KANGAR, 30 Mei (Bernama) -- Islam wajib dijadikan panduan utama bagi memperkasakan semula jati diri Melayu kerana tanpa Islam, bangsa Melayu akan kehilangan jati diri, titah Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda bertitah pendidikan Islam memainkan peranan penting dalam memperkasakan semula jati diri Melayu-Muslim iaitu dengan memahami nilai-nilai Islam, masyarakat Melayu dapat memperkukuhkan lagi identiti serta hidup aman dalam kepelbagaian kaum dan budaya.
"Jadi, Islam bukan sahaja menjadi 'asas' pembentukan jati diri Melayu-Muslim, bahkan memastikan keharmonian dan kestabilan dalam masyarakat," titah baginda ketika berkenan merasmikan Seminar Antarabangsa Peradaban Ummah: "Islam Jati Diri Melayu" Tahun 2024 di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.
Sehubungan itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPS) bertitah MAIPS sedang meneliti supaya dapat menerapkan modul jati diri watan Perlis kepada generasi muda.
"...dan penerapan ini diharap dapat dimulakan dari peringkat prasekolah ke peringkat sekolah rendah, menerusi peringkat SAPPS (Sekolah Agama Petang Perlis) dan akhirnya peringkat IPT (institut pengajian tinggi) khasnya di KUIPS (Kolej Universiti Islam Perlis). Insya-Allah," titah baginda.
Sumber daripada BERNAMA