RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan Persidangan Majlis Ilmuan Nusantara (MIN) Kali Pertama 2024 dengan bertemakan Manhaj Ahlussunnah Asas Penyatuan Ummah di Bilik Mesyuarat Utama, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis, Kangar dari 16 hingga 18 Februari ini.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Mufti Perlis, Prof. Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor. Hadir sama Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
MIN 2024 ini dianjurkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dalam usaha memantapkan kerjasama untuk kepentingan dakwah di Asia Tenggara dan Perlis sebagai platform menjayakan gerakan dakwah di rantau ini.
Persidangan kali ini yang turut mendapat kerjasama Kerajaan Negeri juga bukan sahaja disertai dan dihadiri oleh ahli dari Malaysia malah beberapa ilmuan negara lain termasuklah dari Indonesia, Thailand, Kemboja dan Vietnam.
Kehadiran para ilmuan dari pelbagai negara ini mencerminkan dan memberi gambaran bahawa betapa kuatnya ukhuwah Islamiyah di rantau Nusantara ini.
Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs bertitah, para ilmuan perlu merangka strategi bagi memastikan kelangsungan kerja-kerja dakwah yang dilakukan.
Titah Baginda, kejayaan sesuatu gerakan dakwah perlu melalui perancangan yang tersusun dan berkesan.
Baginda bertitah, Perlis amat mengalu-alukan segala bentuk penganjuran program yang meningkatkan mutu ilmu dan intelek umat kita dan kita sedia membuka ruang seluas-luasnya untuk para sarjana dan ilmuan berdiskusi dalam menghasilkan resolusi yang akan membawa kebaikan dan keberkatan untuk umat Islam ini.
Raja Muda percaya penganjuran persidangan seperti ini akan menghasilkan natijah yang positif dalam mewujudkan kerjasama serantau dan pada masa yang sama mampu menghasilkan ketetapan dalam beberapa perkara untuk dijadikan panduan bersama.
Baginda turut berharap agar kewujudan Majlis Ilmuan Nusantara ini mampu membentuk kerjasama masa hadapan dan memberikan natijah yang positif bagi kerja dakwah di Asia Tenggara.
Sumber : Suara Merdeka