TITAH DULI YANG TERAMAT MULIA TUANKU YANG DIPERTUA MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU PERLIS (MAIPs) BERKAITAN PELAKSANAAN AKTIVITI PENGIMARAHAN SECARA TERHAD MASJID-MASJID KAWASAN SANGLANG EKORAN PERKEMBANGAN SEMASA PENULARAN WABAK COVID-19 DI NEGERI PERLIS
Dengan kurnia limpah perkenan DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, setelah meneliti perkembangan semasa penularan pandemik Covid-19 di seluruh negara dan negeri Perlis tercinta, sayugia dihebahkan Pelaksanaan Aktiviti Pengimarahan Secara Terhad Masjid-Masjid Kawasan Sanglang Ekoran Perkembangan Semasa Penularan Wabak Covid-19 di Negeri Perlis berkuat kuasa Waktu Maghrib 22 Ogos 2021 sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan seperti ketetapan berikut:
A- MASJID TERLIBAT
1- Rentetan peningkatan bilangan jangkitan yang tinggi di Kawasan Sanglang Perlis berjumlah 60 orang yang dikemaskini oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Perlis pada 12.00 tengah hari bertarikh 21 Ogos 2021, semua masjid dalam Kawasan SANGLANG dan persekitarannya adalah terlibat dengan Arahan Pelaksanaan Aktiviti Pengimarahan Secara Terhad. Masjid-masjid terlibat adalah seperti berikut:
a) Semua masjid dalam DUN Sanglang;
i Masjid Al-Rahman, Kg. Simpang Sanglang
ii Masjid Al-Maghfirah, Sungai Korok
iii Masjid Darul Salam, Kg. Padang Keria
iv Masjid Al-Makmur, Kg. Bongor Kudung
v Masjid Al-Furqan, Kg. Bunga Emas
vi Masjid Asy-Syakur, Kg. Permatang Bongor
vii Masjid Dato’ Jaafar Hassan, Kg. Sungai Padang
b) Sebahagian masjid dalam DUN Simpang Empat iaitu:
i Masjid Putra, Simpang Empat
ii Masjid Al-‘Ilmi, Sungai Berembang
iii Masjid Ameer Fawwaz, Kg. Sungai Baru
c) Sebahagian masjid dalam DUN Guar Sanji iaitu:
i Masjid Nurul Yaqin, Kg. Chantik Bangun
ii Masjid Nurul Muttaqin, Kg. Che Ok.
2- Mereka yang berada dalam kawasan terlibat adalah dilarang daripada keluar kariah untuk menunaikan solat atau hadir mengimarahkan masjid di kariah lain.
B- KEHADIRAN PEGAWAI BERTUGAS & JEMAAH
3- Sebagai langkah kawalan, hanya Pegawai Bertugas (Imam, Bilal & Siak) serta jemaah yang terdiri dari kalangan Jawatankuasa Kariah Masjid SAHAJA dengan tidak melebihi 12 orang pada sesuatu masa dibenarkan hadir untuk melaksanakan aktiviti Solat Jemaah (Sama ada Solat Fardu 5 Waktu atau Solat Jumaat).
4- Kecuali Pegawai Bertugas, hanya Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid yang telah divaksin LENGKAP dibenarkan hadir ke masjid. (Maksud Divaksin Lengkap adalah selepas 14 hari dari tarikh suntikan Dos KEDUA bagi vaksin jenis Pfizer, Astrazeneca, dan Sinovac. Manakala bagi vaksin jenis Johnson & Johnson dan Cansino adalah selepas hari ke-28 dari tarikh suntikan Dos).
5- Walaupun melengkapi syarat di atas, Pegawai Bertugas dan Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid turut DILARANG untuk hadir ke masjid sekiranya terdiri daripada golongan seperti berikut:
a) Mereka yang terlibat dengan aktiviti rentas sempadan / negeri sama ada dengan kebenaran atau tanpa kebenaran termasuk yang berulang alik bekerja pada setiap hari walaupun telah lengkap 2 dos suntikan vaksin. Larangan ini adalah selama tempoh 2 minggu daripada tarikh merentas sempadan.
b) Ahli keluarga mereka yang tinggal bersama dengan golongan yang melakukan rentas sempadan, melainkan ahli keluarga yang telah lengkap 2 dos suntikan vaksin.
c) Golongan yang berstatus PUI (Person Under Investigation), PUS (Person Under Surveillance) dan mereka yang memiliki risiko untuk dijangkiti.
