TITAH DULI YANG TERAMAT MULIA TUANKU YANG DIPERTUA MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU PERLIS (MAIPs) BERKAITAN PELAKSANAAN SOP KETAT AKTIVITI PENGIMARAHAN MASJID EKORAN PERKEMBANGAN SEMASA PENULARAN WABAK COVID-19 DI NEGERI PERLIS
Dengan kurnia limpah perkenan DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, setelah meneliti perkembangan semasa penularan pandemik Covid-19 di seluruh negara dan negeri Perlis tercinta, sayugia dihebahkan Pelaksanaan SOP Ketat Aktiviti Pengimarahan Masjid Ekoran Perkembangan Semasa Penularan Wabak Covid-19 di Negeri Perlis seperti ketetapan berikut:
A- KEHADIRAN JEMAAH
1- Jemaah yang dibenarkan hadir ke masjid HANYA terdiri daripada kalangan anak kariah sahaja (kecuali pegawai dan petugas) yang berusia antara 12 tahun hingga 59 tahun. Walaubagaimanapun, bagi jemaah yang berusia 60 tahun dan ke atas, adalah dibenarkan dengan syarat lengkap 2 Dos suntikan vaksin Covid-19.
2- Walaupun melengkapi syarat di atas, golongan berikut DILARANG untuk hadir ke masjid
a) Mereka yang terlibat dengan aktiviti rentas sempadan / negeri sama ada dengan kebenaran atau tanpa kebenaran termasuk yang berulang alik bekerja pada setiap hari walaupun telah lengkap 2 dos suntikan vaksin. Larangan ini adalah selama tempoh 2 minggu daripada tarikh merentas sempadan.
b) Ahli keluarga mereka yang tinggal bersama dengan golongan yang melakukan rentas sempadan, melainkan ahli keluarga yang telah lengkap 2 dos suntikan vaksin.
c) Golongan yang berstatus PUI (Person Under Investigation), PUS (Person Under Surveillance) dan mereka yang memiliki risiko untuk dijangkiti.
3- Semua jemaah yang hadir hendaklah mematuhi segala SOP Keselamatan dan Kesihatan seperti berikut:
a) Memakai pelitup separuh muka. (Digalakkan memakai 2 pelitup muka [double face masks] serta ditambah baik dengan pemakaian bersama pelindung muka [face shield]);
b) Membawa sejadah sendiri bersaiz standard;
c) Mengambil wuduk sebelum ke masjid;
d) Mengimbas suhu badan dan melaksanakan rekod penjejakan sosial (mengimbas Kod QR Aplikasi MySejahtera atau mendaftar pada buku yang disediakan). Pematuhan terhadap SOP ini adalah diperketatkan.
B- TATACARA KETIKA DI MASJID
4- Semua jemaah hendaklah sentiasa melaksanakan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 2 meter pada setiap masa. Pematuhan terhadap SOP ini adalah diperketatkan.
5- Tidak dibenarkan sebarang kontak fizikal seperti bersalaman.
6- Sebagai langkah kawalan, para jemaah diminta terus beredar setelah selesai melaksanakan aktiviti pengimarahan di masjid.
7- Aktiviti kuliah agama, ceramah, Solat Jenazah dan sebagainya (jamuan hendaklah secara edaran [tanpa menggunakan polisterin serta meminimakan plastik sekali guna]) dibenarkan dengan syarat pematuhan ketat kepada SOP.
8- Pengurusan masjid berhak untuk membuat teguran dan tidak membenarkan kemasukan jemaah yang tidak mematuhi SOP.
C- SOP DIPERKETAT MASJID-MASJID DI KAWASAN KUALA PERLIS (SAHAJA)
9- Melihat kepada status semasa penularan wabak Covid-19 di kawasan Kuala Perlis, masjid-masjid berikut adalah tertakluk kepada SOP diperketat:
a) Masjid Rahmaniah, Kuala Perlis;
b) Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Seberang Ramai;
c) Masjid Terapung Al-Hussain;
d) Masjid Al-Firdaus, Padang Besar Selatan;
e) Masjid Al-Munir, Jalan Batu Lima;
f) Masjid Al-Mukminin, Kota Kayang.
10- SOP diperketat bagi semua masjid dalam Kawasan Kuala Perlis seperti senarai para 9 di atas adalah seperti berikut:
a) Tempoh masa bermula azan hingga selesai Solat Jumaat adalah 20 minit sahaja manakala tempoh bermula iqamah dan waktu bersurai bagi solat fardu 5 waktu adalah selama 15 minit.
b) Aktiviti pengimarahan lain seperti kuliah agama, ceramah dan sebagainya adalah tidak dibenarkan buat masa ini.
c) Semua jemaah diminta untuk meminimakan perhimpunan dengan segera beredar setelah selesai menunaikan solat.
11- Pelaksanaan SOP ketat bagi masjid-masjid di kawasan Kuala Perlis yang terlibat adalah berkuatkuasa serta-merta sehingga tempoh yang akan dimaklumkan, bergantung kepada keadaan dan keperluan semasa.
Harapan
Sesungguhnya segala ujian yang sedang dihadapi oleh kita pada ketika ini memerlukan kerjasama dan sokongan daripada semua pihak untuk menghadapinya.
Pematuhan terhadap segala SOP dan usaha mempertingkatkan kawalan kendiri dalam menangani Wabak Covid-19 perlu dijayakan oleh semua pihak demi memastikan negeri Perlis yang tercinta dapat beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara dengan kadar segera, apatah lagi liputan vaksin di negeri Perlis telah mencapai 40.1% pada jam 11.59 malam 28 Julai 2021.
Ayuhlah kita semua memperteguhkan doa dan pengharapan kepada Allah Azza Wajalla, agar segala ujian ini akan segera selesai dan keadaan pulih seperti sedia kala.
MENJUNJUNG SYIAR MEMAJU UMMAH
1 KURUN MAIPs (1920): MENGUKUH QIADAH, MENGISLAH UMMAH
SYED FAIZUDDIN PUTRA IBNI TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL
D.K., S.P.M.P., P.A.T.
Doctor of Education (Honoris Causa) La Trobe University, Melbourne, Australia
Honorary Doctorate In Management Science, Yala Rajabhat University, Thailand
Raja Muda Perlis
Yang DiPertua
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis
Termaktub di Istana Arau
02600 Arau
Perlis
Bertarikh : 30 Julai 2021 bersamaan 20 Zulhijjah 1442H