KANGAR : Solat Hari Raya Aidilfitri di negeri ini digalakkan untuk dilaksanakan di tanah lapang sebagaimana dilaksanakan tahun sebelum ini.
Pelaksanaan tersebut adalah selaras dengan sunnah Rasulullah SAW selain dapat mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 berbanding solat di tempat tertutup.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pemilihan tanah lapang adalah tertaktuk kepada ketetapan oleh jawatankuasa kariah masjid masing-masing.
“Bagaimanapun, pihak jawatankuasa kariah boleh mempertimbangkan penggunaan ruang dalam masjid sekiranya terdapat keperluan bergantung kepada ruang dan bilangan jemaah yang hadir.
“Para jemaah yang hadir diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka serta ditambah baik dengan pemakaian pelindung muka.
“Jemaah dibenarkan bersalaman, namun tidak menyentuh muka selepas bersalam dan hendaklah sentiasa mencuci dan membersihkan tangan,” titah baginda dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Titah baginda lagi, pelaksanaan solat Aidilfitri di mana-mana surau atau dewan orang ramai tanpa kelulusan pihak berkuasa agama kekal tidak dibenarkan.
Sementara itu, baginda yang juga merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, semua jemaah termasuk kanak-kanak sudah dibenarkan hadir menunaikan solat dan aktiviti pengimarahan di masjid tanpa terikat status vaksinasi.
“Penjarakan fizikal sepanjang masa juga sudah tidak perlu. Ketika solat berjemaah boleh merapatkan saf dan tanpa penjarakan fizikal,” titah baginda.- UTUSAN