TITAH DULI YANG TERAMAT MULIA TUANKU YANG DIPERTUA MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU PERLIS (MAIPs) BERKAITAN PELANJUTAN ARAHAN MEMBACA QUNUT NAZILAH EKORAN PENCEROBOHAN DAN SERANGAN KE ATAS MASJID AL-AQSA
Dengan kurnia limpah perkenan DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, setelah meneliti perkembangan semasa mengenai tindakan pencerobohan dan serangan oleh tentera Israel dan pendatang haram Yahudi ke atas Rakyat Palestin dan umat Islam yang beribadah di Masjid Al-Aqsa pada 7 Mei 2021, dengan bertauhid dan bertawakkal kepada Allah, adalah dengan ini diperintahkan kepada semua masjid-masjid di Negeri Perlis untuk MENERUSKAN lagi bacaan Qunut Nazilah pada rakaat terakhir solat 5 waktu selama 7 hari dan 7 malam bermula daripada Solat Jumaat, 14 Mei 2021 sehingga Solat Jumaat, 21 Mei 2021. Lafaz doa Qunut Nazilah yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis adalah seperti yang dilampirkan.
Harapan
Sesungguhnya, pencerobohan dan serangan tentera Zionis ke atas masjid yang ketiga paling suci dalam Islam, ketika umat Islam sedang beriktikaf dan bertarawih bagi menghidupkan 10 hari terakhir dalam bulan Ramadan serta dalam suasana Syawal, merupakan tindakan kejam lagi tidak berprikemanusiaan.
Saya menyeru kepada seluruh rakyat Perlis tercinta agar turut memperuntukkan doa kesejahteraan dan keselamatan buat saudara kita di Palestin.
MENJUNJUNG SYIAR MEMAJU UMMAH
1 KURUN MAIPs: MENGUKUH QIADAH, MENGISLAH UMMAH
SYED FAIZUDDIN PUTRA IBNI TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL
D.K., S.P.M.P., P.A.T.
Doctor of Education (Honoris Causa) La Trobe University, Melbourne, Australia
Honorary Doctorate In Management Science, Yala Rajabhat University, Thailand
Raja Muda Perlis
Yang DiPertua
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis
Termaktub di Istana Arau
02600 Arau
Perlis
Bertarikh : 14 Mei 2021 bersamaan 2 Syawal 1442H