PROGRAM kayuhan berbasikal ‘Semarak Merdeka’ sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 dan promosi Kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025 (TMP2024-2025) dilaksanakan di Mukim Khlong Hae, Daerah Sadao, Wilayah Songkhla, Thailand.
Keberangkatan tiba Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang mengetuai delegasi dari Perlis dengan 66 peserta terdiri daripada ketua-ketua agensi negeri dan juga Persekutuan serta swasta di Perlis sempena hari cuti umum semalam.
Delegasi berkenaan telah disambut dengan meriah oleh Datuk Bandar Khlong Hae, Suwat Leertjittham di pekarangan pejabatnya.
Baginda dan delegasi dipersembahkan dengan tarian dan iringan muzik tradisional sebagai tanda penghormatan dan selamat datang.
Tuanku Syed Faizuddin Putra diiringi oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof; Penasihat Undang-Undang Negeri; Mohd Radhi Abas dan Pegawai Kewangan Negeri, Zepri Saad.
Para peserta menjalankan aktiviti kayuhan itu dengan penuh bersemangat dengan memakai baju yang tersemat bendera Malaysia dan mengibarkan Jalur Gemilang di basikal masing-masing.
Kayuhan sejauh 20 kilometer di sekitar mukim itu bermula dan berakhir di pekarangan Pejabat Datuk Bandar Khlong Hae.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyampaikan sumbangan wang tunai RM2,000 setiap satu dari Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada tiga buah masjid yang disinggahi dan disantuni di sepanjang program tersebut.
Ia melibatkan Masjid Al-Jadid yang diketuai oleh Imam Muhammad Md Adam, Masjid Aishah Radiallahuanha, oleh Imam Abdullah dan Masjid Nurul Huda, oleh Imam Yaakob Saleh.
Sumbangan MAIPs itu bertujuan membantu jawatankuasa masjid terbabit untuk menjalankan kerja-kerja kebajikan, menyelenggara masjid dan membantu golongan yang memerlukan.
Turut serta Mufti Perlis, Prof. Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Raja Muda juga berkenan melawat tempat-tempat menarik di sekitar Khlong Hae antaranya Stesen Kereta Api, ladang kelulut Pheung Thong Farm dan beberapa buah Wat.
Baginda menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga masjid dan penduduk kampung berkenaan kerana sudi menyambut kunjungan Baginda dan delegasi pada edisi kali ini dengan penuh meriah.
Setiap masjid juga telah menjamu buah-buahan tempatan seperti cempedak, manggis, dokong dan juga rambutan.
Pada penutup majlis kayuhan itu, Suwat Leertjittham yang turut mewakili penduduk di mukim tersebut menyatakan rasa gembira dan berbesar hati atas kesudian Raja Muda Perlis dan peserta kayuhan hadir di kawasan mereka.
“Aktiviti berbasikal, sumbangan dana untuk masjid dan lawatan di sekitar Khlong Hae akan mengeratkan lagi hubungan antara Malaysia dan juga Daerah Sadao,” kata beliau lagi.
Tuanku Syed Faizuddin Putra pula berharap hubungan baik antara Malaysia khususnya Perlis dan Wilayah Selatan Thailand akan terus berkekalan.
Baginda turut menjemput warga Selatan Thailand khususnya di Khlong Hae untuk datang beramai-ramai ke Perlis bagi menjayakan dan memeriahkan lagi Tahun Melawat Perlis 2024-2025 pada tahun hadapan.
Video koporat mengenai tempat-tempat pelancongan menarik di Perlis ditayangkan untuk tontonan yang hadir dalam sesi tersebut bagi memperkenalkan Perlis.
Sumber: Suara Merdeka