TITAH DULI YANG TERAMAT MULIA TUANKU YANG DIPERTUA MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU PERLIS (MAIPs) BERKAITAN PELAKSANAAN SOLAT AIDILADHA 1442H / 2021M SERTA KEBENARAN AKTIVITI PENGIMARAHAN MASJID DI NEGERI PERLIS KETIKA FASA 2 PELAN PEMULIHAN NEGARA
Dengan kurnia limpah perkenan DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, setelah meneliti perkembangan semasa penularan pandemik Covid-19 di seluruh negara dan negeri, sayugia dihebahkan SOP Pelaksanaan Solat Aidiladha 1442H / 2021M serta kebenaran aktiviti pengimarahan masjid di Negeri Perlis ketika fasa 2 Pelan Pemulihan Negara seperti ketetapan berikut:
A- Pelaksanaan Solat Aidiladha
1- Solat Aidiladha di seluruh Negeri Perlis dilaksanakan di tanah lapang (musolla) pada jam 8.00 pagi. Tanah lapang berkenaan adalah di perkarangan masjid, tertakluk kepada KETETAPAN oleh Jawatankuasa Kariah Masjid masing-masing di seluruh Negeri Perlis. Pelaksanaan ini selaras dengan Sunnah Baginda Rasulullah SAW selain dapat mengurangkan risiko jangkitan dibandingkan solat yang ditunaikan di tempat tertutup.
2- Bilangan jemaah yang dibenarkan adalah berdasarkan kepada kapasiti saiz kawasan lapang.
3- Bagi memberikan ruang kepada penyertaan yang optimum, dibenarkan untuk didirikan Solat Aidiladha sebanyak 2 sesi seperti berikut:
a. Sesi 1- 8.00 pagi
b. Sesi 2- 9.00 pagi
4- Sekiranya keadaan cuaca yang tidak bersesuaian seperti hujan lebat, maka solat akan dilaksanakan di dalam masjid dengan kapasiti saiz masjid mengikut SOP sedia ada pada jam 8.30 pagi. Jemaah yang tidak terpilih menyertai solat berkenaan perlu mengalami penyuraian dan pulang untuk menunaikan Solat Aidiladha di rumah masing-masing bersama ahli keluarga selaras dengan ketetapan dan risalah khutbah yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Mufti Negeri Perlis.
5- Tempoh pelaksanaan Solat Aidiladha dan Khutbah adalah diringkaskan bagi mengurangkan risiko penularan. Selaras dengan ketetapan syarak, sebahagian jemaah BOLEH terus pulang ke rumah selepas menunaikan Solat Aidiladha TANPA perlu mendengar khutbah.
6- Pelaksanaan Solat Aidiladha di mana-mana surau atau dewan orang ramai tanpa kelulusan pihak berkuasa agama KEKAL tidak dilaksanakan bagi mengurangkan risiko serta demi penyelarasan oleh pihak-pihak berkaitan.
B- SOP Kehadiran dan penyertaan jemaah
7- Sebagai langkah pencegahan dan ikhtiar untuk mengelakkan penularan wabak, pematuhan kepada semua SOP adalah DIPERKETATKAN. Semua jemaah yang hadir hendaklah sentiasa mematuhi SOP Keselamatan dan Kesihatan seperti berikut:
a. Memakai pelitup separuh muka. (Digalakkan memakai 2 pelitup muka [double face masks] serta ditambah baik dengan pemakaian bersama pelindung muka [face shield] );
b. Sentiasa melaksanakan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1.5 meter pada setiap masa;
c. Membawa sejadah sendiri bersaiz standard;
d. Mengambil wuduk sebelum ke tempat solat;
e. Tidak melaksanakan sebarang kontak fizikal seperti bersalaman;
f. Mengimbas suhu badan dan melaksanakan rekod penjejakan sosial (mengimbas Kod QR Aplikasi MySejahtera atau mendaftar pada buku yang disediakan).
8- Warganegara dan bukan warganegara, lelaki dan perempuan adalah dibenarkan untuk menyertai semua aktiviti pengimarahan Aidiladha kecuali mereka yang berstatus PUI (Person Under Investigation), PUS (Person Under Surveillance) dan mereka yang memiliki risiko untuk dijangkiti.
9- Mereka yang terlibat dengan aktiviti rentas sempadan / negeri sama ada dengan kebenaran atau tanpa kebenaran termasuk yang berulang alik bekerja pada setiap hari adalah tidak dibenarkan hadir. Demikian juga ahli keluarga mereka yang tinggal bersama tidak dibenarkan hadir melainkan ahli keluarga yang telah lengkap 2 dos suntikan vaksin.
10- Pengurusan masjid berhak untuk membuat teguran dan tidak membenarkan kemasukan jemaah yang tidak mematuhi SOP.
11- Para jemaah digalakkan untuk membawa Uncang pembungkus kasut dan payung ke tempat solat selaras dengan Titah Perutusan terdahulu [MAIPs. 100 - 6 Jld 7 (102)].
C- Pelaksanaan Solat 5 Waktu dan Jumaat serta aktiviti pengimarahan masjid berkuat kuasa 13 Julai 2021
12- Bagi solat fardu 5 waktu dan Solat Jumaat, segala ketetapan sedia ada adalah dikekalkan kecuali SOP Penjarakan dikurangkan kepada 1.5 meter.
13- Aktiviti kelas pengajiaan, kuliah dan sebagainya dibenarkan semula dengan SOP berikut:
a. Bacaan Al-Quran dan terjemahan selepas Solat Subuh dilaksanakan dalam tempoh 15 minit.
b. Kuliah Maghrib hendaklah dihentikan sebaik sahaja masuk waktu Isyak.
c. Tiada penceramah yang terlibat dalam aktiviti rentas sempadan dibenarkan untuk menyampaikan ceramah di masjid.
14- Jamuan di masjid boleh dilaksanakan dengan cara mengedarkan makanan yang siap dibungkus (tanpa menggunakan polisterin serta meminimakan plastik sekali guna) untuk dibawa pulang sahaja.
Harapan
Sesungguhnya pengorbanan yang dicontohkan oleh Baginda Nabi Ibrahim Alaihissalam dan keluarga Baginda telah meninggalkan suri tauladan kepada kita. Justeru, marilah kita mengamalkan norma baharu dalam kehidupan kita dengan penuh semangat pengorbanan dan perjuangan demi memastikan negeri yang kita cintai ini akan segera beralih kepada fasa 3 Pelan Pemulihan Negera dengan kadar segera.
Di kesempatan ini, saya turut menyempurnakan titah DYMM Tuanku Raja Perlis kepada seluruh rakyat yang Baginda kasihi, agar sentiasa bersatu hati dalam memutuskan rangkaian penularan wabak Covid-19. Baginda dan DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis mengucapkan ‘Selamat Hari Raya Aidiladha’.
MENJUNJUNG SYIAR MEMAJU UMMAH
1 KURUN MAIPs: MENGUKUH QIADAH, MENGISLAH UMMAH
SYED FAIZUDDIN PUTRA IBNI TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL
D.K., S.P.M.P., P.A.T.
Doctor of Education (Honoris Causa) La Trobe University, Melbourne, Australia
Honorary Doctorate In Management Science, Yala Rajabhat University, Thailand
Raja Muda Perlis
Yang DiPertua
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis
Termaktub di Istana Arau
02600 Arau
Perlis
Bertarikh : 11 Julai 2021 bersamaan 1 Zulhijjah 1442H