Pandemik perlu dilihat sebagai satu hikmah, mengeratkan hubungan keluarga dan kepada Allah SWT. Ketika ramai menganggap wabak sebagai ‘meragut’ dan mengubah kehidupan, kita harus melihat ia sebagai satu hikmah yang tersirat. Kita akui, pandemik dan kehidupan norma baharu memberi impak besar namun kehidupan perlu diteruskan seperti biasa dengan semangat, pemikiran dan sikap yang positif.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan merasmikan ‘Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) Siri Ke-2’ yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) secara maya hari ini.
Selain dengan YTF, seminar bertemakan “Women in Search of Excellence (WISE)” ini turut mendapat kerjasama agensi-agensi agama Islam yang lain di negeri ini termasuklah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JAIPs) dan Jabatan Mufti.
Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Penasihat DiRaja YTF, golongan wanita tidak seharusnya menjadikan keluarga, suami mahupun anak-anak sebagai alasan mengetepikan impian masing-masing. Wanita diharapkan mampu membuat keputusan bagi membentuk diri, keluarga dan masyarakat sekiranya mereka percaya pada kebolehan sendiri.
Antara ahli panelis yang diundang dalam program secara langsung melalui aplikasi FB rasmi MAIPs, JAIPs, Jabatan Mufti Negeri dan Suara Sunnah Channel kali ini ialah Prof. Madya Dr. Mohd Rozaimi Ramli, Dato’ Dr Zaininah Mohd Zain, Dato’ Dr. Jahizah Hj Hassan, Dato’ Dr. Zaridah Shaffie, Prof Datin Dr. Raihana Haji Abdullah dan Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail.
Sumber : Suara Merdeka