4 Jun 2024 – Jabatan Mufti Negeri Perlis telah menganjurkan Program Ziarah Jabatan Mufti Negeri Perlis bertempat di Masjid At-Taqwa Jalan Kampung Alor Redis Tambun Tulang Perlis. Program Ziarah Jabatan Mufti Negeri Perlis ini merupakan siri ziarah kali ke-3 bagi tahun 2024.
Antara pengisian yang diadakan adalah soal jawab bersama Mufti Negeri Perlis dan dimoderatorkan oleh Ustaz Fazil Bin Haji Ahmad yang merupakan imam di masjid berkenaan. Beliau berpandangan, program ziarah ini amat bermakna buat warga kariah Masjid At-Taqwa kerana dapat bertemu sua dan mendengar secara langsung bicara ilmu yang disampaikan oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Perlis. Beliau juga, turut merakamkan ucapan terima kasih atas pemilihan masjid berkenaan untuk diadakan sesi ziarah ini.
Antara isu yang dibincangkan dalam prorgam ziarah ini adalah berkenaan bagaimana umat Islam mendepani penjajahan barat yang semakin menguasai politik dan berpengaruh dalam kehidupan sosial pada hari ini. Selain itu, bersempena dengan kedatangan Aidiladha yang akan disambut tidak lama lagi, Mufti Negeri Perlis turut membincangkan berkenaan korban dan penghayatan terhadap ibadah tersebut.
Para pegawai Jabatan Mufti Negeri Perlis turut hadir pada program ini. Unit Penerbitan Jabatan Mufti Negeri Perlis turut menyediakan bahan-bahan bacaan ilmiah untuk edaran secara percuma kepada warga kariah berkenaan.
Siaran secara langsung juga turut disediakan menerusi aplikasi facebook rasmi Jabatan Mufti Negeri Perlis, Pro Media Tajdid dan Suara Sunnah.