6- Semua yang hadir hendaklah mematuhi segala SOP Keselamatan dan Kesihatan seperti berikut:
a) Memakai pelitup separuh muka. (Digalakkan memakai 2 pelitup muka [double face masks] serta ditambah baik dengan pemakaian bersama pelindung muka [face shield]);
b) Membawa sejadah sendiri bersaiz standard;
c) Mengambil wuduk sebelum ke masjid;
d) Mengimbas suhu badan dan melaksanakan rekod penjejakan sosial (mengimbas Kod QR Aplikasi MySejahtera atau mendaftar pada buku yang disediakan). Pematuhan terhadap SOP ini adalah diperketatkan.
C- TATACARA KETIKA DI MASJID
7- Demi mengurangkan risiko penyebaran wabak, semua solat hanya akan dilaksanakan di ruang terbuka seperti anjung masjid.
8- Laungan azan akan dilaksanakan di masjid dengan gantian seruan ungkapan hay’alatain (حى على الصلاة، حى على الفلاح) kepada (صَلُّوْا فِيْ بُيُوْتِكُمْ) (Solatlah di rumah kamu), berdasarkan riwayat al-Bukhari (668) dan Muslim (699) daripada Ibn 'Abbas RA. Inilah salah satu pandangan yang dibolehkan seperti yang dinyatakan oleh al-Imam al-Nawawi RH di dalam kitabnya Syarh Sahih Muslim 5/207.
9- Semua jemaah hendaklah sentiasa melaksanakan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 2 meter pada setiap masa. Pematuhan terhadap SOP ini adalah diperketatkan.
10- Tidak dibenarkan sebarang kontak fizikal seperti bersalaman.
11- Sebagai langkah kawalan, para jemaah diminta terus beredar setelah selesai melaksanakan aktiviti pengimarahan di masjid.
12- Aktiviti lain seperti kuliah agama dan ceramah adalah ditangguhkan. Manakala Solat Jenazah yang terdiri dari kalangan petugas dan ahli keluarga terdekat tidak melebihi 12 orang adalah dibenarkan dengan syarat pematuhan ketat kepada SOP. Adalah selain daripada apa yang dinyatakan ini, TIADA sebarang aktiviti perkumpulan dan perhimpunan yang dibenarkan.
13- Pengurusan masjid berhak untuk membuat teguran dan tidak membenarkan kemasukan jemaah yang tidak mematuhi SOP.
Harapan
Di kesempatan ini, saya menzahirkan rasa bimbang dengan keadaan di negeri ini yang menunjukkan trend peningkatan kes yang amat ketara sejak seminggu lebih yang lalu selain terdapat pelbagai varian Covid-19 yang baharu disahkan di negara kita.
Saya turut menyeru kepada seluruh rakyat Perlis tercinta agar melipatgandakan usaha dan tenaga untuk mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagaimana yang telah digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain mahu lebih ramai rakyat di negeri ini segera divaksinasi dalam usaha mengekang penularan Covid-19.
MENJUNJUNG SYIAR MEMAJU UMMAH
1 KURUN MAIPs (1920): MENGUKUH QIADAH, MENGISLAH UMMAH
SYED FAIZUDDIN PUTRA IBNI TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL
D.K., S.P.M.P., P.A.T.
Doctor of Education (Honoris Causa) La Trobe University, Melbourne, Australia
Honorary Doctorate In Management Science, Yala Rajabhat University, Thailand
Raja Muda Perlis
Yang DiPertua
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis
Termaktub di Istana Arau
02600 Arau
Perlis
Bertarikh : 22 Ogos 2021 bersamaan 13 Muharram 1443H