KANGAR: Pelancongan agama menerusi penganjuran acara ilmu tahunan Perlis, Perkampungan Sunnah akan dijadikan antara daya tarikan pelancongan sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Perlis, Wan Badariah Wan Saad, berkata kerajaan negeri melihat pelancongan agama salah satu nilai tambah yang mampu dikembangkan dalam menarik pelancong ke Perlis selain daripada tarikan eko dan agro pelancongan dalam negeri itu.
"Pelancongan agama ini lebih memfokuskan kedatangan orang ramai untuk melancong ke Perlis demi menimba ilmu agama. Kita melihat penganjuran Perkampungan Sunnah sebagai produk pelancongan agama terbaik bagi negeri ini kerana tidak pernah dilaksanakan di negeri lain.
"Kita akui setiap tahun pelancong atau pengunjung yang mengunjungi acara Perkampungan Sunnah ini semakin meningkat terutama dalam mendalami ilmu agama Islam dan kita dapati banyak rumah penginapan seperti hotel dan rumah inap desa penuh ditempah.
"Penganjuran acara Perkampungan Sunnah ini juga bakal dijadikan sebagai salah satu jenama pelancongan agama di negeri ini dan bagi keperluan berkenaan, kita akan memperluaskan skopnya kepada program lain yang membabitkan ilmu agama Islam," katanya ketika dihubungi hari ini.
Selain Perkampungan Sunnah, kerajaan negeri juga melihat penubuhan universiti seperti Universiti Muhammadiyah Malaysia (Umam) di Padang Besar dilihat antara cabang pelancongan agama yang berkaitan ilmu sempena Tahun Melawat Perlis, tahun depan.
"Kewujudan Umam boleh dilihat sebagai salah satu cabang kepada kluster pelancongan agama, ibu bapa dan penjaga pelajar di universiti itu akan meluangkan masa berada di Perlis dan meneroka produk pelancongan di sini.
"Ketika Ramadan, acara iftar beramai-ramai di Dataran Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) pernah kita anjurkan tahun ini mendapat reaksi positif sekali gus mampu memberi nilai tambah kepada pelancongan agama di negeri ini," katanya.
Pelancongan agama ini tidak harus dilihat pada skala besar sahaja kerana perkara kecil seperti berbuka puasa beramai-ramai juga mampu dijadikan salah satu produk pelancongan sesuatu negeri.
Katanya, kerajaan negeri masih lagi memperhalusi maskot rasmi Tahun Melawat Perlis 2024-2025.
"Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) sedang menyediakan kertas kerja yang akan dimasukkan dalam Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, pada bulan depan yang akan diputuskan nanti.
"Banyak cadangan diterima, hanya dua sahaja sedang diteliti, iaitu beruk kentoi serta buah mangga Harumanis," katanya.
Menjelang Tahun Melawat Perlis itu, hampir 100 lokasi pelancongan meliputi pelbagai kluster eko dan agro pelancongan sudah dinilai dan akan dijadikan sebagai antara lokasi atau produk pelancongan.
Antaranya, Viewpoint Wang Kelian, Taman Ular Sungai Batu Pahat, Canopy Walk di Stesen Penyelidikan FRIM (SPF) di Hutan Simpan Mata Ayer, Titi Tinggi, Padang Besar.
Sumber : Berita Harian Online