KANGAR, 6 Mei- Program Perkampungan Sunnah yang dilaksanakan sejak 2015, kini memasuki edisi ke-9 bakal ditambah baik dalam pelbagai aspek.
Ia bagi pelaksanaan edisi Ke-10 tahun depan, kata Mufti Negeri Perlis, Profesor Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Beliau berkata, usaha itu penting berikutan program tahunan ini bukan sahaja dihadiri masyarakat Islam dari dalam negara semata-mata, malah mengumpul para ilmuwan Islam dari pelbagai negara di Asia Tenggara.
Selain itu katanya, program tersebut dijadikan destinasi perkongsian serta perbincangan berkenaan ilmu Islam saban tahun.
Menurutnya, bagi edisi ke-10 tahun depan, Jabatan Mufti Negeri Perlis bersama agensi pelaksanaan Program Perkampungan Sunnah akan memperkenalkan konsep keluarga angkat bagi masyarakat Islam yang hadir mengikuti program berkenaan.
Ini berikutan setiap kali pelaksanaannya, tempat penginapan yang sedia ada termasuk hotel, inap desa dan masjid tidak dapat menampung kehadiran pengunjung yang kian bertambah.
"Sebab itu kita akan cuba mengkaji dengan cara yang lebih holistik macam mana hendak menambah baik dan bukan soal tempat ini saja yang padat tapi juga soal bagaimana peserta-peserta ini hendak berada selama tiga hari ini kerana yang mana dapat hotel, tapi hotel di Perlis pun sudah tidak mampu menampung jumlah orang yang hadir ke Perkampungan Sunnah.
"Jadi ini adalah daripada satu sudut pelancongan ilmu yang sangat baik, tapi kita mesti menyediakan juga pendekatan-pendekatan lain yang membolehkan tetamu-temau ini hadir ke negeri Perlis,"kata Datuk Dr Mohd Asri.
Beliau ditemui media selepas Majlis Perasmian Penutupan Program Perkampungan Sunnah Siri 9 bertemakan Jihad Memartabatkan Dakwah Mempertahankan Ummah di Masjid Alwi, Kangar, yang disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Bagi edisi ke-9 ini hampir 50 penceramah berkongsi ilmu berkaitan jihad menerusi lebih 30 slot disediakan kepada lebih 50,000 yang hadir sepanjang tiga hari program berlangsung di samping 13 aktiviti lain termasuk pameran, aktiviti sukan, jualan, dakwah jalanan serta program melibatkan agensi kerajaan.
Sumber : Berita RTM