukar-tukar pandangan, tetapi juga sebagai medan untuk memperkukuhkan kefahaman dan pegangan akidah yang sahih, sejajar dengan cabaran semasa yang dihadapi oleh umat Islam.
Dengan pengisian yang padat dan relevan, seminar ini diharapkan mampu memberikan impak yang mendalam kepada para peserta dan masyarakat umum. Rata-rata yang ditemui menyatakan harapan agar seminar sebegini dapat diadakan pada masa akan datang kerana ianya memberikan ilmu baru terutamanya bagi tenaga pengajar Agama Islam di Negeri Perlis.