Pada 9 Mac 2022 (Rabu) Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia Perlis telah mengadakan Program Bual Bicara Agama Bersama Mufti Perlis dan Perasmian Program Perlis Berzikir. Program ini telah diadakan di Dewan Zamzam, Kompleks Kastam Kangar, Jalan Kampong Pondok, Kangar, Perlis. Peserta yang hadir adalah dari kalangan kakitangan Jabatan Kastam. Program telah berlangsung pada jam 9.30 Pagi.
Program dimulai dengan bual bicara agama yang disampaikan oleh YBhg. Ustaz Ahmad al-Qarni Bin Edrus (Mubaligh Jabatan Mufti Perlis) dan seterusnya diikuti dengan slot bersama Mufti Negeri Perlis. Pada program yang sama, turut diadakan Pelancaran Kempen Perlis Berzikir Peringkat Jabatan Kastam Diraja Malaysia Perlis.
Antara tujuan program ini adalah untuk memberikan pendedahan untuk mengamal dan membanyakkan zikirullah (menyebut dan mengingati ALLAH) seperti yang diajarkan oleh al-Quran dan al-Sunnah dalam kehidupan seharian. Selain itu, membangunkan aspek kerohanian antara matlamat penganjuran program ini. Zikir itu menghidupkan agama dalam diri seseorang kerana zikir menghubungkan jiwa seorang hamba dengan Allah. Maka, menghidupkan zikir bererti menghidupkan agama dalam kehidupan seseorang.
Pelancaran Kempen Perlis Berzikir yang diadakan ini diharapkan mampu mencapai misi utamanya iaitu untuk mengembangkan kefahaman kepentingan zikir didalam kehidupan seharian. Kempen ini juga akan turut diadakan di jabatan-jabatan kerajaan yang lain mengikut perancangan yang telah diatur. Program ini telah diurusetiakan oleh Institut Sunnah & Irsyad, Jabatan Mufti Negeri Perlis (ISNAD). Pihak Jabatan Mufti Negeri Perlis mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama yang telah diberikan oleh pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia Perlis.
Program ini juga telah dijalankan secara langsung menerusi Facebook rasmi Jabatan Mufti Negeri Perlis, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs), Pro Media Tajdid dan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).