Sejajar dengan irsyad dan nasihat Sahibus Samahah Mufti Negeri Perlis, semua masjid di Perlis diselaraskan untuk membaca doa khusus ketika khutbah jumaat, selaras dengan amalan yang bertepatan dengan sunnah Nabi SAW.
Adalah menjadi harapan agar segala musibah dan ujian bencana yang sedang dihadapi di seluruh negara akan segera pulih dan keadaan akan menjadi baik seperti sedia kala. Amalan berdoa yang akan dilaksanakan oleh khatib seluruh negeri, adalah sebahagian daripada usaha sebagai hamba Allah yang sentiasa bergantung harap kepada pertolongannya.
Ekoran dengan perkembangan dalam negara yang berhadapan dengan situasi bencana seperti banjir dan tanah runtuh, MAIPs menggesa agar seluruh rakyat dan pemimpin memperteguhkan ketaatan dan ketakwaan kepada Allah, selain berusaha melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan tegahan serta larangan-Nya.
Dalam pada itu, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs mengingatkan umat Islam di negeri ini mengenai kewajipan menunaikan Solat Jumaat yang harus ditunaikan.
Keingkaran menunaikan Solat Jumaat adalah termasuk dalam kesalahan jenayah dalam syarak yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi seribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.