KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melancarkan kempen jom Ramadan Perlis di Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis di sini, semalam.
Ia diadakan sempena Majlis Cerapan Rukyah Hilal Ramadan 1445 Hijriah bersamaan 2024 Masehi di Menara Pandang masjid berkenaan yang dianjurkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) Negeri Perlis.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda kedua baginda berdua iaitu Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Majlis dimulakan dengan sesi Taklimat Mengenai Data Rukyah Hilal yang dikongsikan oleh Pengarah JUPEM Negeri Perlis.
Tuanku Syed Faizuddin kemudiannya menyaksikan sesi tandatangan Pengesahan Rukyah Hilal 1445H/2024M Negeri Perlis dan disusuli dengan Pelancaran Buku Terbaru Jabatan Mufti Negeri Perlis oleh baginda berjudul ‘Garis Panduan Pengurusan Jenazah Umat Islam Negeri Perlis’.
Para hadirin selepas itu mendengar Taklimat Penerangan Asas lImu Falak / Astronomi yang disampaikan oleh Dr. Norshahrizan Mohd Hashim yang merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur, UiTM Cawangan Perlis.
Baginda turut berkenan menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah.
Sumber : UTUSAN