TITAH PERUTUSAN DYTM TUANKU YANG DIPERTUA MAIPs BERKAITAN HEBAHAN AWAL SOP IBADAH KORBAN DAN AIDILADHA 1442H
Dengan kurnia limpah perkenan DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, mengambil kira ketibaan Bulan Zulhijjah 1442H yang mulia, adalah dimaklumkan bahawa Baginda telah memperkenankan beberapa perkara seperti berikut:
1. Semua masjid adalah dibenarkan untuk mengelola ibadah korban tertakluk kepada SOP keselamatan dan kesihatan semasa yang ditetapkan manakala pelaksanaan oleh Jabatan / Agensi Kerajaan dan NGO adalah tertakluk kepada keadaan penularan dan perkembangan wabak semasa.
2. Pelaksanaan ibadah korban (penyembelihan haiwan korban) hanya boleh dilakukan di kawasan-kawasan berikut:
a) Rumah sembelihan milik kerajaan;
b) Rumah sembelihan milik swasta;
c) Masjid (Surau dan Sekolah Agama buat masa ini adalah TIDAK DIBENARKAN); dan
d) Premis persendirian yang mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Perlis dan JAIPs.
3. Semua pihak yang bercadang untuk mengelola ibadah korban di negeri Perlis hendaklah mengemukakan “Borang Permohonan Ibadah Korban Tahun 1442H/2021M Negeri Perlis” kepada Bahagian Dakwah dan Takmir JAIPs selewat-lewatnya 7 hari dari tarikh 10 Zulhijjah 1442H.
4. Pihak yang mengelola dan menghadiri pelaksanaan ibadah korban, diminta supaya mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 sebagai langkah pencegahan.
5. Melihat kepada suasana penularan yang masih di tahap yang membimbangkan, TIADA aktiviti jamuan kenduri yang dibenarkan sebagai langkah kawalan.
6. Pemakluman berkaitan perincian SOP pelaksanaan ibadah korban dan borang-borang akan dimaklumkan kelak dan bergantung kepada keadaan penularan dan perkembangan semasa.
7. Sebagai langkah persediaan untuk Solat Aidiladha di tanah lapang, pengurusan masjid adalah diminta untuk melaksanakan persiapan awal dan mengambil langkah-langkah proaktif.
8. Adalah menjadi harapan agar aktiviti pengimarahan berkaitan Aidiladha dapat dibenarkan kepada semaksima mungkin jemaah, namun buat masa ini pihak MAIPs sedang mempertimbangkan keutamaan kepada mereka yang telah melengkapkan 2 dos suntikan vaksin Covid-19 untuk menyertai aktiviti pengimarahan Aidiladha, selain dapat diizinkan menyertai solat fardu berjemaah, Solat Jumaat dan aktiviti-aktiviti lain di masjid kelak.
Akhir titah, saya menzahirkan kesyukuran kehadrat Allah Azza Wajalla, atas limpah kurnia dan inayahNya jua, rakyat di Negeri Perlis sentiasa memberikan komitmen tinggi dalam menjayakan setiap usaha demi membendung penularan wabak Covid-19. Di kesempatan ini, saya merakamkan setinggi penghargaan kepada seluruh rakyat yang selama ini mematuhi setiap ketetapan yang telah dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri Perlis dan juga pihak Kerajaan.
Terima kasih juga kepada semua Pengurusan Masjid yang terdiri daripada para pegawai dan Ahli Jawatankuasa Kariah yang selama ini dengan suci hati dan penuh keikhlasan membantu memudah cara serta melaksanakan segala ketetapan dan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Saya percaya dengan izin Allah SWT, atas ikhtiar dan usaha mengatasi wabak ini, telah terzahir kesan yang baik dalam negeri yang kita cintai. Semoga segala usaha kita mendapat perkenan Allah jua hendaknya.
MENJUNJUNG SYIAR MEMAJU UMMAH
1 KURUN MAIPs: MENGUKUH QIADAH, MENGISLAH UMMAH
SYED FAIZUDDIN PUTRA IBNI TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL
D.K., S.P.M.P., P.A.T.
Doctor of Education (Honoris Causa) La Trobe University, Melbourne, Australia
Honorary Doctorate In Management Science, Yala Rajabhat University, Thailand
Raja Muda Perlis
Yang DiPertua
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis
Termaktub di Istana Arau
02600 Arau
Perlis
Bertarikh : 19 Jun 2021 bersamaan 9 Zulkaedah 1442H
Rujukan: MAIPs. 100 - 6 Jld 7 (108)